Surah 7: Al-A’raf (94 – 102)

Ujian Allah terhadap Umat Terdahulu

Surah 7: Al-A’raf (94 – 102)


Ayat 94

وَمَآ أَرْسَلْنَا فِى قَرْيَةٍ مِّن نَّبِىٍّ إِلَّآ أَخَذْنَآ أَهْلَهَا بِٱلْبَأْسَآءِ وَٱلضَّرَّآءِ لَعَلَّهُمْ يَضَّرَّعُونَ

Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).

Allah Ta’ala menjelaskan dalam ayat ini bahawa salah satu daripada sunnahNya yang berlaku ialah apabila Dia mengutuskan rasulNya kepada suatu umat kemudian umat tersebut mendustai rasulNya itu, maka Allah swt menimpakan ujian kepada umat tersebut secara beransur-ansur dimulai dengan kesempitan hidup dan penderitaan. 

Allah Ta’ala menguji mereka dengan kesusahan agar mereka tunduk dan merendahkan diri, iaitu beribadah, khusyu’ dan berdoa kepadaNya agar menghilangkan musibah yang menimpa mereka. 

Ayat 95

ثُمَّ بَدَّلْنَا مَكَانَ ٱلسَّيِّئَةِ ٱلْحَسَنَةَ حَتَّىٰ عَفَوا۟ وَّقَالُوا۟ قَدْ مَسَّ ءَابَآءَنَا ٱلضَّرَّآءُ وَٱلسَّرَّآءُ فَأَخَذْنَـٰهُم بَغْتَةً وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”. Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.

Kemudian Allah swt menggantikan kesusahan mereka itu dengan kesenangan untuk menguji mereka. Dia memperbanyakkan rezeki mereka, menyihatkan badan serta menghindarkan musibah daripada mereka, namun mereka tidak melakukan seperti apa yang Allah swt inginkan. Mereka tetap menunjukkan tanda kufur kepada nikmat Allah swt. 

Menurut mereka kesengsaraan, sakit, dan musibah serta kemudian mendapat kesenangan adalah perkara yang biasa, sebagaimana yang dialami oleh nenek moyang mereka sebelumnya, dan bukan sebagai peringatan atau hukuman Allah swt tapi hanyalah mengikut masa yang silih berganti. Oleh sebab itu mereka tetap dengan sikap kufur mereka. 

Mereka tidak pernah mengambil hikmah dan pelajaran terhadap apa yang ditakdirkan oleh Allah swt kepada mereka. Mereka juga tidak menyedari ujian kepada mereka itu adalah dalam dua keadaan yang berbeza iaitu kesenangan dan kesusahan. Namun bagi orang-orang yang beriman, mereka bersyukur kepada Allah swt ketika mereka senang dan sabar ketika mereka menghadapi kesusahan. Rasulullah saw bersabda: 

“Sungguh menakjubkan keadaan seorang mukmin. Seluruh urusannya itu baik. Ini tidaklah didapati kecuali pada seorang mukmin. Jika mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Itu baik baginya. Jika mendapatkan kesusahan, maka dia bersabar. Itu pun baik baginya.” 

(HR. Muslim) 

Bagi orang-orang tidak beriman, Allah swt menghukum mereka dalam keadaan mereka tidak menyedarinya sebagaimana yang disebutkan dalam hadis: 

“Kematian secara tiba-tiba adalah rahmat bagi orang-orang yang beriman dan (kematian secara tiba-tiba) adalah azab yang pedih bagi orang-orang kafir.” 

(HR. Ahmad) 

Ayat 96

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَـٰتٍ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَـٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa sekiranya penduduk kota Mekah dan penduduk negeri-negeri yang berada di sekitarnya serta umat manusia seluruhnya beriman kepada agama yang dibawa oleh Rasulullah saw dan mereka bertakwa kepadaNya dengan melakukan apa yang disuruh, menjauhi segala yang dilarangnya, seperti kemusyrikan dan berbuat kerosakan di bumi, nescaya Dia akan melimpahkan kepada mereka kebaikan dan keberkatan yang banyak, sama ada yang datang dari langit ataupun yang keluar dari bumi. 

Nikmat yang datang dari langit adalah hujan yang menyirami dan menyuburkan bumi, sehingga tumbuhlah tanam-tanaman dan berkembang biaklah binatang ternak yang kesemuanya sangat diperlukan oleh manusia. 

Walau bagaimanapun mereka mendustakan rasul-rasul yang diutuskan oleh Allah swt kepada mereka. Maka Dia menghukum mereka dengan kebinasaan akibat perbuatan haram yang mereka lakukan. 

Ayat 97

أَفَأَمِنَ أَهْلُ ٱلْقُرَىٰٓ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا بَيَـٰتًا وَهُمْ نَآئِمُونَ

Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?

Ayat 98

أَوَأَمِنَ أَهْلُ ٱلْقُرَىٰٓ أَن يَأْتِيَهُم بَأْسُنَا ضُحًى وَهُمْ يَلْعَبُونَ

Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main?

Ayat 99

أَفَأَمِنُوا۟ مَكْرَ ٱللَّهِ ۚ فَلَا يَأْمَنُ مَكْرَ ٱللَّهِ إِلَّا ٱلْقَوْمُ ٱلْخَـٰسِرُونَ

Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.

Dalam ketiga-tiga ayat ini terdapat takhwif (menakut-nakuti), iaitu Allah swt mengancam dan memperingatkan sesiapa sahaja yang menyelisihi perintahNya dan melanggar laranganNya. Seorang hamba itu juga tidak patut berasa aman dengan iman yang dimilikinya, bahkan dia mesti selalu memiliki rasa takut jika dia ditimpa ujian yang boleh mencabut keimanannya. Oleh itu, Hassan Al-Basri mengatakan, “Orang-orang mukmin itu melakukan ketaatan dengan perasaan takut (sekiranya amalannnya tidak diterima) sedangkan orang-orang kafir yang derhaka melakukan kemaksiatan dengan perasaan aman.” 

