Perintah untuk Menginfakkan Harta
Surah 3: Ali ‘Imran (92)
Ayat 92
لَن تَنَالُوا۟ ٱلْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا۟ مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا۟ مِن شَىْءٍ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
Allah Swt menyatakan bahawa seseorang itu tidak akan mendapatkan apa yang diharapkannya iaitu kebaikan yang besar daripada-Nya sehingga dia menginfakkan sebahagian daripada harta yang paling baik dan yang paling dicintainya.
Allah Swt juga menyatakan bahawa apa sahaja yang diinfakkan, sama ada sedikit ataupun banyak, mahal ataupun murah maka Dia Maha Mengetahui hal itu dan Dia akan membalasnya dengan ganjaran yang lebih baik. Demikianlah Allah Swt memberi galakan kepada hamba-hamba-Nya agar suka berinfak dan bersedekah.
Ketika ayat ini turun, para sahabat ra berlumba-lumba bersedekah dengan harta benda yang mereka cintai. Umar al-Khattab ra memerdekakan seorang hamba sahaya yang dia sayangi melebihi hamba sahaya yang lain. Abdullah bin Umar ra memerdekakan hamba sahayanya yang bernama Nafi’. Zaid bin Harith menyedekahkan kudanya yang selama ini menjadi harta miliknya yang paling dia sayangi. Abu Talhah menyedekahkan sebuah taman (kebun) miliknya yang bernama Bairuha.
Semua peristiwa ini menunjukkan pemahaman para sahabat yang mendalam. Mereka begitu bersemangat melaksanakan yang terbaik pada pandangan Allah dan paling besar pahalanya. Semoga Allah Swt meredhai mereka dan semoga kita dapat bersama-sama dengan mereka kelak.