Surah 3: Ali ‘Imran (137 – 141)

Hikmah daripada Kekalahan dalam Perang Uhud

Surah 3: Ali ‘Imran (137 – 141)


Ayat 137

قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِكُمْ سُنَنٌ فَسِيرُوا۟ فِى ٱلْأَرْضِ فَٱنظُرُوا۟ كَيْفَ كَانَ عَـٰقِبَةُ ٱلْمُكَذِّبِينَ

Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).

Ayat ini turun kepada orang-orang mukmin yang mengalami kekalahan dalam perang Uhud. Sesungguhnya kehendak dan hukum Allah Ta’ala adalah berdasarkan peraturan yang tetap dan sunnah atau hukum alam yang bijaksana. Ini bermaksud peristiwa seperti ini telah berlaku kepada umat terdahulu iaitu umat sebelum Rasulullah saw. Kesudahan yang baik iaitu meraih kebahagiaan, kemenangan dan keuntungan dunia dan akhirat adalah untuk orang-orang yang berjalan atas manhaj orang-orang yang beriman. Sebaliknya sesiapa yang berjalan atas jalan orang-orang yang ingkar, mendustakan agama maka mereka akan mendapat kerugian, kehancuran dan kebinasaan. 

Ayat ini juga merupakan peringatan kepada sesiapa sahaja yang berbuat jahat dan tidak mematuhi perintah Rasulullah saw pada perang Uhud. Selain itu, ia juga mengandungi maksud bahawa sesungguhnya kemenangan pada perang Badar adalah disebabkan keteguhan, ketabahan dan kesungguhan di dalam peperangan, taat kepada Allah Swt dan Rasul-Nya, mempunyai sifat tawakkal yang baik dan benar kepada-Nya serta yakin akan kekuatan dan rahmat-Nya. 

Setelah peristiwa kekalahan muslimin dalam perang Uhud disebabkan ketidaksabaran dan ketidakpatuhan mereka kepada pemimpin mereka, maka Allah Swt menyebutkan peristiwa-peristiwa terdahulu yang telah berlaku kepada kaum Nabi Nuh as, kaum ‘Aad, kaum Thamud dan lain-lain. Dia membinasakan orang-orang yang mendustakan kebenaran dan menyelamatkan orang-orang yang beriman. 

Oleh itu, Allah Swt memerintahkan agar memperhatikan akibat yang berlaku terhadap orang-orang yang ingkar untuk dijadikan sebagai pelajaran dan pengajaran kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa. 

Ayat 138

هَـٰذَا بَيَانٌ لِّلنَّاسِ وَهُدًى وَمَوْعِظَةٌ لِّلْمُتَّقِينَ

(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.

Allah Swt menyatakan bahawa ayat-ayat Al-Quran merupakan sumber penerangan yang jelas kepada manusia untuk membezakan antara yang benar dengan yang salah serta sebagai petunjuk agar terhindar daripada jalan kesesatan. Firman-firman-Nya: 

“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertakwa.” 

Al-Baqarah 2:2 

“Inilah ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi hikmah, menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang berbuat kebaikan.” 

Luqman 31:2-3 

Ayat 139

وَلَا تَهِنُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَنتُمُ ٱلْأَعْلَوْنَ إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.

Allah Swt membangkitkan semangat orang-orang mukmin dalam berjihad memerangi musuh dan jangan pula bersedih hati atas kekalahan mereka dalam peperangan Uhud. 

Ini kerana mereka adalah orang-orang yang unggul dan kesudahan yang baik adalah milik mereka sekiranya mereka beriman kepada Allah swt dan RasulNya serta mengikuti syariatNya. 

Ayat 140

إِن يَمْسَسْكُمْ قَرْحٌ فَقَدْ مَسَّ ٱلْقَوْمَ قَرْحٌ مِّثْلُهُۥ ۚ وَتِلْكَ ٱلْأَيَّامُ نُدَاوِلُهَا بَيْنَ ٱلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَيَتَّخِذَ مِنكُمْ شُهَدَآءَ ۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat luka yang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Allah Swt menyatakan bahawa sekiranya kaum muslimin mengalami musibah dengan luka atau kematian akibat daripada peperangan Uhud, sebenarnya musuh mereka juga mengalami hal yang sama dalam peperangan Badar. Orang-orang Islam yang terkorban dalam peperangan, tempat mereka adalah Syurga manakala orang-orang kafir yang terkorban maka tempat mereka adalah di Neraka. 

