Surah 7: Al-A’raf (55 – 56)

Bimbingan Allah dalam Berdoa

Surah 7: Al-A’raf (55 – 56)


Ayat 55

ٱدْعُوا۟ رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً ۚ إِنَّهُۥ لَا يُحِبُّ ٱلْمُعْتَدِينَ

Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

Allah Ta’ala membimbing para hambaNya supaya berdoa kepadaNya dalam kemaslahatan dunia dan akhirat. Ada yang mengatakan maksudnya berdoalah dengan tunduk dan merendahkan diri, pasrah dan disertai dengan rasa takut (khufyah) iaitu dengan suara yang lembut sebagaimana firmanNya:  

“Dan ingatlah Rabbmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, pada waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.” 

Al-A’raf 7:205 

Abu Musa Al-Asy’ari mengatakan bahawa ada beberapa orang berdoa dengan menguatkan suara mereka, lalu Rasulullah saw bersabda:  

“Wahai manusia, kasihanilah diri kamu, sesungguhnya kamu tidak menyeru (berdoa) kepada Rabb yang tuli dan tidak juga jauh. Sesungguhnya Zat yang kamu seru itu adalah Allah Yang Maha Mendengar lagi sangat dekat.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)  

Ibnu Jarir mengatakan maksud تَضَرُّعًا ialah tunduk dan menyerah diri untuk mentaati Allah. Manakala maksud خُفْيَةًۚ ialah mengucapkan doa dengan khusyuk dan yakin dengan keesaanNya dan RububiyahNya tanpa menguatkan suara dan riya’. 

Ada beberapa pendapat berkaitan dengan ayat, “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”, iaitu: 

  • Daripada ‘Ata’ Al-Khurasani, daripada Ibnu ‘Abbas ra tentang ayat ini ialah, melampaui batas tentang sesuatu yang diminta (seperti meminta sesuatu yang tidak sesuai baginya), berlebih-lebihan dalam meminta, melampaui batas dalam cara meminta seperti berdoa dengan bersuara kuat. 
  • Abu Mijlaz mengatakan maksudnya ialah tidak memohon kedudukan para Nabi. 

Berkaitan dengan ayat ini juga terdapat hadis daripada Abu Na’amah bahawa ‘Abdullah bin Mughaffal mendengar anaknya berdoa, “Ya Allah, aku memohon kepadamu istana putih di sebelah kanan syurga ketika aku memasukinya.” Maka dia berkata, “Wahai anakku, mohonlah syurga dan mohonlah dilindungkan daripada neraka kerana aku pernah mendengar, Rasulullah saw bersabda:  

“Akan ada suatu kaum yang berlebih-lebihan dalam doa dan bersuci.” 

(HR. Ahmad dan Abu Dawud) 

Ayat 56

وَلَا تُفْسِدُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ بَعْدَ إِصْلَـٰحِهَا وَٱدْعُوهُ خَوْفًا وَطَمَعًا ۚ إِنَّ رَحْمَتَ ٱللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ ٱلْمُحْسِنِينَ

Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.

Allah Ta’ala melarang hamba-hambaNya melakukan kerosakan di bumi setelah adanya pembaikan daripadaNya. Kerosakan yang dimaksudkan ialah kesyirikan dan maksiat. Kemaksiatan pula ialah segala perkara yang diharamkanNya seperti membunuh, merampas harta orang lain, merosakkan tanaman dan dosa-dosa besar yang lain. 

Kemudian Allah Ta’ala mengingatkan lagi kepada hamba-hambaNya agar berdoa kepadanya kerana doa adalah ibadah. RahmatNya amat dekat kepada orang-orang yang berbuat baik dengan mengikuti suruhan dan meninggalkan laranganNya serta memperbaiki niat dan amalan mereka. Doa orang-orang yang berbuat baik lebih mudah dikabulkan berbanding dengan doa daripada orang-orang yang berbuat maksiat. FirmanNya: 

“………….Dan rahmatKu meliputi segala sesuatu. Maka akan Aku tetapkan rahmatKu itu untuk orang-orang yang bertakwa………….” 

Al-A’raf 7:156