Surah 7: Al-A’raf (27 – 30)

Peringatan Allah Swt terhadap Fitnah Syaitan

Surah 7: Al-A’raf (27 – 30)


Ayat 27

يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ لَا يَفْتِنَنَّكُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ كَمَآ أَخْرَجَ أَبَوَيْكُم مِّنَ ٱلْجَنَّةِ يَنزِعُ عَنْهُمَا لِبَاسَهُمَا لِيُرِيَهُمَا سَوْءَٰتِهِمَآ ۗ إِنَّهُۥ يَرَىٰكُمْ هُوَ وَقَبِيلُهُۥ مِنْ حَيْثُ لَا تَرَوْنَهُمْ ۗ إِنَّا جَعَلْنَا ٱلشَّيَـٰطِينَ أَوْلِيَآءَ لِلَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ

Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman.

Allah Swt mengingatkan manusia supaya berwaspada terhadap penipuan syaitan. Ini kerana syaitan menghiasi segala perbuatan buruk menjadi indah dan baik pada pandangan manusia. Ini menjadikan manusia terdorong untuk mengikutinya. 

Tipu daya syaitan telah berjaya menyebabkan terusirnya Nabi Adam as dan isterinya dari tempat yang tinggi ke tempat yang rendah. Oleh itu, tiada keazaman atau kemahuan yang kuat mempertahankan keimanan merupakan penyebab seseorang itu mudah terpedaya dengan bisikan syaitan. 

Syaitan dan pengikutnya turun-temurun terus-menerus memusuhi anak cucu Nabi Adam as. Syaitan-syaitan sentiasa mengintip dan mencari kelemahan-kelemahan manusia lalu memasukkan jarum hasutan dan tipuan. 

Allah Ta’ala mengingatkan bahawa syaitan-syaitan adalah musuh yang sangat berbahaya kerana makhluk-Nya ini dapat melihat manusia, sedangkan manusia tidak dapat melihatnya. Oleh itu, syaitan-syaitan ini lebih berbahaya daripada musuh biasa yang dapat dilihat. Ini kerana musuh-musuh lahiriah itu dapat diketahui di mana mereka berada dan ke mana arah tujuannya malah lebih berbahaya lagi daripada musuh dalam selimut. Syaitan-syaitan ini mengalir pada tubuh manusia seperti mengalirnya darah. Sabda Nabi Muhammad saw: 

“Sesungguhnya syaitan itu mengalir pada tubuh anak cucu Adam melalui saluran darah.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Ayat 28

وَإِذَا فَعَلُوا۟ فَـٰحِشَةً قَالُوا۟ وَجَدْنَا عَلَيْهَآ ءَابَآءَنَا وَٱللَّهُ أَمَرَنَا بِهَا ۗ قُلْ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَأْمُرُ بِٱلْفَحْشَآءِ ۖ أَتَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: “Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya”. Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?”

Ketika orang-orang musyrik melakukan perbuatan keji yang melanggar syariat Allah Ta’ala seperti mensyirikkan-Nya, mereka membuat alasan untuk membenarkan perbuatan mereka dengan mengatakan bahawa nenek moyang mereka dahulu juga pernah melakukannya, bahkan mereka mengatakan Allah Swt yang memerintahkannya. Sesungguhnya ini adalah alasan yang sangat batil kerana: 

  • Apa yang dilakukan oleh nenek moyang mereka bukanlah berdasarkan agama atau syariat. 
  • Amat mustahil Allah Swt memerintahkan hamba-hamba-Nya melakukan perbuatan yang keji. Sebaliknya syaitan lah yang memerintahkan mereka melakukan perbuatan yang keji. Orang-orang yang telah gelap hati mereka disebabkan tiada iman, tentulah dengan mudah menerima bisikan dan godaan syaitan. 

Ucapan mereka, “Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya” adalah ucapan yang tidak berasas dan tidak didasarkan kepada pengetahuan padahal yang demikian itu akan dipertanggungjawabkan nanti di akhirat sebagaimana firman Allah Ta’ala: 

“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya itu akan ditanya.” 

Al-Isra’ 17:36 

Allah Ta’ala tidaklah menyuruh orang-orang kafir itu berbuat demikian. Oleh itu, Dia mencela mereka kerana mereka menisbahkan apa yang mereka ada-adakan itu kepada-Nya sedangkan mereka tidak mengetahui kebenarannya. 

Ayat 29

قُلْ أَمَرَ رَبِّى بِٱلْقِسْطِ ۖ وَأَقِيمُوا۟ وُجُوهَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَٱدْعُوهُ مُخْلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ ۚ كَمَا بَدَأَكُمْ تَعُودُونَ

Katakanlah: “Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepada-Nya semata-mata; (kerana) sebagaimana Dia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya).

