Surah 3: Ali ‘Imran (104 – 108)

Perintah agar Menegakkan Amar Makruf Nahi Munkar

Surah 3: Ali ‘Imran (104 – 108)


Ayat 104

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Ayat ini bermaksud, hendaklah ada segolongan umat Islam bersiap sedia menjalankan tugas mengajak kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran, meskipun sebenarnya tugas ini merupakan kewajipan bagi setiap individu sesuai dengan kemampuannya. Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda: 

“Sesiapa di antara kamu yang melihat satu kemungkaran, hendaklah dia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisannya, dan jika tidak mampu, maka hendaklah dia mengingkari dengan hatinya dan itulah selemah-lemah iman.” 

(HR. Muslim) 

Daripada Huzaifah ibnul Yaman, Rasulullah saw bersabda: 

“Demi Zat yang jiwaku berada di Tangan-Nya, hendaklah kamu menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran, atau jika tidak, Allah akan menyegerakan turunnya azab atas kamu dari sisi-Nya dan sekiranya kamu berdoa memohon kepada-Nya, Dia tidak mengabulkannya.” 

(HR. Ahmad dan Tirmidzi) 

Orang-orang yang menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran adalah orang-orang yang beruntung. Mereka memperoleh apa yang diinginkan iaitu syurga dan terselamat daripada perkara yang mereka khuatirkan iaitu neraka. 

Ayat 105

وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ تَفَرَّقُوا۟ وَٱخْتَلَفُوا۟ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ ۚ وَأُو۟لَـٰٓئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

Allah Ta’ala melarang orang-orang beriman bertasyabbuh (menyerupai) umat-umat terdahulu yang terus berpecah belah dalam beragama dan tidak menegakkan amar makruf nahi mungkar, padahal telah datang kepada mereka keterangan yang jelas. Sekiranya hal ini berlaku, maka azab yang sangat berat akan menimpa mereka. 

Ayat 106

يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ ۚ فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ٱسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَـٰنِكُمْ فَذُوقُوا۟ ٱلْعَذَابَ بِمَا كُنتُمْ تَكْفُرُونَ

(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): “Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu”.

Pada hari akhirat kelak, orang-orang yang beriman wajahnya akan menjadi putih berseri manakala orang-orang yang ingkar kepada Allah Ta’ala dan Rasul-Nya akan berwajah hitam. 

Akan dikatakan kepada orang-orang yang ingkar kenapa mereka menjadi kufur setelah beriman dan memilih kekafiran berbanding keimanan. Oleh itu, mereka akan dikenakan azab yang pedih. 

Ayat 107

وَأَمَّا ٱلَّذِينَ ٱبْيَضَّتْ وُجُوهُهُمْ فَفِى رَحْمَةِ ٱللَّهِ هُمْ فِيهَا خَـٰلِدُونَ

Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya.

Wajah orang-orang yang beriman putih berseri kerana beroleh kenikmatan dan khabar gembira yang disampaikan kepada mereka. Mereka memperoleh syurga dengan segala kenikmatan dan mereka kekal di dalamnya. 

Ayat 108

تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱللَّهِ نَتْلُوهَا عَلَيْكَ بِٱلْحَقِّ ۗ وَمَا ٱللَّهُ يُرِيدُ ظُلْمًا لِّلْعَـٰلَمِينَ

Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan dia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhluk-Nya.

Allah Swt menegaskan bahawa itulah ayat-ayat dan bukti-bukti-Nya yang terang dan telah diwahyukan kepada Rasulullah saw dengan kebenaran. Barangsiapa mengikuti risalah Baginda, dia akan selamat dan barangsiapa menolaknya maka dia akan binasa. Dia tidaklah sekali-kali akan menzalimi seorang pun daripada makhluk-Nya kerana Dia tidak akan menyeksa seseorang kecuali setelah didatangkan keterangan dan peringatan kepadanya.