Istidraj ialah penundaan azab dengan diberikan kenikmatan demi kenikmatan dan keamanan untuk sementara waktu kepada orang yang mengingkari, berbuat maksiat dan derhaka kepada Allah swt dan RasulNya, lalu kemudiannya mereka ditimpakan azab secara tiba-tiba. 

Ayat 100

أَوَلَمْ يَهْدِ لِلَّذِينَ يَرِثُونَ ٱلْأَرْضَ مِنۢ بَعْدِ أَهْلِهَآ أَن لَّوْ نَشَآءُ أَصَبْنَـٰهُم بِذُنُوبِهِمْ ۚ وَنَطْبَعُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَسْمَعُونَ

Adakah (yang demikian itu tersembunyi dan) tidak jelas kepada orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya (hilang lenyap kerana ditimpa bencana), bahawa kalau Kami kehendaki tentulah Kami akan menimpakan mereka pula dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami meteraikan di atas hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar (nasihat-nasihat pengajaran)?

Allah Ta’ala menjelaskan bahawa jika suatu umat telah dibinasakan, lalu generasi selepasnya menempuh jalan yang sama iaitu mereka melakukan perkara yang sama, menentang Rabb mereka seperti apa yang dilakukan oleh umat terdahulu, maka Dia akan mengazab mereka. Ini kerana Sunnatullah berlaku terhadap orang-orang yang terdahulu ataupun yang terkemudian. Jika Dia menghendaki, Dia akan membinasakan mereka kerana dosa-dosa mereka, seperti yang berlaku terhadap umat sebelum mereka. 

Pada akhir ayat ini, Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telahpun memberikan pelajaran kepada mereka namun mereka tidak mahu mengambil pelajaran. Lalu dengan sebab mereka tidak mahu mengikutinya, maka Dia mengunci mati hati-hati mereka sehingga mereka tidak lagi dapat menerima sesuatu yang bermanfaat kepada mereka. Firman-firmanNya: 

“Maka tidakkah menjadi petunjuk bagi mereka (kaum musyrikin) berapa banyaknya Kami membinasakan umat-umat sebelum mereka, padahal mereka berjalan (di bekas-bekas) tempat tinggal umat-umat itu? Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.” 

Taha 20:128 

“Dan apakah tidak menjadi petunjuk bagi mereka, berapa banyak umat sebelum mereka yang telah Kami binasakan sedangkan mereka sendiri berjalan di tempat-tempat kediaman mereka itu. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah). Maka apakah mereka tidak mendengarkan?” 

As-Sajdah 32:26 

Ayat 101

تِلْكَ ٱلْقُرَىٰ نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنۢبَآئِهَا ۚ وَلَقَدْ جَآءَتْهُمْ رُسُلُهُم بِٱلْبَيِّنَـٰتِ فَمَا كَانُوا۟ لِيُؤْمِنُوا۟ بِمَا كَذَّبُوا۟ مِن قَبْلُ ۚ كَذَٰلِكَ يَطْبَعُ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Negeri-negeri (yang telah Kami binasakan) itu, Kami ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu (wahai Muhammad); dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan keterangan-keterangan yang nyata (mukjizat), sesudah itu mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah mendustakannya dahulu. Demikianlah Allah meteraikan di atas hati orang-orang yang kafir.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia telah menceritakan sebahagian daripada kisah-kisah kebinasaan kaum terdahulu kepada Rasulullah saw. Kisah-kisah penentangan umat-umat terdahulu kepada para rasul yang diutuskan kepada mereka diceritakan agar dijadikan pengajaran dan pengukuhan terhadap dakwah mereka. 

Allah Ta’ala juga menjelaskan bahawa Dia telah mengutus para rasul dengan membawa hujjah dan bukti yang nyata terhadap kebenaran yang mereka bawa kepada umat-umat sebelumnya namun mereka tidak beriman. Oleh itu, Allah swt memalingkan hati mereka sehingga tidak lagi dapat menerima petunjuk. FirmanNya: 

“Dan (begitu pula) Kami memalingkan hati dan penglihatan mereka seperti pertama kali mereka tidak beriman kepadanya (Al-Qur`an), dan Kami biarkan mereka bingung dalam kesesatan.” 

Al-An’am 6:110 

Ayat 102

وَمَا وَجَدْنَا لِأَكْثَرِهِم مِّنْ عَهْدٍ ۖ وَإِن وَجَدْنَآ أَكْثَرَهُمْ لَفَـٰسِقِينَ

Dan Kami tidak mendapati bagi kebanyakan mereka sebarang janji (yang ditepati), dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka melainkan orang-orang yang fasik.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa kebanyakan daripada mereka adalah orang-orang yang fasik yang keluar daripada ketaatan. Kebanyakan daripada mereka juga tidak memenuhi janji yang mereka berikan semasa mereka berada dalam tulang sulbi iaitu janji untuk beriman kepada Allah swt dan taat kepadaNya seperti dalam firmanNya: 

“Dan (ingatlah), ketika Rabbmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman), ‘Bukankah Aku ini Rabbmu?’ Mereka menjawab, ‘Betul (Engkau Rabb kami), kami menjadi saksi.’ (Kami lakukan yang demikian itu) agar pada hari kiamat kamu tidak mengatakan, ‘Sesungguhnya kami (Bani Adam) adalah orang-orang yang lalai terhadap ini (keesaan Tuhan).'” 

Al-A’raf 7:172