Surah 7: Al-A’raf (4 – 7)

Pelajaran dari Kebinasaan Kaum Terdahulu

Surah 7: Al-A’raf (4 – 7)


Ayat 4

وَكَم مِّن قَرْيَةٍ أَهْلَكْنَـٰهَا فَجَآءَهَا بَأْسُنَا بَيَـٰتًا أَوْ هُمْ قَآئِلُونَ

Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah hari.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa banyak negeri dan penduduknya telah dibinasakan-Nya kerana mereka menyalahi rasul-Nya dan mendustakan mereka. Oleh itu, didatangkan kepada mereka seksaan dan kebinasaan pada malam hari kepada kaum Nabi Lut as dan siang hari kepada kaum Nabi Syu’aib as. Seksaan itu mendatangi mereka pada malam atau siang hari ketika mereka beristirahat atau bersantai. Hal ini sebagaimana firman-firman-Nya: 

“Maka apakah penduduk negeri-negeri itu berasa aman daripada kedatangan seksaan Kami kepada mereka di malam hari di waktu mereka sedang tidur? Atau apakah penduduk negeri-negeri itu berasa aman dari kedatangan seksaan Kami kepada mereka di waktu matahari sepenggalahan naik ketika mereka sedang bermain?” 

Al-A’raf 7:97-98 

“(Setelah diterangkan yang demikian) maka adakah orang-orang yang merancang dan melakukan kejahatan-kejahatan itu berasa aman daripada ditimbuskan oleh Allah akan mereka ke dalam bumi, atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak menyedarinya? Atau Dia membinasakan mereka secara mengejut dalam masa mereka berulang alik melakukan kerja masing-masing? Kerana sebenarnya mereka tidak akan dapat melemahkan kuasa Allah. Atau Dia membinasakan mereka (dan harta benda mereka) sedikit demi sedikit? Kerana sesungguhnya Tuhan kamu amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya.” 

An-Nahl 16:45-47 

Ayat 5

فَمَا كَانَ دَعْوَىٰهُمْ إِذْ جَآءَهُم بَأْسُنَآ إِلَّآ أَن قَالُوٓا۟ إِنَّا كُنَّا ظَـٰلِمِينَ

Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata: “Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim”.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa ucapan orang-orang kafir ketika didatangkan seksaan tidak lain adalah penyesalan dengan mengakui dosa-dosa dan kezaliman mereka. 

Ayat 6

فَلَنَسْـَٔلَنَّ ٱلَّذِينَ أُرْسِلَ إِلَيْهِمْ وَلَنَسْـَٔلَنَّ ٱلْمُرْسَلِينَ

Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa pada hari kiamat kelak Dia akan menanyakan setiap umat tentang tanggapan mereka terhadap para rasul yang diutus-Nya dan penyampaian risalah-Nya. Dia juga akan bertanyakan para rasul tentang penerimaan kaumnya sama ada beriman atau kufur. Firman-firman-Nya: 

“Dan pada hari (kiamat itu) Allah menyeru mereka lalu bertanya: ‘Apa jawab kamu kepada rasul-rasul yang diutus kepada kamu dahulu?’” 

Al-Qasas 28:65 

“Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-Rasul daripada kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayat-Ku (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini? Mereka menjawab: “Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri kami sendiri (mendustakan rasul-rasul itu)”. Dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mengingkari (apa yang telah disampaikan oleh rasul-rasul itu).” 

Al-An’am 6:130 

Ayat 7

فَلَنَقُصَّنَّ عَلَيْهِم بِعِلْمٍ ۖ وَمَا كُنَّا غَآئِبِينَ

Kemudian sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (Rasul-rasul dan umat-umatnya), dengan (berdasarkan) pengetahuan (yang meliputi akan apa yang mereka lakukan), dan sememangnya Kami tidak sekali-kali ghaib (bahkan sentiasa Mendengar, Melihat dan Mengetahui akan hal ehwal mereka).

Allah Ta’ala menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui dan Dia akan memberitahu orang-orang kafir tentang keadaan para Rasul dan kaum mereka di akhirat kelak, tidak akan ada yang terluput walaupun sebesar zarah. Firman-Nya: 

“Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dia-lah sahaja dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir biji pun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang terang nyata.” 

Al-An’am 6:59