Surah 7: Al-A’raf (175 – 178)

Peumpamaan bagi Orang yang Mendustakan Ayat Allah

Surah 7: Al-A’raf (175 – 178)


Ayat 175

وَٱتْلُ عَلَيْهِمْ نَبَأَ ٱلَّذِىٓ ءَاتَيْنَـٰهُ ءَايَـٰتِنَا فَٱنسَلَخَ مِنْهَا فَأَتْبَعَهُ ٱلشَّيْطَـٰنُ فَكَانَ مِنَ ٱلْغَاوِينَ

Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita seorang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat (Kitab) Kami. kemudian ia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu ia diikuti oleh Syaitan (dengan godaannya), maka menjadilah dari orang-orang yang sesat.

Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw agar menceritakan kepada orang-orang Yahudi dan kaum musyrikin kisah seseorang yang telah diajarkan ayat-ayatNya dan diberikan ilmu pengetahuan tentang keesaanNya, namun dia tidak mengamalkan ayat-ayat tersebut, bahkan meninggalkan dan berlepas diri daripadanya buat selama-lamanya. 

Kemudian syaitan mendapatkannya lalu menjadikan orang itu sebagai sahabatnya. Syaitan berhasil memasukkan bisikan-bisikannya dan akhirnya orang tersebut termasuk ke dalam golongan orang-orang yang menzalimi diri sendiri dengan memilih untuk menjadi kafir. Dia lebih cenderung terhadap dunia, mengikuti hawa nafsunya dan syaitan. 

Abdullah bin Mas’ud mengatakan bahawa orang yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah seorang lelaki yang bernama Bal’am bin Ba’ura’. Kisah Bal’am adalah di antara yang termasyhur yang diriwayatkan oleh para mufassir berkaitan dengan sebab turunnya ayat ini. Beliau mengetahui nama-nama Allah yang Maha Agung (Al-Ismul Akbar). Beliau adalah salah seorang daripada kaum Bani Israil pada masa zaman Nabi Musa as. Beliau berasal daripada suatu kota yang didiami oleh kaum yang gagah perkasa dan kasar perwatakan mereka. Pada suatu hari beliau diminta oleh kabilah-kabilah dan kaum di daerahnya untuk mendoakan keburukan terhadap Nabi Musa as yang ada bersama-sama dengan pasukannya. Beliau dijanjikan dengan hadiah sebagai ganjarannya, lalu beliau pun melakukannya. Namun ternyata doa itu berbalik kepada dirinya sendiri iaitu lidahnya terjelir keluar sampai ke dada. 

Bal’am bin Ba’ura’ dikatakan sebagai orang yang berlepas diri daripada ayat-ayat Allah swt kerana seseorang yang mengetahui ayat-ayat daripada kitab (Taurat) sepatutnya menegakkan kebenaran dan bukan bersikap sebaliknya. 

Ayat ini boleh dijadikan pengajaran kepada setiap orang yang telah diberi petunjuk dengan ilmu tentang ayat-ayatNya tetapi mereka tidak beramal dengannya dan lebih cenderung kepada ganjaran dunia yang sedikit. Padahal sekiranya mereka melaksanakan ayat-ayat Allah swt, sudah tentu Allah swt akan memberikan ganjaran yang lebih besar dan baik lagi. 

Ayat 176

وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَـٰهُ بِهَا وَلَـٰكِنَّهُۥٓ أَخْلَدَ إِلَى ٱلْأَرْضِ وَٱتَّبَعَ هَوَىٰهُ ۚ فَمَثَلُهُۥ كَمَثَلِ ٱلْكَلْبِ إِن تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَث ۚ ذَّٰلِكَ مَثَلُ ٱلْقَوْمِ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا ۚ فَٱقْصُصِ ٱلْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa sekiranya Dia berkehendak untuk mengangkat lelaki itu ke martabat yang lebih tinggi, tentulah Dia berkuasa berbuat demikian dengan diberikan ilmu kepadanya. Namun lelaki itu telah menentukan pilihannya ke jalan yang sesat. 

