Galakan agar Berjihad pada Jalan Allah Swt
Surah 3: Ali ‘Imran (158)
Ayat 158
وَلَئِن مُّتُّمْ أَوْ قُتِلْتُمْ لَإِلَى ٱللَّهِ تُحْشَرُونَ
Demi sesungguhnya! Jika kamu mati atau terbunuh, sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan (untuk menerima balasan).
Allah Swt menyatakan bahawa orang-orang yang mati terbunuh itu semuanya akan kembali kepada-Nya dan Dia akan memberi balasan yang sesuai dengan amalan mereka. Jika baik amalan mereka maka balasan juga baik sebaliknya jika amalan buruk maka balasannya juga buruk.
Dalam ayat ini juga terdapat motivasi kepada orang-orang Islam agar berkorban dan berjihad demi akidah untuk meninggikan kalimah Allah Swt. Sesiapa yang gugur pada jalan-Nya, dia akan diberi ganjaran yang tidak terhingga. Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya di Syurga ada seratus darjat yang disiapkan Allah untuk para mujahid fi sabilillah (orang-orang yang berjuang pada jalan Allah). Jarak antara kedua darjat itu sejauh jarak antara langit dan bumi.”
(HR. Al-Bukhari)