Surah 7: Al-A’raf (182 – 183)

Istidraj kepada Orang Kafir

Surah 7: Al-A’raf (182 – 183)


Ayat 182

وَٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.

Allah Swt menyebutkan bahawa orang-orang yang mendustakan ayat-ayat-Nya, Dia akan membukakan bagi mereka semua pintu rezeki dan jalan kehidupan di dunia, sehingga mereka tertipu dengan keadaan yang mereka alami dan meyakini bahawa mereka telah memperoleh kenikmatan. Kemudian Dia akan memberikan hukuman-Nya secara tiba-tiba tanpa mereka menyedari apa yang direncanakan-Nya untuk mereka akibat kesesatan mereka itu. Sebagaimana firman-Nya: 

“Maka ketika mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka, sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka secara tiba-tiba, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sehingga terputus keturunannya. Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam.” 

Al-An’aam 6:44-45 

Ayat 183

وَأُمْلِى لَهُمْ ۚ إِنَّ كَيْدِى مَتِينٌ

Dan Aku memberi tempoh kepada mereka; sesungguhnya rancangan balasan-Ku amatlah teguh.

Allah Swt memberi tangguh kepada mereka sehingga mereka menyangka bahawa mereka tidak akan tertimpa seksaan. Akibatnya mereka bertambah kafir dan melampaui batas. Sesungguhnya apa yang dirancangkan oleh Allah Swt amat teguh dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menghindari atau mengubahnya. 

Daripada Abu Musa, Rasulullah saw bersabda: 

“Sesungguhnya Allah memberi tangguh (tidak segera menimpakan azab) bagi orang yang zalim, tetapi apabila Allah akan mengazabnya, nescaya Allah tidak membiarkan orang zalim itu terlepas daripada azab-Nya.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)