Surah 3: Ali ‘Imran (128 – 129)

Tiada Sesiapa Dapat Mencampuri Urusan Allah Swt

Surah 3: Ali ‘Imran (128 – 129)


Ayat 128

لَيْسَ لَكَ مِنَ ٱلْأَمْرِ شَىْءٌ أَوْ يَتُوبَ عَلَيْهِمْ أَوْ يُعَذِّبَهُمْ فَإِنَّهُمْ ظَـٰلِمُونَ

Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan (orang-orang yang ingkar) itu, (kerana urusan mereka tertentu bagi Allah), sama ada dia menerima taubat mereka ataupun Ia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.

Terdapat beberapa hadis yang meriwayatkan tentang turunnya ayat ini, antaranya ialah: 

Daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia berkata bahawa ketika perang Uhud, gigi hadapan Rasulullah saw mengalami keretakan, kepala Baginda yang mulia terluka sehingga darahnya menitis pada wajah Baginda. Lalu Baginda bersabda: 

“Bagaimana akan selamat suatu kaum yang berani melakukan hal ini terhadap Nabi mereka, padahal dia mengajak mereka kepada Rabb mereka. Lalu turunlah ayat ini.” 

(HR. Ahmad dan Muslim) 

Daripada Ibnu ‘Umar ra, dia berkata, dia mendengar Rasulullah saw bersabda: 

“Ya Allah, laknatilah si fulan. Ya Allah, laknatilah Harits bin Hisyam. Ya Allah, laknatilah Suhail bin ‘Amr. Ya Allah, laknatilah Shafwan bin Umayyah.” Lalu Allah Ta’ala menurunkan ayat ini kemudian taubat mereka semua diterima oleh Allah Ta’ala.” 

Dalam hadis ini dinyatakan bahawa apabila Rasulullah saw mengalami kecederaan dalam perang Uhud, ketika Baginda solat, Baginda mendoakan dengan doa yang tidak baik ke atas mereka yang disebutkan dalam hadis di atas. Lalu turunlah ayat ini berkaitan dengan dua perkara yang dijelaskan dalam hadis di atas iaitu luka yang dialami oleh Baginda dalam perang tersebut dan doa yang tidak baik ke atas mereka. 

Imam Bukhari pula meriwayatkan dalam hadis yang sangat panjang tentang sebab turunnya ayat ini, adalah disebabkan oleh Rasulullah saw telah berdoa kepada Allah Ta’ala agar menyelamatkan suatu kaum dan membinasakan kaum yang lain. 

Oleh itu, Allah Swt menyatakan kepada Rasulullah saw agar bersabar sehingga Dia menerima taubat mereka atau menyeksa mereka akibat perbuatan zalim mereka. 

Ayat 129

وَلِلَّهِ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَمَا فِى ٱلْأَرْضِ ۚ يَغْفِرُ لِمَن يَشَآءُ وَيُعَذِّبُ مَن يَشَآءُ ۚ وَٱللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Ia mengampunkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan dia menyeksa sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Kepunyaan Allah Swt segala yang ada di langit dan di bumi. Dia adalah penguasa dan pencipta alam ini. Dia menguasai segalanya dan menetapkan peraturan hukum-Nya sesuai dengan kehendak-Nya. 

Sekiranya Dia mengazab maka itu adalah atas keadilan-Nya dan sekiranya Dia memberi rahmat maka itu adalah sesuai dengan anugerah-Nya. Dia Maha Pengampun bagi orang yang mahu bertaubat dan Maha Penyayang bagi orang yang mahu kembali kepada kebenaran.