Dia menempuh jalan yang berlawanan dengan fitrahnya, berpaling daripada ilmunya sendiri kerana didorong oleh kemewahan kehidupan duniawi. Dia mengikuti hawa nafsunya dan tergoda oleh syaitan. Segala petunjuk daripadaNya dilupakannya, sedangkan perhiasan dunia ini hanyalah ujian semata-mata seperti firmanNya: 

“Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya.” 

Al-Kahfi 18:7 

Oleh itu, Allah swt mengumpamakannya seperti anjing yang keadaannya sama sahaja sama ada diberikan beban atau dibiarkan, dia tetap menjelirkan lidahnya. Lelaki yang memiliki sifat seperti anjing ini tergolong sebagai manusia yang paling buruk. Hal demikian menggambarkan kerakusan terhadap harta benda duniawi. 

Demikian pula perumpamaan kepada kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah swt. Mereka menentangnya, baik disebabkan kebodohan mereka atau pun disebabkan fanatik mereka terhadap dunia yang menyebabkan mereka menutup mata terhadap suatu kebenaran dan meninggalkannya. 

Ayat 177

سَآءَ مَثَلًا ٱلْقَوْمُ ٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَأَنفُسَهُمْ كَانُوا۟ يَظْلِمُونَ

Amatlah buruknya bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri mereka sendiri.

Sungguh sangat buruk perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah swt. Mereka disamakan dengan anjing yang keinginannya hanya mencari makan dan memenuhi hawa nafsunya sahaja. Oleh yang demikian, orang-orang yang keluar dari ilmu dan petunjuk serta cenderung mengikuti nafsu syahwat, maka mereka menjadi seperti anjing dan ini benar-benar sangat buruk. 

Namun bagi orang-orang yang beriman, Rasulullah saw pernah menegaskan dalam hadis sahih dengan bersabda: 

“Kami tidak memiliki perumpamaan yang buruk, (seburuk-buruk perumpamaan) orang yang mengambil kembali pemberiannya, seperti anjing yang menjilat kembali muntahnya.” 

(HR. Al-Bukhari) 

Ayat 178

مَن يَهْدِ ٱللَّهُ فَهُوَ ٱلْمُهْتَدِى ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ

Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah (dengan sebab persediaannya) maka dia lah yang beroleh petunjuk; dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan sebab keingkarannya) maka merekalah orang-orang yang rugi.

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa orang-orang yang mendapat hidayah daripadaNya ialah orang yang diberi bimbingan olehNya dalam mempergunakan akal fikirannya, panca inderanya dan tenaganya bersesuaian dengan fitrahnya dan bersesuaian pula dengan persediaan dirinya sendiri untuk menerima hidayah. Mereka mensyukuri nikmat Allah Ta’ala dengan menunaikan kewajipan-kewajipan agama, maka berbahagialah dia di dunia dan di akhirat. 

Sebaliknya orang-orang yang dijauhkan daripada pedoman yang ditetapkanNya dalam mempergunakan akal fikiran, panca indera, dan tenaganya, merekalah yang mendapat kerugian di dunia dan di akhirat. Malah mereka mengikuti hawa nafsu, tidak mahu memahami ayat-ayatNya dan tidak mahu mensyukuri nikmatNya. 

Sesungguhnya jalan kepada petunjuk Allah swt itu hanyalah satu, iaitu beribadah kepadaNya dengan amal kebajikan yang lahir kerana keimanan. Sedangkan jalan menuju kepada kesesatan banyak ragamnya. Oleh itu, manusia berpecah-belah, satu sama lain saling bermusuhan dan menimbulkan pula bermacam-macam kejahatan. FirmanNya: 

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah agar kamu bertakwa.” 

Al-An’am 6:153