Penciptaan Manusia daripada Fitrah Tauhid
Surah 7: Al-A’raf (189 – 190)
Ayat 189
هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍ وَٰحِدَةٍ وَجَعَلَ مِنْهَا زَوْجَهَا لِيَسْكُنَ إِلَيْهَا ۖ فَلَمَّا تَغَشَّىٰهَا حَمَلَتْ حَمْلًا خَفِيفًا فَمَرَّتْ بِهِۦ ۖ فَلَمَّآ أَثْقَلَت دَّعَوَا ٱللَّهَ رَبَّهُمَا لَئِنْ ءَاتَيْتَنَا صَـٰلِحًا لَّنَكُونَنَّ مِنَ ٱلشَّـٰكِرِينَ
Dia-lah (Allah) yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri yang satu, dan Dia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra yang satu kepada yang lain. Ketika suami mencampuri isterinya, mengandunglah dia dengan kandungan yang ringan, serta teruslah dia dengan keadaan itu (ke suatu waktu). Kemudian ketika dia merasa berat (dan menaruh bimbang) berdoalah suami isteri itu kepada Tuhan mereka (dengan berkata):” Sesungguhnya jika Engkau (wahai Tuhan kami) mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur”.
Allah Ta’ala menjelaskan bahawa manusia itu diciptakan daripada satu jenis dan satu tabiat, lalu dijadikan-Nya pasangan daripada jenisnya agar dia berasa tenang dan tenteram bersama-samanya sebagaimana halnya Dia menciptakan setiap jenis makhluk hidup berpasang-pasangan. Firman-Nya:
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya adalah Allah menciptakan untukmu daripada jenis mu sendiri supaya kamu cenderung dan berasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang.”
Ar-Rum 30:21
Islam mensyariatkan manusia agar mereka hidup berpasangan suami-isteri, kerana dalam situasi hidup sedemikian itu manusia menemukan ketenteraman dan kebahagiaan rohani dan jasmani. Ini apabila seseorang telah mencapai usia dewasa, timbullah keinginan untuk hidup berpasangan suami-isteri, dan seseorang tidak akan berasa tenang apabila keinginan itu tidak tercapai kerana dalam berpasangan suami-isteri itulah akan wujud ketenteraman tersebut.
Selanjutnya Allah Ta’ala menyatakan bahawa hasil daripada perkahwinan tersebut akan terjadilah kehamilan yang ringan, bermula dengan terhentinya haid dan selanjutnya janin itu meneruskan proses pertumbuhannya, perlahan-lahan tanpa memberatkan ibu yang mengandungkannya dan tidak pula mengganggu pekerjaannya sehari-hari.
Maka ketika kandungannya mulai berat, ibu bapa memanjatkan doa kepada Allah Ta’ala agar kedua-duanya dianugerahi anak yang soleh, sempurna jasmani dan berakhlak mulia. Mereka berjanji akan mewajibkan atas diri mereka sendiri untuk bersyukur kepada-Nya.
Ayat 190
فَلَمَّآ ءَاتَىٰهُمَا صَـٰلِحًا جَعَلَا لَهُۥ شُرَكَآءَ فِيمَآ ءَاتَىٰهُمَا ۚ فَتَعَـٰلَى ٱللَّهُ عَمَّا يُشْرِكُونَ
Kemudian ketika Allah mengurniakan kepada kedua-duanya nikmat yang baik (sebagaimana yang mereka pohonkan), kedua-duanya menjadikan sekutu bagi Allah dalam urusan wujudnya nikmat yang dikurniakan Allah kepada mereka. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan itu.
Allah Ta’ala menjelaskan bahawa Dia memperkenankan doa itu dengan menganugerahkan mereka dengan anak yang sempurna. Namun orang-orang musyrik tidak bersyukur kepada-Nya dan menjadikan sekutu bagi-Nya terhadap anak yang telah dikurniakan-Nya kepada mereka. Maha Agung dan Maha Suci Allah daripada apa yang mereka persekutukan.
Al-Hasan mengatakan yang dimaksudkan dengan ‘kedua-duanya’ dalam ayat ini ialah keturunan Nabi Adam as dan orang-orang yang melakukan kemusyrikan setelah peninggalannya. Menurut Al-Hasan juga, kedua-duanya adalah kaum Yahudi dan Nasrani. Allah Swt mengurniakan anak kepada mereka, lalu mereka menjadikannya sebagai Yahudi dan Nasrani.
Ada sebahagian pendapat mengatakan mereka menjadikan sekutu bagi Allah Swt terhadap anak yang dianugerahkan-Nya itu dengan memandang mereka sebagai hamba bagi berhala yang mereka sembah. Oleh sebab itulah mereka menamakan anak-anak mereka dengan Abdul ‘Uzza, Abdul Manaah, Abdus Syam, ‘Abdul Harith dan sebagainya. Padahal sepatutnya mereka bersyukur kepada Allah Ta’ala yang telah menganugerahkan kepada mereka anak yang sempurna fizikalnya, namun ternyata mereka berbuat syirik, sama ada syirik dalam beribadah ataupun dengan menamakan anak-anak mereka dengan nama yang menunjukkan penghambaan kepada selain Allah Swt.