Surah 7: Al-A’raf (180)

Berdoa dengan Asma-ul-Husna

Surah 7: Al-A’raf (180)


Ayat 180

وَلِلَّهِ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ فَٱدْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا۟ ٱلَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِىٓ أَسْمَـٰٓئِهِۦ ۚ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا۟ يَعْمَلُونَ

Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia mempunyai “Asma-ul Husna” dan menyerukan hamba-hamba-Nya agar berdoa dan memuji-Nya dengan menyebut Asma-ul Husna tersebut. 

Asma-ul Husna bermaksud nama-nama Allah Ta’ala yang paling baik dan agung, sesuai dengan sifat-sifat-Nya, paling luas dan paling dalam pengertiannya sebagaimana sabda Rasulullah saw: 

“Sesungguhnya Allah Ta’ala mempunyai sembilan puluh sembilan nama, seratus kurang satu. Sesiapa yang memahami (menghafal dan mengamalkan)nya masuklah dia ke syurga.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Asma-ul Husna itu tidaklah terbatas kepada jumlah sembilan puluh sembilan nama sahaja. Sesungguhnya nama Allah Ta’ala itu tidaklah terbatas. Dalam Al-Quran nama Allah Ta’ala melebihi daripada jumlah angka tersebut. 

Nama-nama Allah Swt menunjukkan sifat-sifatNya yang sempurna lagi agung. Contohnya: 

  • Al-‘Alim (Maha Mengetahui) yang menunjukkan bahawa Dia memiliki ilmu yang meliputi segala sesuatu, tidak keluar daripada pengetahuan-Nya seberat biji zarah pun baik di langit ataupun di bumi. 
  • Ar-Rahim yang menunjukkan bahawa Dia memiliki sifat rahmah (sayang) yang agung dan luas kepada segala sesuatu. 
  • Al-Qadir yang menunjukkan bahawa Dia memiliki kekuasaan yang menyeluruh, tidak dapat dikalahkan oleh sesuatu. 

Dalam ayat ini, Allah Swt memerintahkan kita berdoa dengan nama-namaNya. Contohnya: 

  • “Ya Razzaq, urzuqna.” (ertinya: Wahai Pemberi rezeki, berilah kami rezeki) 
  • “Ya Ghafur, ighfir li” (ertinya: Wahai Maha Pengampun, ampunilah aku) 
  • “Ya Rahim, irhamnii” (ertinya: Wahai Maha Penyayang, sayangilah aku), dan sebagainya.  

Pada masa yang sama, kita ditegah menggunakan nama-nama yang tidak sesuai dengan sifat-sifat dan keagungan Allah Swt atau dengan menggunakan Asma-ul Husna, tetapi dengan merosakkan nama Allah swt atau mempergunakan Asma-ul Husna untuk nama-nama selain Allah Swt. Contohnya, perbuatan yang dilakukan orang-orang musyrik. Mereka menamai berhala mereka dengan Lataa daripada lafaz Allah dan ‘Uzza daripada lafaz Al-‘Aziz. Maha Suci Allah daripada perkara tersebut. Menurut Qatadah, mereka menyimpang dengan menyekutukanNya dalam penyebutan Asma Allah.