Surah 3: Ali ‘Imran (86 – 89)

Tiada Petunjuk bagi Orang Kafir kecuali Mereka Bertaubat

Surah 3: Ali ‘Imran (86 – 89)


Ayat 86

كَيْفَ يَهْدِى ٱللَّهُ قَوْمًا كَفَرُوا۟ بَعْدَ إِيمَـٰنِهِمْ وَشَهِدُوٓا۟ أَنَّ ٱلرَّسُولَ حَقٌّ وَجَآءَهُمُ ٱلْبَيِّنَـٰتُ ۚ وَٱللَّهُ لَا يَهْدِى ٱلْقَوْمَ ٱلظَّـٰلِمِينَ

Bagaimana Allah akan memberi petunjuk hidayah kepada sesuatu kaum yang kufur ingkar sesudah mereka beriman, dan juga sesudah mereka menyaksikan bahawa Rasulullah (Nabi Muhammad) itu adalah benar, dan telah datang pula kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk hidayahNya kepada kaum yang zalim.

Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Abbas ra, dia berkata: Ada seorang Ansar yang masuk Islam, lalu murtad dan melakukan syirik, kemudian dia menyesal, maka dia mengirim seseorang daripada kaumnya kepada Rasulullah saw untuk mengetahui apakah masih diterima taubatnya? Maka turunlah ayat 86 ini sehingga ayat 89 di bawah.  

Dalam ayat ini, Allah swt menyatakan bahawa mereka yang kembali kafir setelah jelas kepada mereka bukti kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah saw tidak mungkin diberikan taufik untuk mendapat petunjuk. Ini kerana mereka melakukan kezaliman terhadap diri sendiri dengan meninggalkan yang hak dan mengikuti yang batil walaupun setelah mengetahui kebatilannya. 

Manakala orang yang diharapkan mendapat petunjuk adalah orang yang tidak mengetahui yang hak, namun dia ingin mencarinya. Orang seperti ini Allah swt akan memudahkan sebab-sebab memperoleh hidayah dan menjaganya daripada kesesatan. 

Ayat 87

أُو۟لَـٰٓئِكَ جَزَآؤُهُمْ أَنَّ عَلَيْهِمْ لَعْنَةَ ٱللَّهِ وَٱلْمَلَـٰٓئِكَةِ وَٱلنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Mereka itu balasannya ialah bahawa mereka ditimpa laknat Allah dan malaikatNya sekalian orang-orang (yang beriman).

Sesiapa yang menzalimi diri sendiri dengan menolak kebenaran setelah mengetahui yang hak dan bukti-bukti kenabian serta petunjuk, maka balasannya adalah laknat Allah Ta’ala dan dijauhkan daripada rahmatNya serta mendapat kemurkaan para malaikat dan manusia sama ada di dunia mahupun di akhirat. 

Ayat 88

خَـٰلِدِينَ فِيهَا لَا يُخَفَّفُ عَنْهُمُ ٱلْعَذَابُ وَلَا هُمْ يُنظَرُونَ

Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak diberi tempoh atau perhatian;

Mereka kekal di dalam laknat dan neraka Allah Ta’ala serta tidak akan diringankan azab itu walaupun sesaat. Mereka juga tidak diberi tangguh dan tidak diterima apa jua alasannya. 

Ayat 89

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُوا۟ مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ وَأَصْلَحُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Kecuali orang-orang yang bertaubat sesudah (ingkar) itu, serta memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Allah membuat pengecualian, iaitu Dia akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang bertaubat daripada dosanya, meninggalkan kekufuran dan kembali kepadaNya dengan penuh penyesalan dan memperbaiki diri serta amal perbuatannya. 

Allah swt dengan kelembutan, kemurahan dan kasih sayangNya kepada makhlukNya akan mengampuni dosa orang-orang yang bertaubat kerana Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. FirmanNya: 

“Dan Dia yang menerima taubat daripada hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.” 

Asy-Syura 42:25