Ujian Allah Swt kepada Orang Yahudi
Surah 7: Al-A’raf (167 – 170)
Ayat 167
وَإِذْ تَأَذَّنَ رَبُّكَ لَيَبْعَثَنَّ عَلَيْهِمْ إِلَىٰ يَوْمِ ٱلْقِيَـٰمَةِ مَن يَسُومُهُمْ سُوٓءَ ٱلْعَذَابِ ۗ إِنَّ رَبَّكَ لَسَرِيعُ ٱلْعِقَابِ ۖ وَإِنَّهُۥ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ
Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu memberitahu: Bahawa sesungguhnya Dia akan menghantarkan kepada kaum Yahudi itu, (terus menerus) hingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara yang seburuk-buruknya (disebabkan kejahatan dan kekufuran mereka). Sesungguhnya Tuhanmu amat cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya Dia juga Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Allah Ta’ala juga memerintahkan Rasul-Nya untuk mengingatkan kaum Yahudi bahawa Dia akan mengutus orang yang akan menghina dan menindas mereka sampai Hari Kiamat sebagai hukuman terhadap kederhakaan mereka kepada-Nya. Mereka akan merasakan azab yang pedih dan penghinaan serta terpaksa membayar cukai. Mereka akan kehilangan kekuasaan dan kesatuan mereka akan tercerai-berai.
Sebahagian mufassirun mengatakan bahawa Nabi Musa as telah mengenakan cukai ke atas mereka selama tujuh tahun, ada yang mengatakan selama tiga belas tahun. Nabi Musa as adalah orang yang pertama menetapkan cukai. Kemudian mereka berada dalam jajahan kaum Yunani, Kasydan dan Kaldan.
Selepas itu kaum Nasrani pula menguasai mereka, menghina mereka dan mengambil cukai daripada mereka, sehinggalah Islam dan Nabi Muhammad saw datang, lalu mereka berada di bawah kekuasaan Islam dan dalam jaminan Baginda, dengan membayar cukai dan jizyah. Pada akhir zaman mereka akan diperangi kaum muslimin bersama ‘Isa putera Mariam.
Pada akhir ayat di atas, Allah Swt menerangkan sifat-Nya yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada mereka yang mahu bertaubat dan kembali taat kepada-Nya. Dia menyebutkan rahmat-Nya selepas azab-Nya agar manusia tidak berputus asa daripada rahmatNya. Allah Swt seringkali mengiringi targhiib (harapan) setelah tarhiib (ancaman) agar jiwa manusia tetap berada di dalam keadaan takut (jika tidak dirahmati-Nya) dan harap (pengharapan kepada rahmat-Nya).
Ayat 168
وَقَطَّعْنَـٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أُمَمًا ۖ مِّنْهُمُ ٱلصَّـٰلِحُونَ وَمِنْهُمْ دُونَ ذَٰلِكَ ۖ وَبَلَوْنَـٰهُم بِٱلْحَسَنَـٰتِ وَٱلسَّيِّـَٔاتِ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Dan Kami pecah-pecahkan mereka (kaum Yahudi itu) berpuak-puak (yang bertaburan di merata-rata) dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat pemberian yang baik-baik dan bala bencana yang buruk, supaya mereka kembali (bertaubat).
Allah Ta’ala menyatakan seksaan dan penderitaan orang-orang Yahudi iaitu mereka dicerai-beraikan di atas bumi ini menjadi beberapa golongan. Suatu golongan berada di suatu daerah dan golongan-golongan lain berada di daerah-daerah yang lain pula. Mereka tidak mempunyai negara sendiri sebagai tempat perlindungan mereka.
Sebahagian daripada mereka mengadakan kebaikan dan beriman kepada nabi-nabi. Namun ada juga yang benar-benar tenggelam dalam kekafiran dan kefasikan sehingga membunuh nabi-nabi, memutarbelitkan isi kitab Taurat dan memusuhi Rasulullah saw.
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia menurunkan ujian kepada orang-orang Yahudi berupa kesenangan dan kenikmatan. Mereka yang baik diberi anugerah kebaikan dan kebahagiaan. Hanyalah kepada mereka yang derhaka diturunkan bencana kesengsaraan. Semuanya itu merupakan ujian bagi mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar.
