Surah 3: Ali ‘Imran (159 – 164)

Sifat Rasulullah saw dan Perintah agar Bertawakal kepada Allah Swt

Surah 3: Ali ‘Imran (159 – 164)


Ayat 159

فَبِمَا رَحْمَةٍ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلْقَلْبِ لَٱنفَضُّوا۟ مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَٱعْفُ عَنْهُمْ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِى ٱلْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَوَكِّلِينَ

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.

Allah Swt menyatakan bahawa dengan rahmat-Nya, Dia menjadikan Rasulullah saw bersikap lembut dan ramah, berbicara dengan baik dalam mengarahkan mereka dan menerima permintaan maaf mereka atas kesalahan yang mereka lakukan dalam peperangan Uhud. 

Ini juga menunjukkan betapa mulia dan bijaksananya kepemimpinan Rasulullah saw serta betapa luhur budi pekerti Baginda. Firman-firman Allah: 

“Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung.” 

Al-Qalam 68:4 

“Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang Mukmin.” 

At-Taubah 9:128 

Sekiranya Rasulullah saw bersikap kasar dan keras kepada mereka sama ada dalam percakapan atau perlakuan maka mereka pasti akan pergi meninggalkannya dan menjauhi Islam. Oleh itu, Allah Swt melembutkan hati Baginda supaya bersikap lembut dengan tujuan menarik hati mereka dan Dia menjadikan mereka bersatu dan tetap berada di sekeliling Baginda. Baginda bersabda: 

“Sesungguhnya Allah Ta’ala memerintahkanku untuk bersikap lembut (untuk memujuk) kepada orang ramai seperti halnya Allah Ta’ala juga memerintahkan untuk menegakkan hukum.” 

(HR. At-Tirmizi) 

Oleh itu, Rasulullah saw diperintahkan agar memaafkan mereka atas kesalahan yang mereka lakukan dan memohon agar Allah Swt mengampuni mereka. Rasulullah saw selalu bermusyawwarah dengan para sahabat dalam memutuskan permasalahan yang perlu diselesaikan seperti dalam urusan politik, peperangan atau kemaslahatan yang lain. Ini bertujuan agar hati mereka senang dan bersemangat melakukan sesuatu perkara. Dalam perang Badar, Rasulullah saw mengajak mereka bermusyawwarah untuk membuat keputusan keluar menghalang kemaraan pasukan orang-orang kafir. Dalam perang Uhud juga Baginda bermusyawwarah ketika hendak memutuskan sama ada bertahan di Madinah atau keluar menghadapi musuh. Begitu juga dalam peristiwa-peristiwa yang lain. 

Sekiranya mereka memberikan pendapat yang boleh memberi kemaslahatan dan Baginda telah membuat keputusan, maka Baginda diperintahkan supaya membulatkan tekad untuk melaksanakannya dengan penuh tawakal kepada Allah Swt kerana Dia menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya. 

Berdasarkan ayat ini, dapatlah difahami bahawa dakwah yang sesuai untuk menarik manusia ke dalam agama Allah Swt adalah menerusi akhlak yang mulia. 

Ayat 160

إِن يَنصُرْكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمْ ۖ وَإِن يَخْذُلْكُمْ فَمَن ذَا ٱلَّذِى يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعْدِهِۦ ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ

Jika Allah menolong kamu mencapai kemenangan maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika Ia mengalahkan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.

Allah Swt menyatakan bahawa sekiranya Dia berkehendak memberikan pertolongan dan kemenangan kepada mereka dalam perang Uhud seperti kemenangan dalam perang Badar, maka tiada seorang pun mampu mengalahkan mereka. 

Sekiranya Allah Swt menghendaki menghina mereka dengan membiarkan mereka tanpa pertolongan dan menghendaki kekalahan buat mereka, maka tiada siapa pun yang dapat menolong mereka. 

Pertolongan dan kemenangan adalah bergantung kepada pelaksanaan perintah-perintah Allah Swt, taat kepadaNya dan kepada pemimpin. Sedangkan kehinaan iaitu tidak diberikan pertolongan adalah disebabkan maksiat dan pelanggaran terhadap arahan Rasul-Nya. 

Orang-orang yang bertawakal kepada Allah Swt akan mendapat dua perkara: 

  • Cinta Allah Ta’ala. Firman-Nya: 

“………..Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal kepada-Nya.” 

Ali- Imran 3:159 

  • Allah memberi kecukupan kepadanya. FirmanNya: 

“……………….Dan sesiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya………………” 

At-Talaq 65:3 

Dalam ayat ini, terdapat perintah kepada orang-orang Mukmin agar sentiasa meminta pertolongan kepada Allah Swt, bersandar hanya kepada-Nya serta berlepas diri daripada kekuatan dan kemampuan diri sendiri. 

Ayat 161

وَمَا كَانَ لِنَبِىٍّ أَن يَغُلَّ ۚ وَمَن يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ ٱلْقِيَـٰمَةِ ۚ ثُمَّ تُوَفَّىٰ كُلُّ نَفْسٍ مَّا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ

Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang), dan sesiapa yang berkhianat (menggelapkan sesuatu), ia akan bawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu; kemudian tiap-tiap seorang akan disempurnakan (balasan bagi) apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dikurangkan sedikitpun (balasannya).

