Penciptaan Alam Semesta
Surah 7: Al-A’raf (54)
Ayat 54
إِنَّ رَبَّكُمُ ٱللَّهُ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ ثُمَّ ٱسْتَوَىٰ عَلَى ٱلْعَرْشِ يُغْشِى ٱلَّيْلَ ٱلنَّهَارَ يَطْلُبُهُۥ حَثِيثًا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ وَٱلنُّجُومَ مُسَخَّرَٰتٍۭ بِأَمْرِهِۦٓ ۗ أَلَا لَهُ ٱلْخَلْقُ وَٱلْأَمْرُ ۗ تَبَارَكَ ٱللَّهُ رَبُّ ٱلْعَـٰلَمِينَ
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Dia bersemayam di atas Arasy; Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Dia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintah-Nya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Ilah yang sebenarnya untuk disembah hanyalah Dia. Dia-lah Pencipta langit, bumi dan seluruh alam serta Dia-lah yang mengaturnya dan mentadbir segala urusan ciptaan-Nya dengan sempurna.
Salah satu sifat di antara sifat-sifat Allah Ta’ala yang wajib diimani dan diharamkan mentakwilkannya atau menanyakan kaifiyyahnya ialah istiwa’ Allah Swt atas ‘Arasy.
Allah Ta’ala memberitahu bahawa Dia-lah yang telah menciptakan seluruh alam semesta ini termasuk langit, bumi dan apa yang ada di antara kedua-duanya dalam enam hari. Hal seperti telah dijelaskan dalam beberapa ayat di dalam Al-Quran. Enam hari itu ialah Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat. Dalam masa itulah diciptakan semuanya termasuk penciptaan Nabi Adam as.
Namun para ahli tafsir berbeza pendapat tentang lamanya hari-hari tersebut, apakah setiap hari dari keenam-enam hari tersebut sama seperti hari-hari yang ada pada masa sekarang ini, atau setiap hari itu sama dengan seribu tahun, sebagaimana yang telah dinyatakan dalilnya oleh Mujahid dan Imam Ahmad bin Hanbal. Hal itu juga diriwayatkan daripada Ad-Dahhak daripada Ibnu ‘Abbas ra. Sedangkan hari Sabtu tidak ada penciptaan, kerana ia merupakan hari ketujuh dan disebabkan hal ini hari itu dinamakan Sabtu, yang bermaksud terputus.
Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra dia mengatakan Rasulullah saw memegang tangannya sambil bersabda:
“Allah menciptakan tanah pada hari Sabtu, menciptakan gunung-gunung pada hari Ahad, menciptakan pepohonan pada hari Isnin, menciptakan apa yang tidak disukai pada hari Selasa, menciptakan cahaya pada hari Rabu, menyebarkan makhluk melata pada hari Khamis dan menciptakan Adam setelah Asar pada hari Jumaat sebagai ciptaan terakhir pada saat paling akhir dari hari Jumaat, iaitu antara waktu Asar hingga malam.”
(HR. Ahmad)
Berkenaan dengan firman Allah Swt, “lalu Dia bersemayam di atas Arasy” para ulama mempunyai pelbagai pendapat yang sangat banyak. Namun ulama solafus soleh, seperti Imam Malik, Al-Auza’i, Ath-Thauri, Al-Laith bin Sa’ad, Asy-Syafi’i, Ahmad, Ishak bin Rahawaih dan imam-imam lainnya, baik yang terdahulu mahupun yang hidup kemudian membiarkannya seperti apa datang dalam ayat-Nya, tanpa adanya takyif (menanyakan hakikatnya), tasybih (menyerupakan-Nya dengan makhluk-Nya) dan ta’thil (menafikan atau menyimpangkan maknanya).
Setiap makna zahir yang terlintas pada fikiran orang-orang yang berfahaman musyabbihah (menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya), maka makna tersebut adalah tidak benar. Ini kerana tidak ada sesuatu pun daripada ciptaan Allah Swt yang menyerupai-Nya. Firman-Nya:
“………….Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya. Dan Allah-lah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Asy-Syura 42:11