Surah 7: Al-A’raf (187 – 188)

Pertanyaan Bila Berlakunya Hari Kiamat

Surah 7: Al-A’raf (187 – 188)


Ayat 187

يَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلسَّاعَةِ أَيَّانَ مُرْسَىٰهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ رَبِّى ۖ لَا يُجَلِّيهَا لِوَقْتِهَآ إِلَّا هُوَ ۚ ثَقُلَتْ فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۚ لَا تَأْتِيكُمْ إِلَّا بَغْتَةً ۗ يَسْـَٔلُونَكَ كَأَنَّكَ حَفِىٌّ عَنْهَا ۖ قُلْ إِنَّمَا عِلْمُهَا عِندَ ٱللَّهِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang hari kiamat: “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah ada di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapa pun yang dapat menerangkan kedatangannya pada waktunya melainkan Dia. (Huru-hara) hari kiamat itu amatlah berat (menggerunkan makhluk-makhluk yang ada) di langit dan di bumi; ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut”. Mereka bertanya kepadamu seolah-olah engkau sedia mengetahuinya. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan mengenai hari kiamat itu adalah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.

Ayat ini turun berkenaan dengan orang-orang Quraisy. Mereka bertanya tentang waktu hari kebangkitan, dengan tujuan untuk menafikan terjadinya peristiwa tersebut dan untuk mendustakan kejadiannya sebagaimana firman Allah swt: 

“Orang-orang yang tidak beriman kepada hari Kiamat meminta supaya hari itu segera didatangkan dan orang-orang yang beriman berasa takut kepadanya dan mereka yakin bahawa Kiamat itu adalah benar (akan terjadi). Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang-orang yang membantah tentang terjadinya Kiamat itu benar-benar dalam kesesatan yang jauh.” 

Asy-Syura 42:18 

Allah Ta’ala menegaskan bahawa hanya Dia lah yang mengetahui saat terjadinya Hari Kiamat itu. Kepastian terjadinya Hari Kiamat dan apa yang akan terjadi pada Hari Kiamat sudah banyak dijelaskan dalam Al-Quran. Namun khusus berkenaan dengan saat terjadinya Hari Kiamat itu tidak dijelaskan di dalam Al-Quran. Hal itu hanya berada dalam ilmu Allah Ta’ala semata-mata. 

Ayat 188

قُل لَّآ أَمْلِكُ لِنَفْسِى نَفْعًا وَلَا ضَرًّا إِلَّا مَا شَآءَ ٱللَّهُ ۚ وَلَوْ كُنتُ أَعْلَمُ ٱلْغَيْبَ لَٱسْتَكْثَرْتُ مِنَ ٱلْخَيْرِ وَمَا مَسَّنِىَ ٱلسُّوٓءُ ۚ إِنْ أَنَا۠ إِلَّا نَذِيرٌ وَبَشِيرٌ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Katakanlah: “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak dapat menolak mudarat kecuali apa yang dikehendaki Allah. Dan kalau aku mengetahui perkara-perkara yang ghaib, tentulah aku akan mengumpulkan dengan banyaknya benda-benda yang mendatangkan faedah dan (tentulah) aku tidak ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah (Pesuruh Allah) yang memberi amaran (bagi orang-orang yang ingkar) dan membawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”.

Allah Ta’ala memerintahkan kepada Rasulullah saw untuk menyerahkan segala urusan hanya kepadaNya dan menyampaikan kepada manusia bahawa Baginda sekali-kali tidak dapat memberi manfaat untuk dirinya dan juga orang lain. Baginda juga tidak berkuasa menolak bahaya sama ada pada dirinya dan juga orang lain kecuali dengan kehendak dan kekuasaanNya. 

Ayat ini juga merupakan penegasan dan menyangkal dakwaan sesetengah manusia yang mengatakan bahawa mereka mengetahui perkara-perkara ghaib seperti bila berlakunya Hari Kiamat sedangkan Rasulullah saw adalah seorang rasul pun tidak mengetahui perkara yang ghaib atau tentang perkara-perkara akan datang dan Baginda tidak pernah diberitahu tentang hal tersebut kecuali apa yang telah diberitahu kepadanya sebagaimana firmanNya: 

“(Dia lah Tuhan) Yang Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada rasul yang diredhaiNya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya.” 

Al-Jin 29:26-27 

Selanjutnya, Rasulullah saw diperintahkan agar menyatakan bahawa Baginda hanyalah seorang pemberi peringatan terhadap azab kepada orang-orang yang derhaka dan juga pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman berupa syurga sebagaimana firman Allah swt: 

“Maka sesungguhnya, Kami telah mudahkan Al-Quran itu dengan bahasamu, agar engkau dapat memberi khabar gembira kepada orang-orang yang bertakwa dan agar engkau memberi peringatan dengannya kepada kaum yang membangkang.” 

Maryam 19:97