Orang Mukmin Pasti akan Diuji
Surah 3: Ali ‘Imran (186)
Ayat 186
لَتُبْلَوُنَّ فِىٓ أَمْوَٰلِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ وَلَتَسْمَعُنَّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَـٰبَ مِن قَبْلِكُمْ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشْرَكُوٓا۟ أَذًى كَثِيرًا ۚ وَإِن تَصْبِرُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَإِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ
Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu, jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya).
Abu Dawud meriwayatkan daripada Abdurrahman bin Abdullah bin Ka’ab bin Malik daripada bapanya, bahawa Ka’ab bin Al-Asyraf mencela Nabi saw dan disokong oleh orang-orang kafir Quraisy. Ketika Nabi saw tiba di Madinah, sedangkan penduduknya beraneka ragam; ada yang Muslim, Musyrik yang menyembah berhala dan ada orang-orang Yahudi. Mereka menyakiti Baginda dan para sahabatnya, maka Allah ‘Azza wa Jalla memerintahkan Baginda bersabar dan memaafkan mereka, maka turunlah ayat ini.
Dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang Mukmin pasti akan diuji berkaitan dengan harta, diri dan sebagainya. Firman-Nya:
“Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan hasil tanaman. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”
Al-Baqarah 2:155
Ayat ini juga adalah sebagai panduan kepada orang-orang Islam dalam menghadapi sesuatu yang menyakitkan hati iaitu apabila Al-Quran, agama Islam dan Rasulullah saw dihina dan difitnah, maka mereka hendaklah bersabar dan tetap menjaga ketakwaan. Mereka hendaklah membantah dengan cara yang lebih baik.
Oleh itu, Allah Swt memerintahkan orang-orang Mukmin agar mendekatkan diri kepada-Nya dengan bersabar terhadap setiap ujian yang menimpa harta dan diri sendiri atau pun terhadap gangguan orang-orang zalim. Mereka diperintahkan agar bertakwa dan mengharapkan keredhaan-Nya.