Surah 3: Ali ‘Imran (181 – 184)

Ancaman Allah Swt terhadap Penghinaan Orang Yahudi kepada-Nya

Surah 3: Ali ‘Imran (181 – 184)


Ayat 181

لَّقَدْ سَمِعَ ٱللَّهُ قَوْلَ ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ فَقِيرٌ وَنَحْنُ أَغْنِيَآءُ ۘ سَنَكْتُبُ مَا قَالُوا۟ وَقَتْلَهُمُ ٱلْأَنۢبِيَآءَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَنَقُولُ ذُوقُوا۟ عَذَابَ ٱلْحَرِيقِ

Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami adalah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya, dan Kami akan katakan kepada mereka: “Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar.”

Sa’id bin Jubair meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan bahawa ketika turun ayat 245 surah Al-Baqarah yang bermaksud, “Siapakah yang memberi pinjaman kepada Allah Swt, pinjaman yang baik, maka Allah swt akan melipatgandakan pembayaran kepadanya dengan lipat ganda yang banyak.” Maka orang-orang Yahudi berkata, “Wahai Muhammad, apakah Rabbmu itu miskin, sehingga Dia masih mencari pinjaman daripada hamba-hamba-Nya?” Lalu Allah Swt pun menurunkan ayat ini, “Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang yang mengatakan, ‘Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami adalah orang-orang kaya.’” sehingga akhir ayat. 

Dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan  bahawa Dia mendengar perkataan kaum Yahudi yang sangat buruk iaitu dengan mengatakan bahawa Allah Ta’ala miskin sedangkan mereka kaya. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka perkatakan dan daripada segala sifat kekurangan. 

Selain itu, mereka juga membunuh para nabi tanpa sebarang alasan yang benar. Kejahatan ini dilakukan oleh nenek moyang kaum Yahudi tetapi dinisbahkan kepada kaum Yahudi yang hidup pada zaman Rasulullah saw. Ini kerana mereka bersetuju, membela dan bersikap saling membantu antara sesama Yahudi serta meyakini bahawa apa yang dilakukan oleh nenek moyang mereka adalah benar. 

Oleh itu, Allah Swt akan menghukum mereka atas perkataan dan perbuatan mereka dengan hukuman yang keras di akhirat disebabkan oleh dosa dan kejahatan mereka. 

Ayat 182

ذَٰلِكَ بِمَا قَدَّمَتْ أَيْدِيكُمْ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَيْسَ بِظَلَّامٍ لِّلْعَبِيدِ

(Azab seksa) yang demikian itu ialah disebabkan perbuatan yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Dan (ingatlah), sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya.”

Ayat ini ditujukan kepada kaum Yahudi sebagai bentuk kecaman, celaan, penghinaan dan penegasan atas perbuatan keji mereka. Oleh itu, Allah Swt akan menghukum mereka atas perkataan dan perbuatan mereka dengan hukuman yang keras di akhirat kelak. Azab yang membakar disebabkan oleh dosa dan kejahatan mereka dan Dia sekali-kali tidak akan menzalimi sesiapa pun. 

Ayat 183

ٱلَّذِينَ قَالُوٓا۟ إِنَّ ٱللَّهَ عَهِدَ إِلَيْنَآ أَلَّا نُؤْمِنَ لِرَسُولٍ حَتَّىٰ يَأْتِيَنَا بِقُرْبَانٍ تَأْكُلُهُ ٱلنَّارُ ۗ قُلْ قَدْ جَآءَكُمْ رُسُلٌ مِّن قَبْلِى بِٱلْبَيِّنَـٰتِ وَبِٱلَّذِى قُلْتُمْ فَلِمَ قَتَلْتُمُوهُمْ إِن كُنتُمْ صَـٰدِقِينَ

Orang-orang (Yahudi itulah) yang berkata: “Sebenarnya Allah telah perintahkan kami, supaya kami jangan beriman kepada seseorang Rasul sehingga ia membawa kepada kami korban yang dimakan api. “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya telah datang kepada kamu beberapa Rasul dahulu daripadaku dengan membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang kamu membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam yang kamu dakwakan itu)?

