Setiap yang Bernyawa akan Merasakan Mati
Surah 3: Ali ‘Imran (185)
Ayat 185
كُلُّ نَفْسٍ ذَآئِقَةُ ٱلْمَوْتِ ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوْنَ أُجُورَكُمْ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۖ فَمَن زُحْزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدْخِلَ ٱلْجَنَّةَ فَقَدْ فَازَ ۗ وَمَا ٱلْحَيَوٰةُ ٱلدُّنْيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلْغُرُورِ
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
Allah Swt menyatakan bahawa setiap yang hidup pasti akan merasakan saat terpisahnya nyawa dari badan, hanya Dia sahaja yang Maha Hidup dan Maha Kekal dan tetap mengurus makhluk-makhluk-Nya. Dia yang Awal iaitu yang telah ada sebelum segala sesuatu ada dan Dia yang Akhir iaitu yang tetap ada setelah segala-galanya musnah.
Kelak di akhirat setiap diri akan mendapat balasan atas amalannya sama ada baik atau buruk. Sesiapa pun tidak akan terlepas walau sebesar zarah. Balasan tersebut ada sebahagiannya diberikan ketika masih di dunia dan ketika di alam kubur. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya kuburan itu tidak lain adalah sebuah taman daripada taman-taman Syurga atau sebuah jurang daripada jurang-jurang Neraka.”
(HR. At-Tirmizi dan Tabrani)
Sebenarnya kehidupan dunia yang dinikmati sama ada dari segi fizikal seperti makan dan minum ataupun maknawi seperti kedudukan, pangkat dan kehormatan tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu kerana dunia adalah sesuatu yang bersifat sementara dan berkualiti rendah. Firman-firman Allah:
“Dan apa sahaja yang diberikan kepada kamu, maka itu adalah kenikmatan hidup duniawi dan perhiasannya; sedang apa yang di sisi Allah adalah lebih baik dan lebih kekal. Maka apakah kamu tidak memahaminya?”
Al-Qasas 28:60
“Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi. Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal.”
Al-‘Ala 87:16-17
Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh demi Allah, perumpamaan dunia jika dibandingkan dengan akhirat tidak lain seperti jika salah seorang daripada kamu mencelupkan salah satu jarinya ke dalam laut lalu mengangkatnya kembali, maka lihatlah betapa air yang melekat pada jari tersebut?”
(HR. Ahmad)
Ayat ini memberikan gambaran betapa ruginya jika seseorang itu lebih mengutamakan dunia daripada akhirat. Namun jika dia menjadikan dunia sebagai tempat untuknya mendapatkan kehidupan akhirat iaitu dengan mejadikannya sebagai wasilah untuk mencapai tujuannya di akhirat kelak itu adalah baik baginya.
Di samping itu dalam ayat ini juga, terdapat dorongan untuk bersikap zuhud terhadap dunia yang tidak kekal. Ini kerana dunia merupakan kesenangan yang memperdayakan. Pada zahirnya dunia ini nampak indah, tetapi sebenarnya ia merupakan kesenangan yang sebentar yang akhirnya akan binasa dan manusia akan berpindah ke negeri Akhirat untuk menerima balasan.