Peristiwa Perang Uhud
Surah 3: Ali ‘Imran (121 – 122)
Tempat berlakunya Perang Uhud. Di belakang terletak bukit yang kemerah-merahan dikenali sebagai Jabal Uhud manakala di hadapan terletak perkuburan syuhada, bukit yang ditempatkan pasukan pemanah dan sebuah masjid yang dinamakan Masjid Uhud.
Ayat 121
وَإِذْ غَدَوْتَ مِنْ أَهْلِكَ تُبَوِّئُ ٱلْمُؤْمِنِينَ مَقَـٰعِدَ لِلْقِتَالِ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Dan (ingatlah wahai Muhammad), ketika engkau keluar pada pagi hari dari rumah ahlimu (di Madinah), dengan tujuan menempatkan orang-orang yang beriman pada tempat masing-masing untuk berperang (di medan perang Uhud). Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Pendapat jumhur mengatakan ayat ini adalah berkenaan peristiwa perang Uhud yang terjadi pada pertengahan bulan Syawal tahun 3 Hijrah. Peperangan ini tercetus akibat daripada keinginan orang-orang kafir Quraisy menuntut bela atas terbunuhnya pemimpin-pemimpin mereka dalam perang Badar yang terjadi pada tahun 2 hijrah.
Dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan bahawa Rasulullah saw keluar dari rumah Baginda untuk menempatkan kaum muslimin di kedudukan pertempuran masing-masing, menyiapkan mereka dan memastikan kekuatan pasukan perang.
Baginda mengarahkan pasukan pemanah untuk berada di atas bukit. Sebahagian pasukan ditempatkan di sayap kanan dan sebahagian yang lain di bahagian kiri serta menentukan tempat-tempat tertentu untuk pasukan berkuda.
Allah Maha Mendengar pendapat yang diutarakan oleh kaum muslimin ketika Rasulullah saw mengajak mereka bermesyuarat tentang taktik perang Uhud. Antaranya ada yang memberi cadangan agar Baginda jangan keluar menemui musuh tetapi hendaklah kekal berada di Madinah sehingga musuh datang kepada mereka. Pendapat yang lain pula mencadangkan agar Baginda keluar bersama mereka untuk menemui musuh di luar kota Madinah. Dia Maha Mengetahui semua niat dan maksud yang ada, sama ada pendapat yang disampaikan itu ikhlas walaupun tidak tepat mahupun orang yang bersifat munafik dalam memberi pendapat yang tepat seperti Abdullah bin Ubay dan munafik yang lainnya.
Ayat 122
إِذْ هَمَّت طَّآئِفَتَانِ مِنكُمْ أَن تَفْشَلَا وَٱللَّهُ وَلِيُّهُمَا ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ ٱلْمُؤْمِنُونَ
(Ingatlah) ketika dua puak dari kamu (pada hari peperangan Uhud itu) terasa lemah semangat (untuk meneruskan perjuangan) kerana takut, padahal Allah Penolong dan Pelindung mereka; dan (jika sudah demikian) kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakkal.
Imam Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan daripada Jabir ra, dia berkata: “Ayat 122 surah Ali ‘Imran turun berkaitan kami.” Jabir berkata, “Kami adalah At-Tha’ifatani (dua golongan), iaitu Bani Harithah dan Bani Salamah. Dan kami tidak senang seandainya ayat ini tidak turun, kerana dalam ayat ini Allah Ta’ala berfirman,“ dan Allah adalah penolong bagi kedua-dua golongan ini.”
Dalam ayat ini, Allah Swt menyatakan kepada Rasulullah saw bahawa kedua-dua kabilah daripada kaum Ansar iaitu Bani Salamah daripada Aus dan Bani Harithah daripada Khazraj berkeinginan untuk berundur daripada medan peperangan apabila mereka melihat pemimpin orang-orang munafik iaitu Abdullah bin Ubay dan pengikut-pengikutnya mengundurkan diri pulang ke Madinah. Ini menjadikan mereka gerun dan takut menghadapi musuh.
Namun, Allah Swt menolong mereka dan melindungi mereka daripada dosa yang sangat besar iaitu lari dari medan peperangan dan meninggalkan Rasulullah saw. Kedua-dua kabilah ini bertawakkal kepada Allah Swt dan meneruskan peperangan tersebut bersama Rasulullah saw.
Ini adalah peristiwa perang Uhud. Allah menyebutkannya dalam ayat ini untuk mengingatkan bahawa sifat tidak sabar dan hilangnya tawakkal kepada-Nya akan menyebabkan kekalahan yang cukup besar. Dalam peristiwa ini, 70 sahabat daripada Ansar, empat daripada Muhajirin dan bapa saudara Rasulullah saw iaitu Hamzah bin Abdul Mutalib ra telah syahid di medan peperangan ini. Baginda pula mengalami luka di kepalanya dan gigi Baginda retak.
Oleh itu, orang-orang beriman perlu bertawakkal dalam meminta pertolongan dan bantuan daripada-Nya semasa dalam keadaan tertekan ataupun dalam peperangan. Mereka hendaklah berlepas diri daripada kemampuan mereka sebaliknya bersandar kepada kekuasaan Allah ‘Azza wa Jalla. Dengan itu, mereka akan mendapat pertolongan Allah Swt dan beroleh kemenangan serta dapat mengatasi pelbagai ujian.