Ayat ini merupakan bantahan terhadap dakwaan kaum Yahudi yang mengatakan bahawa Allah Ta’ala telah mengambil janji daripada mereka dalam kitab-kitab mereka, agar tidak mengimani seorang rasul pun sehingga rasul tersebut menampakkan mukjizat. Mukjizat tersebut adalah apabila seorang daripada umatnya bersedekah, lalu sedekahnya diterimaNya, nescaya akan turun api dari langit yang memakan sedekah tersebut. Demikianlah yang dikatakan oleh Ibnu ‘Abbas ra dan Al-Hasan Al-Basri dan lain-lain. 

Kemudian Allah Ta’ala memerintahkan Rasulullah saw menyatakan bahawasanya telah datang kepada mereka sebelum Baginda beberapa orang rasul yang membawa pelbagai hujjah dan bukti seperti yang mereka sebutkan iaitu adanya api yang membakar korban-korban yang diterima. Namun mengapa mereka mendustakan, menentang dan bahkan membunuh rasul-rasul yang diutuskan jika mereka mengikuti kebenaran. 

Menurut Ibnu ‘Abbas ra, ayat ini turun berkaitan dengan Ka’b bin Al-Asyraf, Malik bin Shaif, Finhash bin Azura’ dan sekelompok kaum Yahudi yang lain. Mereka datang menemui Rasulullah saw lalu berkata, “Wahai Muhammad, kamu mengaku sebagai seorang rasul Allah dan Dia mewahyukan kepadamu kitab suci. Sebelumnya, Allah Swt telah memerintahkan kami dalam kitab Taurat untuk tidak beriman kepada seorang rasul sebelum Dia datang kepada kami membawa korban yang dimakan api yang turun dari langit. Ketika turun, api itu mengeluarkan suara gema yang tidak begitu keras. Oleh itu, sekiranya kamu mampu mendatangkan bentuk korban seperti itu, maka kami akan membenarkamu.” Lalu turunlah ayat ini. 

Namun apa yang mereka perkatakan itu adalah satu kebohongan yang mereka ada-adakan. Lalu Allah Swt membantah mereka dengan mengatakan bahawa turunnya api adalah salah satu mukjizat sedangkan sebelumnya ramai para rasul telah diutuskan kepada mereka seperti Nabi Zakaria as, Nabi Yahya as dan lain-lainnya dengan membawa pelbagai mukjizat dan bukti tentang kenabian mereka namun mereka tetap didustakan dan dibunuh. Sekiranya kaum Yahudi itu adalah orang-orang yang benar, mereka akan mengikuti yang hak dan tunduk kepada para rasul. 

Ayat 184

فَإِن كَذَّبُوكَ فَقَدْ كُذِّبَ رُسُلٌ مِّن قَبْلِكَ جَآءُو بِٱلْبَيِّنَـٰتِ وَٱلزُّبُرِ وَٱلْكِتَـٰبِ ٱلْمُنِيرِ

Oleh itu, jika mereka mendustakanmu (wahai Muhammad, maka janganlah engkau berdukacita), kerana sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu telah didustakan juga; mereka telah membawa keterangan-keterangan (mukjizat) yang nyata dan Kitab-kitab (nasihat pengajaran), serta Kitab (syariat) yang terang jelas.

Ayat ini adalah ayat untuk menenangkan hati Rasulullah saw supaya hilang rasa sedih dan gundah yang dialaminya akibat sikap kaum Yahudi dan orang-orang yang suka membantah apa sahaja yang dibawa oleh Baginda. 

Selain itu, ayat ini juga merupakan ayat motivasi kepada Rasulullah saw dan orang-orang Mukmin agar mereka tetap teguh dan bersabar dalam menghadapi pelbagai tipu daya serta kebohongan orang-orang Yahudi. 

Allah Swt menyatakan sebenarnya rasul-rasul sebelum Rasulullah saw juga membawa mukjizat sebagai bukti kebenaran mereka. Mereka juga membawa penjelasan yang sempurna lagi nyata melalui kitab Zabur dan kitab-kitab (suhuf) yang lain.