Surah 3: Ali ‘Imran (169 – 171)

Keutamaan Para Syuhada’

Surah 3: Ali ‘Imran (169 – 171)


Ayat 169

وَلَا تَحْسَبَنَّ ٱلَّذِينَ قُتِلُوا۟ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ أَمْوَٰتًۢا ۚ بَلْ أَحْيَآءٌ عِندَ رَبِّهِمْ يُرْزَقُونَ

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki;

Allah swt menyatakan bahawa walaupun para Syuhada’ telah terbunuh di dunia, namun roh-roh mereka tetap hidup dan diberikan rezeki di dalam Syurga. Oleh itu, janganlah beranggapan bahawa mereka yang gugur pada jalan Allah Ta’ala itu mati dan tidak diberikan balasan pahala terhadap amal-amal yang mereka lakukan di dunia. Sebenarnya mereka hidup di alam lain dan diberikan kemuliaan dan penghormatan. 

Daripada Ibnu Abbas ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda: 

“Ketika saudara-saudara kamu tertimpa musibah (mati syahid dalam) perang Uhud, Allah ‘Azza wa Jalla menempatkan roh-roh mereka dalam perut burung-burung hijau yang mendatangi sungai-sungai di Syurga dan memakan buah-buahannya. Tempat kembali burung-burung itu adalah Qanaadil yang terbuat daripada emas di bawah naungan ‘Arsy. Ketika mereka mendapat makanan, minuman dan tempat kembali mereka yang baik, mereka berkata, ‘Seandainya sahabat-sahabat kami mengetahui apa yang diberikan Allah kepada kami, pasti mereka tidak enggan dalam berjihad dan tidak lari daripada peperangan.’” 

(HR. Ahmad) 

Kehidupan para Syuhada’ yang dijelaskan dalam Al-Quran ini adalah sebuah bentuk kehidupan yang bersifat ghaib yang tidak mungkin dapat diketahui keadaannya yang sebenar. Kewajipan kita hanyalah mempercayainya seperti yang telah dijelaskan melalui wahyuNya. 

Ayat 170

فَرِحِينَ بِمَآ ءَاتَىٰهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضْلِهِۦ وَيَسْتَبْشِرُونَ بِٱلَّذِينَ لَمْ يَلْحَقُوا۟ بِهِم مِّنْ خَلْفِهِمْ أَلَّا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

(Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.

Para Syuhada’ bergembira dan senang dengan apa yang mereka dapati iaitu berupa nikmat tempat tinggal yang indah, kurniaan yang besar dan penghormatan serta kemuliaan yang diberikan kepada mereka atas kesyahidan mereka. 

Mereka juga gembira dengan saudara-saudara mereka yang masih berjihad pada jalan Allah swt dan belum terbunuh. Ini kerana sahabat-sahabat mereka menjejaki jalan yang sama yang mereka lalui. Mereka gembira kerana Allah swt telah menyediakan nikmat dan kurniaanNya kepada mereka. 

Sesiapa yang berada dalam kenikmatan dan kurniaan Allah swt maka dia tidak akan pernah berasa sedih. Sesiapa yang pahala amal perbuatannya tersimpan untuknya, maka dia tidak akan berasa khuatir terhadap nasibnya kelak di akhirat. 

Ayat 171

يَسْتَبْشِرُونَ بِنِعْمَةٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَفَضْلٍ وَأَنَّ ٱللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُؤْمِنِينَ

Mereka bergembira dengan balasan nikmat dari Allah dan limpah kurniaNya; dan (ingatlah), bahawa Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang beriman.

Para Syuhada’ berbahagia atas nikmat daripada Allah swt dan berbahagia bahawa Allah swt tidak mensia-siakan amalan orang-orang yang beriman. Semua ini merupakan ayat dorongan untuk berjihad dan tidak takut gugur di jalan Allah Ta’ala untuk meraih mati syahid.