Golongan yang Memberi Petunjuk
Surah 7: Al-A’raf (181)
Ayat 181
وَمِمَّنْ خَلَقْنَآ أُمَّةٌ يَهْدُونَ بِٱلْحَقِّ وَبِهِۦ يَعْدِلُونَ
Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan itu, ada satu umat yang memberi petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya mereka menjalankan keadilan.
Allah Ta’ala menyebutkan bahawa ada sebahagian umat yang diciptakan-Nya berdiri teguh di atas kebenaran, baik dengan ucapan mahupun perbuatan. Mereka mengatakan kebenaran dan menyeru kepadanya dan juga mengamalkannya serta memutuskan dengannya. Disebutkan dalam sejumlah athar bahawa yang dimaksudkan dengan ‘umat’ dalam ayat ini adalah umat Nabi Muhammad saw.
Daripada Mu’awiyah bin Abi Sufyan, dia berkata Rasulullah saw bersabda:
“Akan sentiasa ada sekelompok daripada umatku yang tegak di atas kebenaran, tidak membahayakan mereka orang-orang yang menghinakan mereka, begitu pula orang yang menentang mereka, hingga Hari Kiamat.”
(HR. Al-Bukhari dan Muslim)