Ayat 169
فَخَلَفَ مِنۢ بَعْدِهِمْ خَلْفٌ وَرِثُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ يَأْخُذُونَ عَرَضَ هَـٰذَا ٱلْأَدْنَىٰ وَيَقُولُونَ سَيُغْفَرُ لَنَا وَإِن يَأْتِهِمْ عَرَضٌ مِّثْلُهُۥ يَأْخُذُوهُ ۚ أَلَمْ يُؤْخَذْ عَلَيْهِم مِّيثَـٰقُ ٱلْكِتَـٰبِ أَن لَّا يَقُولُوا۟ عَلَى ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْحَقَّ وَدَرَسُوا۟ مَا فِيهِ ۗ وَٱلدَّارُ ٱلْـَٔاخِرَةُ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ يَتَّقُونَ ۗ أَفَلَا تَعْقِلُونَ
Maka mereka kemudiannya digantikan oleh keturunan-keturunan yang jahat yang mewarisi Kitab (Taurat). Mereka mengambil kebendaan yang hina di dunia ini sambil berkata: “Akan diampunkan kelak dosa kami” Padahal jika datang kepada mereka kebendaan yang hina seperti itu mereka akan mengambilnya lagi. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka pula telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya? Dan juga (mereka mengetahui bahawa) negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mahu mengerti?
Allah Swt menyatakan bahawa Dia menggantikan generasi terdahulu dengan generasi yang baharu. Mereka adalah pengganti yang buruk, yang tidak ada kebaikan sama sekali. Mereka mewarisi ajaran kitab Taurat tetapi tidak berpegang teguh kepada perjanjian yang terdapat di dalamnya, walaupun mereka membacanya.
Mereka lebih mementingkan kehidupan dunia daripada kehidupan akhirat dan menghalalkan perkara yang telah diharamkan oleh Allah Swt. Menurut Mujahid, tidak ada satupun daripada dunia ini yang mereka anggap berharga melainkan mereka pasti mengambilnya sama ada halal mahupun yang haram. Lalu mereka berangan-angan akan mendapatkan keampunan.
Firman Allah Ta’ala, “Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam kitab Taurat bahawa mereka tidak memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar?” sebagai satu bentuk bantahan terhadap perbuatan mereka, padahal mereka telah berjanji untuk menyampaikan kebenaran dengan jujur dan tidak menyembunyikannya sebagaimana firman-Nya:
“Dan (ingatlah), ketika Allah mengambil janji daripada orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu), ‘Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan jangan kamu menyembunyikannya,” lalu mereka melemparkan janji itu ke belakang punggung mereka dan mereka menukarnya dengan harga yang sedikit. Amatlah buruknya tukaran yang mereka terima.’”
Ali ‘Imran 3:187
Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala mengatakan mengapa mereka menukarkan pahala yang ada di sisi-Nya dengan dunia yang rendah nilainya. Bukankah mereka mempunyai akal untuk berfikir?
Ayat 170
وَٱلَّذِينَ يُمَسِّكُونَ بِٱلْكِتَـٰبِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُصْلِحِينَ
Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab Allah serta mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki (keadaan hidupnya).
Allah Ta’ala menyebutkan bahawa ada sebahagian kecil orang-orang Yahudi yang masih berpegang teguh kepada isi Taurat. Mereka mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Orang Yahudi tersebut ketika mendengar seruan Nabi Muhammad saw segera beriman kepadanya sesuai dengan petunjuk Taurat seperti Abdullah bin Salam dan kawan-kawannya.
Mereka mendirikan solat yang menjadi tiang agama dan pembeza antara orang yang mukmin dengan orang yang kafir. Allah Ta’ala tidak akan mensia-siakan segala amal kebaikan dan perbuatan yang telah mereka lakukan. Dia pasti akan memberikan ganjaran kepada mereka kerana mereka telah berusaha memperbaiki perbuatan mereka. Firman-Nya:
“Sesungguhnya mereka yang beriman dan beramal soleh, tentulah Kami tidak akan mensia-siakan pahala orang-orang yang mengerjakan amalan(nya) dengan yang baik.”
Al Kahfi 18:30