Surah 3: Ali ‘Imran (110 – 112)

Umat Nabi Muhammad saw adalah Sebaik-baik Umat

Surah 3: Ali ‘Imran (110 – 112)


Ayat 110

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ ۗ وَلَوْ ءَامَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَـٰبِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasik.

Allah Swt menyatakan bahawa umat Nabi Muhammad saw adalah sebaik-baik umat dan manusia yang paling bermanfaat kepada yang lainnya iaitu dengan menyuruh yang makruf (kebaikan) dan mencegah daripada kemungkaran dan beriman kepada Allah Ta’ala. Sabda Rasulullah saw: 

“Kalian setara dengan tujuh puluh umat, dan kalian adalah umat yang terbaik dan paling mulia di sisi Allah ‘Azza wa Jalla.” 

(HR. Ahmad) 

“Kita adalah umat terakhir, namun yang pertama pada hari kiamat. Kita adalah umat yang pertama kali masuk syurga, walaupun umat yang lain diberikan kitab sebelum kita, sedangkan kita diberi kitab setelah mereka. Lalu Allah menunjukkan kebenaran kepada kita daripada apa yang mereka perselisihkan. Maka hari ini (hari Jumaat) yang mereka perselisihkan adalah milik kita. Dan dalam hal ini manusia mengikuti kita. Adapun bagi Yahudi adalah esok (Sabtu) dan untuk Nasrani adalah lusa (Ahad).” 

(HR. Al-Bukhari) 

Umat ini menjadi terkemuka dalam kebaikan adalah kerana Nabi mereka adalah Nabi Muhammad saw. Ini kerana Baginda merupakan makhluk terhormat dan Rasul paling mulia di sisi Allah Ta’ala. Baginda diutus membawa syariat yang sempurna dan agung serta belum pernah diturunkan kepada seorang Nabi atau Rasul sebelumnya. Sesiapa yang beramal walaupun sedikit di atas manhajnya tidak akan terkejar oleh amalan umat yang lain sekalipun banyak. Antara hadis yang menyatakan tentang keutamaan Baginda ialah daripada Muhammad bin Ali Ibnu Al-Hanafiyah, dia pernah mendengar Ali bin Abi Talib ra berkata, Rasulullah saw bersabda: 

“Aku diberikan anugerah yang tidak diberikan kepada seorang nabi pun.” Lalu kami bertanya, “Apakah itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda, “Aku diberikan pertolongan dengan rasa takut musuh kepadaku. Aku juga dianugerahi kunci-kunci bumi, diberi nama Ahmad dan dijadikan bumi ini bagiku untuk bersuci serta umatku dijadikan umat yang terbaik.” 

(HR. Ahmad) 

Dalam hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda: 

“Segolongan daripada umatku akan masuk syurga, jumlah mereka tujuh puluh ribu. Wajah-wajah mereka berseri laksana cahaya bulan pada malam purnama.” Abu Hurairah ra berkata, “Maka bangkitlah ‘Ukkasyah bin Mihshan Al-Asadi sambil mengangkat pakaian yang dikenakannya, dia berkata, “Wahai Rasulullah, mohonlah kepada Allah agar aku termasuk golongan mereka.” Maka Rasulullah berdoa, “Ya Allah, jadikanlah dia termasuk golongan mereka.” Kemudian berdirilah seorang lelaki Ansar dan berkata, “Wahai Rasulullah, mohonlah kepada Allah agar aku pun termasuk golongan mereka.” Nabi berkata, “Engkau telah didahului oleh ‘Ukkasyah.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Dalam ayat ini juga, Allah Swt menyatakan sekiranya ahli kitab beriman kepada Rasulullah saw dan risalah yang dibawa oleh Baginda, nescaya itu adalah lebih baik bagi mereka di dunia dan di akhirat daripada pengakuan dusta yang selalu mereka nyatakan. 

Namun, Allah Swt menyatakan bahawa ada juga di antara ahli kitab itu yang beriman secara jujur dan benar seperti Abdullah bin Salam dan Tsa’labah serta saudara mereka. Namun selain mereka kebanyakannya adalah fasik. Mereka tidak mahu mengamalkan isi kandungan kitab suci mereka yang mengandungi akidah dan syariat yang salah satunya adalah perintah Allah Swt agar beriman kepada Rasulullah saw dan mengikuti ajaran Islam yang dibawanya. 

Ayat 111

لَن يَضُرُّوكُمْ إِلَّآ أَذًى ۖ وَإِن يُقَـٰتِلُوكُمْ يُوَلُّوكُمُ ٱلْأَدْبَارَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ

Mereka (kaum Yahudi dan Nasrani) tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan kamu dengan ejekan dan tuduhan yang tidak berasas). Dan jika mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangkan kamu (kalah dengan sehina-hinanya); sesudah itu mereka tidak akan mencapai kemenangan.

Allah Swt menyatakan bahawa walaupun masih ada ahli kitab yang fasik namun mereka tidak membahayakan orang-orang Islam kecuali hanya beberapa gangguan kecil seperti ucapan batil dan kebohongan. 

Sekiranya ahli kitab yang fasik ini memerangi kaum muslimin, nescaya mereka akan kalah dan melarikan diri daripada medan peperangan. Ini kerana mereka sekali-kali tidak akan mendapat pertolongan Allah Ta’ala. 

Hal ini pernah terjadi iaitu dalam Perang Khaibar mereka benar-benar dihinakan oleh Allah. Demikian juga Bani Qainuqa’, Bani Nadhir serta Bani Quraizhah di Madinah turut dihinakan. Manakala orang-orang Nasrani dikalahkan oleh para sahabat selepas berjaya menakluki Syam. 

Ayat 112

ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ ٱلذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوٓا۟ إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ ٱلنَّاسِ وَبَآءُو بِغَضَبٍ مِّنَ ٱللَّهِ وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ ٱلْمَسْكَنَةُ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ كَانُوا۟ يَكْفُرُونَ بِـَٔايَـٰتِ ٱللَّهِ وَيَقْتُلُونَ ٱلْأَنۢبِيَآءَ بِغَيْرِ حَقٍّ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوا۟ وَّكَانُوا۟ يَعْتَدُونَ

Mereka ditimpakan kehinaan (dari segala jurusan) di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia. Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan dari Allah, dan mereka ditimpakan kemiskinan (dari segala jurusan). Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa kufur ingkar akan ayat-ayat Allah (perintah-perintah-Nya), dan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tiada alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka derhaka dan mereka sentiasa mencerobohi (hukum-hukum Allah).

Allah Swt menyatakan bahawa Dia akan sentiasa menimpakan kehinaan dan merendahkan mereka walau di mana pun mereka berada sehingga mereka berasa tidak aman kecuali jika mereka menerima Islam. Itulah yang dimaksudkan dengan tali hubungan dengan Allah (hablum minallah). Manakala yang dimaksudkan dengan tali hubungan dengan manusia (hablum minannas) ialah dengan mengadakan perjanjian damai dan berlindung di sebuah negeri yang kuat. 

Ahli kitab yang ingkar ini bukan sahaja mengingkari ayat-ayat Allah Swt malah mereka telah melampaui batas dengan membunuh nabi-nabi tanpa alasan yang benar. Akibat keingkaran dan kekafiran, mereka mendapat kemurkaan Allah Ta’ala dan berakhir dengan mendapat seksaan-Nya.