Surah 7: Al-A’raf (34 – 36)

Manusia Beroleh Keuntungan jika Mengikuti Rasul Mereka

Surah 7: Al-A’raf (34 – 36)


Ayat 34

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَآءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ

Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.

Allah Swt menjelaskan bahawa setiap generasi memiliki batas waktu tertentu yang telah ditentukan kepada mereka iaitu batas waktu kejayaan atau kemusnahan dan kehancuran mereka. Oleh itu, mereka tidak dapat mengundurkannya dan mempercepatkannya walau sesaat pun. 

Ayat 35

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ إِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ رُسُلٌ مِّنكُمْ يَقُصُّونَ عَلَيْكُمْ ءَايَـٰتِى ۙ فَمَنِ ٱتَّقَىٰ وَأَصْلَحَ فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayat (perintah)-Ku, maka sesiapa yang bertakwa dan memperbaiki amalnya, tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Allah Ta’ala mengingatkan manusia bahawa Dia juga akan mengutuskan para rasul daripada kalangan manusia kepada mereka bersama kitab-Nya. Para rasul tersebut ditugaskan menyampaikan ayat-ayat-Nya berupa berita gembira dan peringatan, menjelaskan apa yang dihalalkan dan yang diharamkan-Nya serta perkara-perkara yang hak dan yang batil. 

Sesiapa yang patuh dan taat terhadap ajaran yang dibawa oleh rasul-rasul itu, bertakwa kepada Allah Swt dan sentiasa memperbaiki dirinya dan mengerjakan amal-amal soleh, dia akan berbahagia dan tidak ada rasa takut dan sedih, baik ketika hidup di dunia atau pun di akhirat kelak. Hidup berbahagia merupakan kurniaan Allah Swt yang sangat berharga, lebih berharga daripada harta kekayaan yang dimiliki. 

Ayat 36

وَٱلَّذِينَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔايَـٰتِنَا وَٱسْتَكْبَرُوا۟ عَنْهَآ أُو۟لَـٰٓئِكَ أَصْحَـٰبُ ٱلنَّارِ ۖ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat (perintah) Kami dan yang angkuh (merasa dirinya lebih) daripada mematuhinya, merekalah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.

Allah Ta’ala menerangkan bahawa ada di kalangan manusia yang tidak mahu percaya kepada ayat-ayat-Nya. Bukan sahaja tidak percaya, malah mereka menentang dengan sikap mereka yang sombong dan angkuh terhadap setiap rasul yang datang membawa ayat-ayat-Nya. Ini sebagaimana yang terjadi kepada para pemimpin Quraisy yang sombong kepada Rasulullah saw. Oleh itu, Allah Ta’ala mengatakan bahawa orang-orang seperti mereka ini adalah penghuni neraka dan tinggal kekal di dalamnya buat selama-lamanya.