Setelah Allah Ta’ala menyangkal adanya perintah daripada-Nya agar melakukan perbuatan keji, dalam ayat ini Dia memerintahkan Rasulullah saw menyatakan kepada orang-orang musyrik bahawa Dia hanya memerintahkannya supaya istiqamah dan berlaku adil dalam semua urusan serta tidak melampaui batas sebagaimana firman-Nya: 

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat kebajikan, memberi kepada kaum kerabat dan melarang melakukan perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan.” 

An Nahl 16:90 

Allah Ta’ala juga memerintahkan Rasulullah saw mengatakan bahawa Dia memerintahkannya memenuhi hak beribadah kepada-Nya iaitu menyembah-Nya dengan mengikhlaskan ketaatan hanya kepadaNya semata-mata dan mengharapkan keredhaan-Nya. Selain itu, ayat ini juga memerintahkan dua perkara: 

  • Istiqamah mengikuti para Rasul (mutaba’ah). Mereka telah diteguhkan dengan mukjizat-mukjizat dalam menyampaikan syariat-syariat Allah Swt 
  • Ikhlas semata-mata kerana-Nya. 

Dengan kata lain, amalan seseorang itu hanya diterima oleh Allah Swt jika memenuhi dua syarat: 

  • Amalan itu benar iaitu selaras dengan syariat Allah. 
  • Amalan dilakukan dengan ikhlas iaitu bebas daripada kesyirikan. 

Ayat ini adalah untuk mendorong mereka supaya tetap ingat dan patuh kepada Allah Ta’ala dan tidak terpengaruh kepada ajakan dan pujukan syaitan. Juga agar mereka selalu memikirkan bagaimana Dia menciptakan mereka pada permulaannya dan kepada-Nya akan dikembalikan pada hari pembalasan untuk dihisab semua amalan mereka ketika berada di dunia ini. Firman-Nya: 

“Dan sesungguhnya kamu datang kepada Kami sendiri-sendiri sebagaimana kamu Kami ciptakan pada mulanya, dan kamu tinggalkan di belakangmu (di dunia) apa yang telah Kami kurniakan kepadamu.” 

Al-An’am 6:94 

Para ahli tafsir berbeza pendapat tentang ayat, “sebagaimana Dia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepada-Nya)” Mujahid mengatakan, “Allah menghidupkan kamu setelah kematian.” Al-Hasan Al-Basri mengatakan, “Sebagaimana Allah telah menciptakan kamu pada permulaan di dunia, maka demikian jugalah Dia akan mengembalikan kamu pada hari akhirat dalam keadaan hidup.” Abdurrahman bin Zaid bin Aslam mengatakan, “Sebagaimana Allah telah menciptakan kamu pada permulaan di dunia, maka demikian jugalah Dia akan mengembalikan kamu kelak.” Pendapat yang akhir ini dipilih oleh Abu Ja’far bin Jarir dan dia menguatkan pendapatnya dengan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata, Rasulullah saw berdiri di tengah-tengah kami dan memberikan nasihat dan bersabda: 

“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan dikumpulkan menghadap Allah dalam keadaan tanpa alas kaki dan bertelanjang bulat, serta tidak berkhitan. Sebagaimana Kami jadikan pada awal mulanya, maka seperti itu pula Kami mengembalikannya, sebagai janji Kami. Sesungguhnya Kami akan melaksanakan.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Ayat 30

فَرِيقًا هَدَىٰ وَفَرِيقًا حَقَّ عَلَيْهِمُ ٱلضَّلَـٰلَةُ ۗ إِنَّهُمُ ٱتَّخَذُوا۟ ٱلشَّيَـٰطِينَ أَوْلِيَآءَ مِن دُونِ ٱللَّهِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُم مُّهْتَدُونَ

Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufik untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. Serta mereka pula menyangka, bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah.

Allah Swt menyatakan bahawa manusia itu terbahagi kepada dua golongan: 

  • Golongan yang telah diberi-Nya petunjuk dan taufik di dunia ini sehingga dapat beribadah kepada-Nya dengan ikhlas iaitu tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang lain. Ini adalah golongan yang benar-benar mencari kebenaran. 
  • Golongan yang telah sesat kerana terpedaya dengan mengikut ajakan syaitan dan meninggalkan perintah Allah Swt, Pencipta mereka. Ini kerana mereka menjadikan syaitan sebagai pelindung mereka dan bukannya Allah Ta’ala. Namun mereka masih menyangka bahawa mereka adalah golongan yang memperoleh petunjuk. Golongan ini adalah orang yang paling rugi sebagaimana firman Allah Ta’ala: 

“Katakanlah, ‘Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling rugi perbuatannya? Iaitu orang-orang yang telah sia-sia perbuatan mereka dalam kehidupan di dunia ini sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat yang sebaik-baiknya.'” 

Al-Kahfi 18:103-104