Surah 3: Ali ‘Imran (154 – 155)

Perasaan Orang Mukmin dan Orang Munafik dalam Perang Uhud

Surah 3: Ali ‘Imran (154 – 155)


Ayat 154

ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيْكُم مِّنۢ بَعْدِ ٱلْغَمِّ أَمَنَةً نُّعَاسًا يَغْشَىٰ طَآئِفَةً مِّنكُمْ ۖ وَطَآئِفَةٌ قَدْ أَهَمَّتْهُمْ أَنفُسُهُمْ يَظُنُّونَ بِٱللَّهِ غَيْرَ ٱلْحَقِّ ظَنَّ ٱلْجَـٰهِلِيَّةِ ۖ يَقُولُونَ هَل لَّنَا مِنَ ٱلْأَمْرِ مِن شَىْءٍ ۗ قُلْ إِنَّ ٱلْأَمْرَ كُلَّهُۥ لِلَّهِ ۗ يُخْفُونَ فِىٓ أَنفُسِهِم مَّا لَا يُبْدُونَ لَكَ ۖ يَقُولُونَ لَوْ كَانَ لَنَا مِنَ ٱلْأَمْرِ شَىْءٌ مَّا قُتِلْنَا هَـٰهُنَا ۗ قُل لَّوْ كُنتُمْ فِى بُيُوتِكُمْ لَبَرَزَ ٱلَّذِينَ كُتِبَ عَلَيْهِمُ ٱلْقَتْلُ إِلَىٰ مَضَاجِعِهِمْ ۖ وَلِيَبْتَلِىَ ٱللَّهُ مَا فِى صُدُورِكُمْ وَلِيُمَحِّصَ مَا فِى قُلُوبِكُمْ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِذَاتِ ٱلصُّدُورِ

Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas), sedang segolongan yang lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliyah. Mereka berkata: “Adakah bagi kita sesuatu bahagian dari pertolongan kemenangan yang dijanjikan itu?” Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya perkara (yang telah dijanjikan) itu semuanya tertentu bagi Allah, (Dia lah sahaja yang berkuasa melakukannya menurut peraturan yang ditetapkanNya)”. Mereka sembunyikan dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata (sesama sendiri): “Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?” katakanlah (wahai Muhammad): “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun nescaya keluarlah juga orang-orang yang telah ditakdirkan (oleh Allah) akan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing”. Dan (apa yang berlaku di medan perang Uhud itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada dalam dada kamu, dan untuk membersihkan apa yang ada dalam hati kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan segala (isi hati) yang ada di dalam dada.

Dalam ayat yang lepas, Allah swt menjelaskan tentang kesedihan kaum Muslimin tatkala mereka kalah dalam peperangan Uhud, tidak mendapat ghanimah (harta rampasan) perang dan ramai para sahabat yang terbunuh, mengalami luka-luka serta tersiarnya berita Rasulullah saw telah terbunuh.  

Dalam ayat ini pula, Allah swt menyatakan bahawa Dia memberikan anugerahNya kepada kaum Muslimin yang sedang mengalami kesedihan tersebut berupa rasa mengantuk menyebabkan mereka beroleh ketenangan dan berasa aman sedangkan mereka masih memegang senjata. FirmanNya:  

“(Ingatlah) ketika kamu dilitupi perasaan mengantuk sebagai satu (pemberian) aman daripada Allah (untuk menghapuskan kecemasan kamu)…………” 

Al-Anfal 8:11 

Imam Tirmidzi meriwayatkan daripada Anas bin Abi Thalhah, dia berkata, “Aku berusaha mengangkat kepalaku (setelah selesai perang) pada peperangan Uhud, maka aku melihat tidak ada seorang pun ketika itu kecuali semuanya tertidur kerana mengantuk. Itulah maksud firman Allah Ta’ala, 

ثُمَّ أَنْزَلَ عَلَيْكُمْ مِنْ بَعْدِ الْغَمِّ أَمَنَةً نُعَاسًا 

“Kemudian setelah kamu berdukacita, Allah menurunkan kepada kamu rasa aman (berupa) mengantuk.” 

Mereka ini adalah golongan orang-orang beriman yang memiliki keyakinan, keteguhan dan tawakal yang sebenar-sebenarnya kepada Allah swt. Mereka benar-benar yakin bahawa Dia pasti menolong RasulNya dalam menegakkan agamaNya. 

