Surah 3: Ali-‘Imran (81 – 83)

Perjanjian dari Para Nabi agar Beriman kepada Nabi Muhammad saw

Surah 3: Ali-‘Imran (81 – 83)


Ayat 81

وَإِذْ أَخَذَ ٱللَّهُ مِيثَـٰقَ ٱلنَّبِيِّـۧنَ لَمَآ ءَاتَيْتُكُم مِّن كِتَـٰبٍ وَحِكْمَةٍ ثُمَّ جَآءَكُمْ رَسُولٌ مُّصَدِّقٌ لِّمَا مَعَكُمْ لَتُؤْمِنُنَّ بِهِۦ وَلَتَنصُرُنَّهُۥ ۚ قَالَ ءَأَقْرَرْتُمْ وَأَخَذْتُمْ عَلَىٰ ذَٰلِكُمْ إِصْرِى ۖ قَالُوٓا۟ أَقْرَرْنَا ۚ قَالَ فَٱشْهَدُوا۟ وَأَنَا۠ مَعَكُم مِّنَ ٱلشَّـٰهِدِينَ

Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada Kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadanya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya”. Allah berfirman lagi (bertanya kepada mereka): “Sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiku secara yang demikian itu?” Mereka menjawab: “Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)”. Allah berfirman lagi: “Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu.”

Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah mengambil perjanjian daripada setiap nabi yang diutus iaitu apa sahaja yang Dia berikan atau sampaikan berupa kitab dan hikmah kemudian setelah itu datang seorang rasul, nescaya dia akan bersungguh-sungguh beriman kepadanya dan menolongnya. Dia juga menyatakan bahawa ilmu dan kenabian yang dianugerahkan kepada para nabi dan rasul itu tidak menghalang mereka untuk mengikuti dan mendukung nabi yang diutus setelah mereka dan mereka akan saling membenarkan antara satu dengan lain. 

Allah Swt telah mengambil sumpah para nabi dan mereka pun telah bersedia berikrar dan mengakui, lalu Dia mengambil persaksian mereka dan mereka telah bersaksi terhadap hal itu, kemudian Dia sendiri ikut bersaksi. 

Rasulullah saw adalah penutup para nabi dan rasul. Baginda adalah pemimpin agung. Sekiranya Baginda diutuskan pada bila-bila masa sahaja, maka Bagindalah yang wajib ditaati dan didahulukan atas segala nabi. Ini dapat dilihat dalam peristiwa Isra’, ketika berkumpul di Baitul Maqdis, Baginda mengimami para nabi pada malam tersebut. 

Rasulullah saw juga akan memberi syafaat di Mahsyar dengan izin Allah Ta’ala agar Dia segera memberi keputusan kepada hamba-hamba-Nya. Syafaat ini disebut ‘Maqam Mahmud’ (kedudukan yang terpuji) yang hanya layak bagi Baginda. Semoga selawat dan salam sentiasa terlimpah kepadanya. 

Oleh itu dalam ayat ini, Allah Swt memerintahkan Rasulullah saw mengingatkan ahli kitab tentang perjanjian yang dibuat oleh-Nya terhadap nabi-nabi serta umat mereka bahawa apabila diutuskan kepada mereka sebuah kitab suci, hikmah dan seorang rasul iaitu Baginda sendiri yang membenarkan cahaya petunjuk yang ada pada mereka, maka mereka akan benar-benar beriman dan membantunya dalam menghadapi musuh-musuhnya serta menyokong syariatnya. 

Ayat 82

فَمَن تَوَلَّىٰ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَـٰسِقُونَ

Kemudian sesiapa yang berpaling ingkar sesudah mengakui perjanjian setia itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.

Perjanjian ini telah dilanggar oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani kerana mereka tidak mahu beriman kepada Rasulullah saw dan wahyu yang dibawanya. Padahal mereka telah mengambil sumpah daripada Allah Ta’ala untuk beriman dan mendukung perjuangannya. Namun mereka ingkar, malah menghinanya. Maka mereka menjadi manusia fasik dan mendapat azab yang keras daripada Allah Ta’ala. 

Oleh itu, Allah Swt menyatakan dalam ayat ini barangsiapa yang berpaling daripada seruan Islam setelah penjelasan ini dan perjanjian tersebut yang Dia telah mengambilnya daripada para nabi-Nya, maka mereka itu adalah orang-orang yang terkeluar daripada ajaran Allah Ta’ala dan ketaatan kepada Tuhan mereka. 

Ayat 83

أَفَغَيْرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبْغُونَ وَلَهُۥٓ أَسْلَمَ مَن فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ طَوْعًا وَكَرْهًا وَإِلَيْهِ يُرْجَعُونَ

Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepada-Nya-lah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nya lah mereka dikembalikan.

Allah Swt menghina ahli kitab yang masih mencari agama selain Islam yang diutuskan-Nya Rasulullah saw dengannya. Padahal semua makhluk di bumi dan di langit patuh dan tunduk kepada-Nya sama ada secara sukarela seperti kaum Muslimin ataupun secara terpaksa oleh kaum kafir ketika berlaku musibah dan hal itu tidaklah memberi manfaat kepada mereka. 

Semuanya akan dikembalikan kepada Allah Ta’ala pada hari akhirat kelak untuk diberikan balasan sesuai dengan amalan mereka. Ini merupakan peringatan Allah Swt kepada makhluk-Nya agar seseorang itu tidak kembali kepada-Nya selain dalam beragama Islam. Hal ini sangat penting dan sebagaimana nasihat dan peringatan Nabi Ibrahim as kepada anak-anaknya, firman Allah: 

“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yaakub. (Ibrahim berkata): ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk agama Islam.'” 

Al-Baqarah 2:132