Surah 7: Al-A’raf (179)

Penghuni Neraka adalah Orang yang Tidak Menggunakan Anggota Badannya untuk Mendapatkan Petunjuk

Surah 7: Al-A’raf (179)


Ayat 179

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ ٱلْجِنِّ وَٱلْإِنسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَّا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَّا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ ءَاذَانٌ لَّا يَسْمَعُونَ بِهَآ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ كَٱلْأَنْعَـٰمِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْغَـٰفِلُونَ

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menciptakan dan menjadikan untuk neraka Jahannam kebanyakan daripada jin dan manusia. Ini bermaksud Dia telah mempersiapkan mereka untuk mengisi neraka Jahannam dengan sebab mereka ini beramal dengan amalan penghuni neraka. 

Sesungguhnya ketika Allah Ta’ala hendak menciptakan makhluk, Dia telah mengetahui sebelum diciptakanNya lagi apa yang akan mereka lakukan kelak. Lalu Dia menuliskan hal itu di dalam sebuah kitab yang ada di sisiNya, lima puluh ribu tahun sebelum diciptakannya langit dan bumi. Ini sebagaimana yang ditegaskan dalam Sahih Muslim, daripada ‘Abdullah bin ‘Amr, bahawa Rasulullah salw bersabda: 

“Sesungguhnya Allah telah menetapkan pelbagai ketentuan (takdir) makhluk lima puluh ribu tahun sebelum Allah menciptakan langit dan bumi. Dan adalah ‘ArasyNya di atas air.” 

(HR. Muslim) 

Golongan yang menjadi penghuni neraka ini adalah kerana mereka sama sekali tidak memanfaatkan anggota badan yang telah dijadikan oleh Allah swt sebagai sebab untuk mendapatkan petunjuk sebagaimana firmanNya: 

“……………Dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit pun bagi mereka, kerana mereka selalu mengingkari ayat-ayat Allah……………” 

Al-Ahqaf 46:26 

Padahal sebenarnya mereka itu tidaklah tuli, bisu dan buta, kecuali terhadap petunjuk sebagaimana firman Allah swt:

“……………….Sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta adalah hati yang ada di dalam dada.” 

Al-Hajj 22:46 

Orang-orang yang tidak dapat mendengar kebenaran dan tidak memahaminya serta tidak dapat melihat petunjuk, adalah seperti binatang ternak yang tidak dapat memanfaatkan anggota tubuhnya, kecuali untuk sesuatu yang mengenyangkannya dalam kehidupan dunia. Perumpamaan mereka pada saat diseru kepada iman adalah seperti binatang yang diseru oleh si penggembala, yang tidak dapat mendengar kecuali hanya suara semata-mata, tetapi tidak memahami maknanya sama sekali. Firman Allah swt: 

“Dan perumpamaan (orang yang menyeru) orang-orang kafir adalah seperti penggembala yang memanggil binatang yang tidak dapat mendengar selain panggilan dan seruan sahaja. Mereka tuli, bisu dan buta, maka (oleh sebab itu) mereka tidak mengerti.” 

Al-Baqarah 2:171 

Oleh itu, Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang seperti itu adalah lebih sesat daripada binatang, kerana binatang itu, kadang-kadang masih mahu mentaati penggembala jika dilarang, meskipun binatang itu tidak memahami ucapan tuannya. Selain itu, binatang-binatang itu berbuat sesuai dengan apa yang diciptakan baginya, baik secara naluri mahupun secara paksa. 

Ini berbeza dengan orang-orang kafir. Orang-orang kafir sebenarnya diciptakan untuk beribadah kepada Allah swt dan mengesakanNya, tetapi mereka kafir dan menyekutukanNya. Oleh itu, sesiapa yang kufur kepadaNya, maka binatang adalah lebih sempurna daripada dirinya.