Surah 3: Ali ‘Imran (180)

Balasan bagi Orang Bersifat Bakhil

Surah 3: Ali ‘Imran (180)


Ayat 180

وَلَا يَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ هُوَ خَيْرًا لَّهُم ۖ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَّهُمْ ۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا۟ بِهِۦ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۗ وَلِلَّهِ مِيرَٰثُ ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۗ وَٱللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ

Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?”

Allah Swt memberitahu tentang kesalahan orang-orang yang bakhil iaitu yang memiliki harta tetapi tidak mahu menginfakkannya. Mereka menyangka bahawa kebakhilan mereka memberi manfaat dan kemuliaan kepada mereka, namun ternyata tidak. Bahkan ia menjadi penyebab ruginya mereka dan akan mendapat seksa di akhirat. Rasulullah saw bersabda: 

“Barangsiapa diberikan harta kekayaan oleh Allah, namun tidak menunaikan zakatnya, maka hartanya akan dirupakan baginya seperti seekor ular besar yang botak. Ular itu mempunyai dua bisa (racun di mulutnya) dan ular itu akan dikalungkan kepadanya pada hari kiamat. Kemudian ular itu akan mematuknya dengan dua rahangnya sambil berkata, ‘Aku adalah harta kekayaanmu, aku adalah simpananmu.”‘ Setelah itu Rasulullah membacakan ayat ini, “Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang Allah berikan kepada mereka dari kurniaan-Nya menyangka, bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan kelak di leher mereka pada hari kiamat.” 

(HR. Al-Bukhari) 

Dalam ayat ini, Allah Ta’ala menyebutkan beberapa sebab yang menghendaki supaya manusia tidak bakhil terhadap pemberian Allah. Antaranya: 

  • Apa yang ada di tangan manusia merupakan kurniaan dan nikmat daripada Allah Swt. Sekiranya Allah Swt tidak melimpahkan kurniaan dan ihsan-Nya, tentu tidak akan sampai kepada mereka nikmat itu. Perkara ini menghendaki agar mereka berbuat ihsan (baik) kepada hamba-hamba-Nya yang lain, sebagaimana firman Allah: 

“Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu.” 

Al-Qasas 28:77 

  • Sesiapa yang yakin bahawa apa yang ada di tangannya sekarang adalah kurniaan Allah Swt, tentu dia tidak akan menahan lebihan hartanya itu untuk diinfakkan. Sebenarnya dengan berinfak itu tidak merugikannya, bahkan memberi manfaat kepadanya sama ada bagi hatinya, hartanya, di samping menambah keimanannya dan juga memeliharanya daripada musibah. 
  • Apa yang ada di tangan setiap hamba semuanya akan kembali kepada Allah Swt dan Dia yang mewarisinya. Oleh sebab itu, tidak ada gunanya bersifat bakhil terhadap sesuatu yang akan pasti hilang atau berpindah kepada yang lain. Firman-Nya: 

“Sesungguhnya Kami mewarisi bumi dan semua orang-orang yang ada di atasnya, dan hanya kepada Kami-lah mereka dikembalikan.” 

Maryam 19:40 

  • Adanya jaza’i (balasan) daripada Allah Swt. 

Allah Swt menyatakan bahawa Dia Maha Mengetahui segala perkara tentang hamba-hamba-Nya termasuk apa yang ada di dalam hati. Dia akan memberikan balasan yang baik terhadap kebaikan dan balasan seksa terhadap keburukan yang mereka lakukan.