Keutamaan Ahli Kitab yang Memeluk Islam
Surah 3: Ali ‘Imran (113 – 115)
Ayat 113
لَيْسُوا۟ سَوَآءً ۗ مِّنْ أَهْلِ ٱلْكِتَـٰبِ أُمَّةٌ قَآئِمَةٌ يَتْلُونَ ءَايَـٰتِ ٱللَّهِ ءَانَآءَ ٱلَّيْلِ وَهُمْ يَسْجُدُونَ
Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (Al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).
Ahli kitab yang dicela dan dikecam dalam ayat-ayat sebelum ini, sebenarnya tidaklah sama kefasikan dan kekufuran mereka. Ada di antara mereka yang beriman, menegakkan perintah Allah Swt, taat atas syariat-Nya, mengikuti Nabi-Nya, membaca Al-Quran ketika mereka menunaikan solat pada waktu malam dan memperbanyakkan tahajjud.
Ayat 114
يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَيُسَـٰرِعُونَ فِى ٱلْخَيْرَٰتِ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ مِنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ
Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.
Allah Swt memuji ahli kitab atas keimanan mereka yang benar kerana beriman kepada-Nya dan hari kiamat. Mereka juga menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar serta bersegera mengerjakan kebaikan-kebaikan dengan bersemangat. Mereka itulah termasuk dalam golongan hamba-hamba-Nya yang soleh.
Mereka ini sebenarnya adalah para rahib ahli kitab seperti Abdullah bin Salam, Asad bin Ubaid, Tsa’labah bin San’ah dan lainnya. Ayat-ayat ini turun berkenaan dengan diri mereka sebagai bantahan terhadap kaum Yahudi yang memandang orang-orang daripada golongan mereka yang beriman kepada Allah Ta’ala dan Rasulullah saw, bukanlah orang-orang yang baik atau pilihan. Pada pandangan mereka sekiranya Abdullah bin Salam dan yang lainnya adalah baik, tentulah mereka tidak akan meninggalkan agama nenek moyang mereka.
Ayat 115
وَمَا يَفْعَلُوا۟ مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ ۗ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِٱلْمُتَّقِينَ
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertakwa.
Allah Swt menegaskan bahawa segala amal ketaatan yang dikerjakan oleh ahli kitab yang beriman, pasti akan mendapat pahala dengan sempurna dan melimpah. Allah Maha Mengetahui dan tidak akan mensia-siakan amalan mereka.