Perintah agar Bersabar dan Bertakwa kepada Allah Swt
Surah 3: Ali ‘Imran (200)
Ayat 200
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).
Allah Swt menutup surah ini dengan dorongan dan nasihat yang baik lagi mulia agar menjadikan doa mereka diterima, mendapat pertolongan, meraih keselamatan dan kebahagiaan serta keuntungan di dunia dan akhirat. Antaranya:
- Sabar dalam menjalankan perintah-perintah agama Islam yang Allah redhai.
- Sabar dan tabah dalam menghadapi pelbagai ujian atau musibah dan tidak meninggalkan agama Islam hingga mati dalam keadaan berserah diri.
- Meneguhkan kesabaran untuk menghadapi musuh-musuh dan jangan sekali-kali menyerah kalah.
- Bertakwa kepada Allah swt iaitu takut kepada kemurkaan-Nya, takut terhadap seksaanNya, selalu berasa sentiasa diawasi-Nya sama ada ketika bersendirian atau di khalayak ramai, menjalani perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Ketakwaan ini mampu menjadi penyebab mendapat kemenangan.
- Bersiap sedia dengan peralatan perang di setiap perbatasan negeri Islam untuk memberikan rasa gerun kepada musuh Islam supaya mereka tidak menyerang negara Islam. Keutamaan ini sangat besar. Rasulullah saw bersabda:
“Bersiap siaga di perbatasan sehari pada jalan Allah itu lebih baik (pahalanya) daripada dunia dan apa yang ada di atasnya.”
(HR. Al-Bukhari)
“Bersiap siaga di titik-titik perbatasan selama sehari semalam di jalan Allah itu jauh lebih baik daripada berpuasa dan beribadah solat malam selama sebulan. Jika dia meninggal dunia (ketika dia sedang bersiap siaga), maka amal yang dikerjakannya menjadi amal jariah, dia tetap diberikan rezeki (meskipun telah mati) dan dia aman daripada yang suka menimbulkan fitnah (syaitan).”
(HR. Muslim)