Sedangkan golongan yang lain dicemaskan oleh diri sendiri, dihantui dengan ketakutan dan kekhuatiran kerana mereka tidak percaya dengan pertolongan Allah swt dan tidak beriman kepada RasulNya. Mereka tidak diberikan rasa mengantuk yang dapat menghindarkan mereka daripada rasa cemas, gelisah dan ketakutan. Ini kerana mereka tidak yakin dan percaya kepada Allah swt dan RasulNya serta membuat sangkaan yang tidak benar terhadapNya. Sangkaan mereka adalah sama seperti sangkaan orang-orang jahiliah. FirmanNya: 

“Tetapi kamu menyangka bahawa Rasul dan orang-orang Mukmin tidak sekali-kali akan kembali kepada keluarga mereka selama-lamanya dan syaitan telah menjadikan kamu memandang baik dalam hatimu persangkaan itu, dan kamu telah menyangka dengan sangkaan yang buruk dan kamu menjadi kaum yang binasa.” 

Al-Fath 48:12 

Begitulah keadaan orang-orang Munafik, mereka memiliki pelbagai sangkaan buruk. Apabila mereka mendapati orang-orang Musyrik kuat, mereka menyangka orang-orang Musyrik akan menang dan orang-orang Mukmin akan kalah. Sebenarnya mereka ini diselubungi dengan pelbagai keraguan ketika menghadapi masalah. 

Orang-orang Munafik menyangka Allah swt tidak akan menyempurnakan urusan agama RasulNya. Oleh itu, mereka menyesal kerana ikut serta dalam peperangan dan sebahagian daripada mereka berkata kepada sebahagian yang lain, adakah mereka mempunyai pilihan untuk tidak ikut berperang. 

Allah swt memerintahkan Rasulullah saw menyatakan bahawa segala urusan itu adalah urusanNya. Dia yang menetapkan keluarnya seseorang itu ke medan peperangan dan terjadinya sesuatu perkara kepadanya ketika berlaku peperangan. 

Walaupun orang-orang Munafik tidak menampakkan rasa kesal mereka kepada Rasulullah saw, tetapi Allah swt mengetahuinya. Mereka menyangka sekiranya mereka tidak ikut serta berperang, mereka tidak akan terbunuh. Allah swt menafikannya dengan menyatakan ajal mereka adalah di tanganNya.  Seandainya mereka berada di rumah sekali pun jika ajal mereka di tempat lain nescaya mereka akan bergerak juga menuju ke tempat mereka akan terbunuh. 

Oleh itu, ujian yang dilakukanNya adalah untuk menguji tahap kekuatan iman umat Islam di samping untuk memperlihatkan secara jelas apa yang disembunyikan dalam hati mereka. Allah Maha Mengetahui apa yang ada dalam hati makhluk-makhlukNya dan tidak tersembunyi bagiNya sesuatu pun daripada urusan mereka. 

Ayat 155

إِنَّ ٱلَّذِينَ تَوَلَّوْا۟ مِنكُمْ يَوْمَ ٱلْتَقَى ٱلْجَمْعَانِ إِنَّمَا ٱسْتَزَلَّهُمُ ٱلشَّيْطَـٰنُ بِبَعْضِ مَا كَسَبُوا۟ ۖ وَلَقَدْ عَفَا ٱللَّهُ عَنْهُمْ ۗ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ حَلِيمٌ

Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling (melarikan diri) di antara kamu pada hari bertemu dua angkatan tentera (Islam dan kafir dalam perang Uhud) itu, sesungguhnya mereka telah digelincirkan oleh Syaitan dengan sebab sebahagian dari perbuatan-perbuatan (yang salah) yang mereka telah lakukan (pada masa yang lalu); dan demi sesungguhnya Allah telah memaafkan mereka, kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.

Orang-orang yang melarikan diri dalam perang Uhud adalah disebabkan mereka mengikut bisikan syaitan sehingga mereka melakukan dosa-dosa yang menyebabkan mereka terhalang daripada mendapat pertolongan dan peneguhan hati sehingga mereka melakukan sedemikian. 

Kesalahan mereka adalah kerana mereka melanggar perintah Rasulullah saw. Oleh itu, syaitan berhasil menguasai mereka. Sekiranya mereka mentaati Allah swt dan RasulNya, tentu syaitan tidak akan dapat menguasai hati mereka. Allah berfirman: 

“Sesungguhnya hamba-hambaKu tidak ada kekuasaan bagimu terhadap mereka, kecuali orang-orang yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat. 

Al-Hijr 15:42 

Allah Maha Pengampun dengan memberikan taufik kepada mereka untuk beristighfar dan bertaubat. Dia Maha Penyantun, tidak segera menghukum para pelaku maksiat, bahkan Dia menangguhkan seksaan dan menyeru supaya kembali kepadaNya. Jika seseorang itu mahu bertaubat dan kembali, maka Dia menerimanya dan menjadikannya seolah-olah tidak pernah berbuat dosa. Segala puji bagi Allah atas ihsanNya.