Surah 3: Ali ‘Imran (96 – 97)

Kaabah adalah Rumah Ibadat Pertama yang Dibina

Surah 3: Ali ‘Imran (96 – 97)


Ayat 96

إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِى بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَـٰلَمِينَ

Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.

Ayat ini merupakan sanggahan terhadap ahli kitab yang mengatakan bahawa Baitul Maqdis adalah rumah ibadat pertama yang dibina dan disyariatkan oleh Allah swt agar manusia menghadap kepadanya. Mereka mempersoalkan kenapa Rasulullah saw dan para sahabat berpaling daripada Baitul Maqdis dan menghadap ke Kaabah sedangkan Kaabah dibina kemudian daripada Baitul Maqdis. 

Lalu Allah swt menyatakan bahawa rumah ibadah yang pertama kali dibina adalah Kaabah, kemudian baru Masjidil Aqsa. Jarak antara keduanya sebagaimana dalam hadis adalah 40 tahun. Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Dzar ra, dia berkata bahawa dia telah bertanya kepada Rasulullah saw:  

“Apakah masjid yang pertama dibina di atas muka bumi ini?” Rasulullah saw menjawab: “Masjidil Haram,” dia bertanya lagi: “kemudian masjid apa?” Rasulullah saw menjawab: “Masjidil Aqsa.” Dia bertanya lagi: “Berapa lama selang waktu pembinaan di antara kedua-duanya?” Rasulullah saw menjawab: “Empat puluh tahun.” Lalu dia bertanya lagi, “Kemudian mana lagi?” Rasulullah saw menjawab: “Kemudian di mana sahaja kamu berada, sedang waktu solat telah tiba maka solatlah di sana, kerana semua tempat di bumi adalah masjid.”  

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim. 

Allah Ta’ala menjadikan Kaabah ini penuh berkat. Kebaikan dilipatgandakan dan limpahan rahmat turun di dalamnya. Sesiapa yang berkunjung ke Baitullah, menunaikan haji dan umrah, maka mereka akan mendapat keberkatan. 

Ayat 97

فِيهِ ءَايَـٰتٌۢ بَيِّنَـٰتٌ مَّقَامُ إِبْرَٰهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُۥ كَانَ ءَامِنًا ۗ وَلِلَّهِ عَلَى ٱلنَّاسِ حِجُّ ٱلْبَيْتِ مَنِ ٱسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ عَنِ ٱلْعَـٰلَمِينَ

Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat Haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.

Di Masjidil Haram terdapat tanda-tanda yang nyata yang menunjukkan bahawa Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim as, antaranya ialah terdapat Maqam Ibrahim iaitu batu yang digunakan oleh Nabi Ibrahim sebagai tempat berpijak ketika membina Kaabah. Allah swt memerintahkan menjadikannya sebagai tempat solat. Terdapat juga Hijir Ismail, Safa dan Marwah serta tempat-tempat lain yang menunjukkan kebesaran Allah Ta’ala. 

Allah swt menjelaskan bahawa Dia menjadikan kota Mekah sebagai tanah haram (tanah suci yang aman) bagi sesiapa yang memasukinya. Sesiapa yang memasuki Baitul Haram akan berasa aman daripada segala keburukan. FirmanNya: 

“Dan apakah mereka tidak memperhatikan, bahawa sesungguhnya Kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, sedang manusia sekitarnya rompak-merompak (diculik untuk ditawan atau dibunuh)?………..” 

Al-‘Ankabut 29:67 

Masjidil Haram adalah tempat mengerjakan Haji. Umat Islam yang mampu diwajibkan menunaikan haji sekali seumur hidupnya dan merupakan salah satu rukun Islam yang lima. Ini juga menunjukkan keistimewaan Masjidil Haram. 

Barangsiapa yang mengingkari atau membantah bahawa Baitullah di Mekah ini sebagai rumah pertama dibina untuk tujuan ibadah kepada Allah Ta’ala, ataupun enggan menunaikan haji walaupun sudah mempunyai kemampuan dari semua segi, maka Allah Maha Kaya dan tidak berhajat kepada mereka.