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra bahawa ayat, “Dan tiadalah patut bagi seseorang Nabi itu (disangkakan) berkhianat (menggelapkan harta rampasan perang),” ini turun berkenaan dengan selimut berwarna merah yang hilang pada waktu perang Badar. Lalu ada yang mengatakan mungkin Rasulullah saw yang mengambilnya. (Hadis Riwayat At-Thabrani, Abu Dawud dan Imam At-Tirmidzi) 

Ini merupakan penafian Allah Swt terhadap Rasulullah saw daripada pelbagai bentuk pengkhianatan seperti mengambil harta rampasan perang dan lain-lain lagi. 

Ayat ini juga menjelaskan sifat-sifat Rasulullah saw dan tugas atau misi Baginda dalam memperbaiki umat. Oleh itu, khianat bukanlah sifat seorang nabi. Ini kerana Allah Swt menjaganya daripada segala sifat yang keji dan kenabian mempunyai kedudukan yang tinggi. 

Allah Swt memberikan peringatan dan ancaman yang keras tentang sikap khianat ini iaitu sesiapa yang mengambil sesuatu daripada harta rampasan perang, dia akan membawanya pada hari Kiamat kelak. Kemudian, Allah Swt akan membuat perhitungan terhadap perbuatannya, bahkan sekiranya dia mengambil seekor lembu atau seekor kambing, dia akan membawanya. 

Dalam hadis yang panjang, daripada Abu Hurairah ra, dia berkata, “Pada suatu hari Rasulullah saw berdiri di hadapan kami, lalu Baginda menyebutkan tentang perbuatan ghulul (mengambil harta rampasan perang sebelum dibahagi-bahagikan), maka Baginda membesar-besarkan permasalahan yang berkaitan dengannya. Baginda bersabda: 

“Jangan sampai kelak pada hari Kiamat, aku bertemu dengan salah seorang daripada kamu dalam keadaan dirinya memikul unta yang bersuara, lalu dia berkata kepadaku, “Wahai Rasulullah, tolonglah aku.” Maka aku katakan kepadanya, “Aku tidak memiliki sesuatu apa pun untukmu yang boleh menyelamatkan dirimu daripada (seksa) Allah kerana aku telah menyampaikan (larangan) kepadamu……………” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Ayat 162

أَفَمَنِ ٱتَّبَعَ رِضْوَٰنَ ٱللَّهِ كَمَنۢ بَآءَ بِسَخَطٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَمَأْوَىٰهُ جَهَنَّمُ ۚ وَبِئْسَ ٱلْمَصِيرُ

Adakah orang yang menurut keredhaan Allah itu sama seperti orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan dari Allah? Sedang tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.

Allah Swt menyatakan bahawa tidaklah sama orang yang mengikuti syariat-Nya sehingga mendapat redha-Nya dan dijauhkan daripada Neraka dengan orang yang berbuat maksiat dan ingkar kepada-Nya. Firman-Nya: 

“Patutkah Kami menganggap orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh sama dengan orang-orang yang berbuat kerosakan di muka bumi? Patutkah (pula) Kami menganggap orang-orang yang bertakwa sama dengan orang-orang yang berbuat maksiat?” 

Sad 38:28 

Tempat kembali orang-orang yang kufur kepada Allah Swt adalah Neraka Jahannam dan itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. 

Ayat 163

هُمْ دَرَجَـٰتٌ عِندَ ٱللَّهِ ۗ وَٱللَّهُ بَصِيرٌۢ بِمَا يَعْمَلُونَ

Mereka itu (yang menurut keredhaan Allah, dan yang mendapat kemurkaan-Nya), mempunyai tingkatan-tingkatan (pahala atau dosa yang berlainan) di sisi Allah; dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan.

Orang-orang yang beriman dan orang-orang kafir memiliki kedudukan dan darjat yang berbeza. Orang-orang yang bertakwa pula memiliki kedudukan, darjat dan tingkatan berbeza dalam syurga. Begitu juga dengan kedudukan dan tingkatan orang-orang yang bermaksiat. Balasan kepada mereka berbeza mengikut amal perbuatan masing-masing. 

Darjat tingkatan yang tertinggi dalam Syurga adalah darjat Rasulullah saw, sedangkan tingkatan yang terendah dalam Neraka adalah diperuntukkan bagi orang-orang munafik. Firman Allah: 

“Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari Neraka. Dan kamu sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolong pun bagi mereka.” 

An-Nisa’ 4:145 

Allah Maha Melihat segala amal perbuatan hamba-hamba-Nya, tidak ada satu pun yang terlepas daripada pengetahuan-Nya. Semuanya akan mendapat balasan dengan adil. 

Ayat 164

لَقَدْ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَى ٱلْمُؤْمِنِينَ إِذْ بَعَثَ فِيهِمْ رَسُولًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ يَتْلُوا۟ عَلَيْهِمْ ءَايَـٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلْكِتَـٰبَ وَٱلْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا۟ مِن قَبْلُ لَفِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syariat). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Allah Ta’ala menegaskan bahawa pengutusan Nabi Muhammad saw adalah satu kurniaan yang besar kepada orang-orang yang beriman. Dia mengutuskan Baginda di kalangan bangsanya sendiri agar mudah baginya menyampaikan dakwah dan kaumnya mudah memahami perkataannya dan mendapatkan manfaat daripadanya. 

Baginda membacakan ayat-ayat Al-Quran kepada kaumnya agar mereka menjadikannya tempat rujukan untuk memahami ayat-ayat Allah Swt. Baginda memerintahkan mereka untuk berbuat kebaikan dan mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Dengan demikian, jiwa mereka dapat dibersihkan daripada kotoran semasa mereka berada dalam keadaan musyrik dan jahiliah sebelumnya.