Surah 3: Ali-‘Imran (84 – 85)

Kewajipan Beriman kepada Para Nabi

Surah 3: Ali-‘Imran (84 – 85)


Ayat 84

قُلْ ءَامَنَّا بِٱللَّهِ وَمَآ أُنزِلَ عَلَيْنَا وَمَآ أُنزِلَ عَلَىٰٓ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْمَـٰعِيلَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ وَٱلْأَسْبَاطِ وَمَآ أُوتِىَ مُوسَىٰ وَعِيسَىٰ وَٱلنَّبِيُّونَ مِن رَّبِّهِمْ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّنْهُمْ وَنَحْنُ لَهُۥ مُسْلِمُونَ

Katakanlah (wahai Muhammad): “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Nabi-nabi: Ibrahim, dan lsmail, dan Ishak, dan Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Nabi-nabi: Musa dan Isa, dan sekalian Nabi-nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorang pun di antara mereka, dan kepada Allah jualah kami berserah diri (Islam)”.

Allah swt memerintahkan Rasulullah saw menyatakan bahawa Baginda dan umat Islam adalah orang-orang yang beriman dengan apa yang diturunkan oleh Allah Ta’ala iaitu Al-Quran dan membenarkan apa yang telah diturunkan kepada Nabi Ibrahim as, Nabi Ismail as, Nabi Yaakub as dan anak cucu Nabi Yaakub as. Ini kerana apa yang diturunkan kepada mereka adalah sama. FirmanNya: 

“Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya, Isa, Ayub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud.” 

An-Nisa’ 4:163 

Orang-orang yang beriman juga membenarkan apa yang telah diturunkan kepada Nabi Musa as dan Nabi Isa as iaitu kitab Taurat dan Injil serta mukjizat yang diberikan kepada mereka berdua. Mereka juga membenarkan para nabi seperti Nabi Daud as, Nabi Sulaiman as, Nabi Saleh as dan Nabi Ayub as dan para nabi yang lain. 

Maksud ayat ini adalah orang-orang beriman membenarkan semua para nabi tanpa membezakan mereka dan bukanlah seperti kaum Yahudi dan Nasrani yang beriman kepada sebahagian nabi tetapi kufur pada sebahagian yang lain. Orang-orang beriman hanya tunduk dan taat kepada apa sahaja perintah dan larangan daripada Allah Ta’ala. 

Ayat 85

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَـٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْـَٔاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَـٰسِرِينَ

Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Agama Islam adalah agama yang mengesakan Allah Ta’ala, memurnikan ibadah hanya kepadaNya dan tunduk serta patuh kepada syariat dan manhajNya. 

Oleh itu, sesiapa yang mengikuti jalan lain selain yang disyariatkan oleh Allah Ta’ala, maka semua amal solehnya tertolak, tidak diterima dan tempat kembalinya mereka adalah neraka. Firman Allah: 

“Maka sembahlah olehmu (wahai orang-orang musyrik) apa yang kamu kehendaki selain Dia. Katakanlah: “Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat.” Ingatlah yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.” 

Az-Zumar 39:15 

Rasulullah saw bersabda: 

“Barangsiapa yang mengerjakan satu amalan yang tidak ada dasarnya daripada kami, maka amalan itu tertolak.” 

(HR. Al-Bukhari dan Muslim)