Allah Swt pergilirkan kemenangan kadang-kadang kepada orang-orang kafir namun kesudahan yang baik tetap menjadi milik orang-orang mukmin. Ini kerana setiap perbuatan-Nya mengandungi hikmah. 

Antara hikmah pergiliran ini adalah bahawa dunia ini diberikan Allah Swt untuk semua manusia tidak kira orang mukmin atau orang kafir, orang baik mahupun orang jahat. Berbeza dengan di akhirat kerana kebahagiaan pada hari akhirat hanya diperuntukkan kepada orang-orang mukmin. 

Selain itu, hikmah Allah Swt menguji hamba-hamba-Nya dengan kekalahan ialah untuk mengetahui siapa yang mukmin dan siapa yang munafik. Ini kerana jika kemenangan selalu berpihak kepada kaum mukmin, akan ada yang masuk Islam kerana kekuatannya dan bukannya ikhlas kerana Allah Swt. Namun, jika umat Islam kadang-kadang diuji dengan kekalahan, maka akan diketahui dengan jelas siapakah yang benar-benar beriman dan sanggup bersusah-payah demi agama. 

Orang-orang yang mati syahid (syuhada’) ialah orang-orang Islam yang gugur di dalam peperangan untuk menegakkan agama Allah Swt. Sebahagian ahli tafsir ada yang mengatakan maksudnya ialah menjadi saksi atas manusia sebagaimana tersebut dalam ayat 143 surah Al-Baqarah. Mati sebagai syuhada’ merupakan darjat yang sangat tinggi di sisi Allah Ta’ala, dan memperoleh kenikmatan yang kekal. 

Allah Swt tidak menyukai orang-orang yang zalim iaitu kaum munafik. Ini merupakan celaan kepada mereka bahawa mereka dibenci Allah Ta’ala. Oleh sebab itu, Allah Swt menjadikan hati mereka lemah dan berundur daripada menyertai orang-orang beriman berperang menghadapi musuh. Firman-Nya: 

“Dan jika mereka mahu berangkat, tentulah mereka menyiapkan persiapan untuk keberangkatan itu, tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka dan dikatakan kepada mereka: ‘Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu.’” 

At-Taubah 9:46 

Ayat 141

وَلِيُمَحِّصَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَيَمْحَقَ ٱلْكَـٰفِرِينَ

Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir.

Orang-orang beriman telah mendapat pelajaran dan manfaat daripada peristiwa perang Uhud. Selepas peristiwa tersebut, mereka mulai patuh kepada perintah Rasulullah saw. Oleh itu, kemenangan demi kemenangan dapat mereka raih sehingga mereka mampu menjatuhkan kekuatan kaum kafir dan terus melenyapkan kekuasaan mereka dari bumi Arab, malah hingga ke luar negara Arab. 

Dalam ayat ini, Allah Swt menyebut dua hikmah berjihad pada jalan Allah: 

  • Allah Swt membersihkan dosa-dosa orang yang beriman. Sesiapa yang mati syahid ketika berjuang pada jalan Allah Swt dosa-dosanya akan dapat dihapuskan. 
  • Allah Swt menghancurkan orang-orang yang kufur kepada-Nya dan dengan sebab itu kebatilan tidak akan terus bertambah. 

Oleh itu, jihad yang telah disyariatkan sebenarnya adalah rahmat kepada orang-orang yang beriman. Sabda Rasulullah saw: 

“Siapa yang memohon kepada Allah dengan sungguh-sungguh hendak mati syahid, maka Allah menaikkannya ke tingkatan para syuhada sekalipun kenyataannya dia mati biasa di tempat tidur.” 

(HR. Muslim)