Surah 3: Ali ‘Imran (102 – 103)

Perintah Bertakwa kepada Allah Swt dengan Sebenar-benarnya

Surah 3: Ali ‘Imran (102 – 103)


Ayat 102

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِۦ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Ayat ini merupakan perintah Allah Swt kepada hamba-hamba-Nya yang mukmin agar mereka bertakwa kepada-Nya dengan sebenar-benarnya iaitu dengan mentaati perintah-Nya, tidak melanggar larangan-Nya, sentiasa mengingati-Nya dan mensyukuri segala nikmat-Nya serta tidak mengkufuri-Nya. 

Maksud ayat, “dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.” ialah seseorang itu hendaklah menjaga keislamannya selagi dia hidup agar mati dalam keadaan Islam. Rasulullah saw bersabda: 

“Apa yang aku larang, hendaklah kamu menjauhinya dan apa yang aku perintahkan maka hendaklah kamu melaksanakannya semampu kamu. Sesungguhnya binasanya orang-orang sebelum kamu adalah kerana mereka banyak bertanya dan kerana penentangan mereka terhadap nabi-nabi mereka.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim) 

Sudah menjadi sunnatullah, bahawa dengan kemurahan-Nya, Allah Yang Maha Pemurah telah menetapkan sesiapa yang hidup dalam sesuatu keadaan, dia akan mati dalam keadaan tersebut. Sesiapa yang mati dalam sesuatu keadaan, maka akan dibangkitkan dalam keadaan ketika dia mati. Semoga Allah Swt memelihara kita dan mematikan kita dalam Islam.  

Hal ini telah disabdakan oleh Rasulullah saw dalam hadis-hadis berikut: 

“Setiap hamba akan dibangkitkan berdasarkan keadaan dia meninggal.” 

(HR. Muslim) 

“Sesungguhnya setiap amalan tergantung pada akhirnya.” 

(HR. Bukhari) 

Ayat 103

وَٱعْتَصِمُوا۟ بِحَبْلِ ٱللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا۟ ۚ وَٱذْكُرُوا۟ نِعْمَتَ ٱللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَآءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِۦٓ إِخْوَٰنًا وَكُنتُمْ عَلَىٰ شَفَا حُفْرَةٍ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنْهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمْ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.

Ayat ini turun berkaitan dengan kaum Aus dan Khazraj di Madinah yang telah bersatu di bawah Islam. Dahulu mereka berada di tepi jurang neraka kerana kekufuran mereka dan Allah Swt telah menyelamatkan mereka dengan memberi hidayah keimanan. 

Oleh itu, mereka diingatkan kembali akan kenikmatan yang telah mereka peroleh daripada Allah Swt dengan menyatukan hati mereka melalui Rasulullah saw. Ini terjadi ketika salah seorang daripada mereka mencela Baginda kerana tidak berpuas hati dalam pembahagian ghanimah, padahal Baginda telah menjalankan tugasnya sesuai dengan petunjuk Allah Ta’ala. 

Allah Swt memerintahkan mereka bersatu dalam jemaah dan mengelakkan perpecahan serta berpegang teguh kepada tali Allah Ta’ala iaitu kepada janji-Nya. Firman-Nya: 

“Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia,……………” 

Ali ‘Imran 3:112 

Daripada Abu Hurairah ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda: 

“Sesungguhnya Allah meredhai tiga perkara dan membenci tiga perkara bagi kamu. (Pertama) Dia redhai jika kamu beribadah kepada-Nya dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun, (kedua) berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah dan tidak berpecah belah dan (ketiga) setia kepada orang yang Allah serahkan untuk menjalankan urusan kamu. Dia membenci tiga perkara bagi kamu, (pertama) menceritakan sesuatu yang tidak jelas sumbernya, (kedua) banyak bertanya, dan (ketiga) menghambur-hamburkan (membuang-buang) harta.” 

(HR. Muslim)