Surah 3: Ali ‘Imran (101)

Perintah agar Berpegang Teguh kepada Ajaran Islam

Surah 3: Ali ‘Imran (101)


Ayat 101

وَكَيْفَ تَكْفُرُونَ وَأَنتُمْ تُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ ءَايَـٰتُ ٱللَّهِ وَفِيكُمْ رَسُولُهُۥ ۗ وَمَن يَعْتَصِم بِٱللَّهِ فَقَدْ هُدِىَ إِلَىٰ صِرَٰطٍ مُّسْتَقِيمٍ

Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (ugama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus).

Allah swt menyatakan tidak mungkin kaum muslimin menjadi kafir. Ini kerana ayat-ayat Allah swt masih diturunkan kepada Rasulullah saw dan Baginda pula berada bersama-sama mereka. Baginda membacakan ayat-ayat tersebut, memberi petunjuk serta menyampaikan khabar gembira dan peringatan kepada mereka. FirmanNya: 

“Dan mengapa kamu tidak beriman kepada Allah padahal Rasul menyeru kamu supaya kamu beriman kepada Rabbmu. Dan sesungguhnya Dia telah mengambil perjanjianmu jika kamu adalah orang-orang yang beriman.” 

Al-Hadid 57:8 

Hadis daripada Rasulullah saw, suatu hari Baginda bertanya kepada para sahabat: 

“Kaum mukminin manakah yang keimanan mereka paling menakjubkan kalian?” Mereka menjawab: “Para malaikat.” Baginda bersabda: “Bagaimana mereka tidak beriman sedangkan Rabb mereka di sisi mereka.” Lalu para sahabat menyebutkan para nabi, maka Baginda bersabda: “Bagaimana mereka tidak beriman sementara wahyu turun kepada mereka.” Lalu mereka berkata: “Kami.” Maka Baginda bersabda: “Bagaimana kalian tidak beriman sementara aku berada di tengah-tengah kalian.” Lalu para sahabat berkata: “Lalu siapakah manusia yang paling menakjubkan keimanannya?” Baginda menjawab: “Suatu kaum yang datang setelah kalian dan mereka mendapati suhuf (Al-Quran) dan mereka mengimani apa yang terkandung di dalamnya.” 

(HR. At-Tabrani) 

Pada akhir ayat ini, Allah swt menyatakan bahawa sesiapa yang berpegang teguh dengan ajaranNya dan berserah diri (tawakal) kepadaNya, maka dia akan diberikan taufik menuju jalan yang lurus. Ini kerana jalan lurus hanya akan diperoleh jika mengikuti panduan Al-Quran dan As-Sunnah.