Surah 3: Ali ‘Imran (176 – 179)

Ayat-ayat terhadap Orang yang Menentang Dakwah Rasulullah saw

Surah 3: Ali ‘Imran (176 – 179)


Ayat 176

وَلَا يَحْزُنكَ ٱلَّذِينَ يُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْكُفْرِ ۚ إِنَّهُمْ لَن يَضُرُّوا۟ ٱللَّهَ شَيْـًٔا ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ أَلَّا يَجْعَلَ لَهُمْ حَظًّا فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Dan janganlah engkau berdukacita (wahai Muhammad), disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran; kerana sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan tidak memberi kepada mereka (balasan baik syurga) pada hari akhirat kelak, dan mereka pula beroleh azab seksa yang amat besar.

Rasulullah saw mempunyai keinginan yang sangat kuat supaya seluruh manusia menjadi orang-orang yang beriman. Baginda bersungguh-sungguh menyampaikan dakwah agar mereka mendapat hidayah dan Baginda bersedih ketika melihat orang-orang musyrik segera mengingkari serta menentang dakwahnya. 

Orang-orang kafir Mekah atau orang-orang munafik selalu mempermainkan agama Islam. Walau bagaimana pun Allah swt akan tetap memenangkan agamaNya, membela RasulNya dan mewujudkan ketetapanNya tanpa memerlukan mereka. Sesungguhnya, mereka sekali-kali tidak dapat menimbulkan sedikit pun mudharat kepada Rasulullah saw dan para sahabat. Bahkan mereka hanyalah memudharatkan dan merugikan diri mereka sendiri. 

Di akhirat kelak orang-orang yang kafir tidak akan mendapat bahagian berupa pahala daripada Allah dan bagi mereka adalah seksaan yang keras. Allah akan menghukum mereka atas apa yang mereka lakukan dan Dia tidak sedikit pun menzalimi mereka, bahkan merekalah yang menzalimi diri mereka sendiri. 

Ayat 177

إِنَّ ٱلَّذِينَ ٱشْتَرَوُا۟ ٱلْكُفْرَ بِٱلْإِيمَـٰنِ لَن يَضُرُّوا۟ ٱللَّهَ شَيْـًٔا وَلَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Sesungguhnya orang-orang yang membeli (memilih) kufur dengan meninggalkan iman tidak sekali-kali mereka akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan mereka pula beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Allah Ta’ala menyatakan bahawa orang-orang yang murtad sesudah mereka beriman, sebenarnya telah menggadaikan keimanan dan menukarkannya dengan kekafiran serta menjual hidayah untuk mendapatkan kesesatan. Perbuatan mereka ini tidak sedikit pun merugikan Allah swt tetapi sebaliknya merekalah yang akan menerima azab yang sangat menyakitkan sebagai balasannya. 

Ayat 178

وَلَا يَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَنَّمَا نُمْلِى لَهُمْ خَيْرٌ لِّأَنفُسِهِمْ ۚ إِنَّمَا نُمْلِى لَهُمْ لِيَزْدَادُوٓا۟ إِثْمًا ۚ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّهِينٌ

Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).

Allah swt menyatakan bahawa orang-orang kafir menganggap bahawa apabila Allah swt memberi tangguh kepada mereka dan memanjangkan usia mereka tanpa disegerakan azab, ia adalah suatu kebaikan buat mereka. Namun tanggapan mereka ini adalah salah, malah hal itu merupakan suatu keburukan kepada mereka. 

Ini kerana mereka tidak memanfaatkan umur mereka kepada kebaikan, malah mereka memanfaatkan umur mereka dalam keburukan dan kesyirikan. Setiap waktu bertambah maka semakin bertambah dosa mereka kerana terus tenggelam dalam kebatilan dan kesesatan. Oleh itu, semakin bertambah usia, semakin bertambah pula dosa-dosa mereka. Mereka akan dibinasakan dengan seksaan yang menghinakan. 

Ayat 179

مَّا كَانَ ٱللَّهُ لِيَذَرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ عَلَىٰ مَآ أَنتُمْ عَلَيْهِ حَتَّىٰ يَمِيزَ ٱلْخَبِيثَ مِنَ ٱلطَّيِّبِ ۗ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُطْلِعَكُمْ عَلَى ٱلْغَيْبِ وَلَـٰكِنَّ ٱللَّهَ يَجْتَبِى مِن رُّسُلِهِۦ مَن يَشَآءُ ۖ فَـَٔامِنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرُسُلِهِۦ ۚ وَإِن تُؤْمِنُوا۟ وَتَتَّقُوا۟ فَلَكُمْ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada seorang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Ia tetap menguji kamu) sehingga Ia memisahkan yang buruk (manufik) daripada yang baik (beriman). Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara yang Ghaib akan tetapi Allah memilih dari RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya (untuk memperlihatkan kepadanya perkara-perkara yang Ghaib). Oleh itu berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya; dan kamu beriman dan bertaqwa, maka kamu akan beroleh pahala yang besar.

Allah swt menyatakan bahawa Dia tidak akan membiarkan orang-orang beriman dan orang-orang munafik dalam keadaan yang samar sehingga tidak dapat membezakan keimanan kedua-dua golongan ini. Oleh itu, melalui ujian pada perang Uhud, jelas terlihat keimanan, kesabaran, keteguhan, dan ketaatan orang-orang beriman kepada Allah swt dan RasulNya. Di samping itu, terbukalah topeng orang-orang munafik, lalu jelas terlihat kederhakaan, pembangkangan dan keengganan mereka untuk berjihad serta pengkhianatan mereka kepada Allah swt dan RasulNya. 

Setelah itu, Allah swt menjelaskan bahawa tidak ada sesiapa pun yang mengetahui perkara ghaib yang Dia sembunyikan tentang makhlukNya sehingga Dia menyingkap keadaan orang-orang munafik. Dia memilih di kalangan para RasulNya untuk mengetahui siapa di antara mereka yang betul-betul beriman dan siapa pula yang munafik atau kafir. Antara Rasul yang dipilih oleh Allah Ta’ala dan mempunyai keistimewaan ini ialah Nabi Muhammad saw melalui wahyuNya. FirmanNya: 

“(Allah adalah Rabb) yang mengetahui yang ghaib, maka Allah tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada Rasul yang diredhaiNya………….” 

Al-Jin 71:26-27 

Seterusnya, Allah swt memerintahkan manusia supaya mentaatiNya dan RasulNya serta mengikuti apa yang telah disyari’atkanNya.