Surah 3: Ali-‘Imran (78)

Penyelewengan Orang Yahudi terhadap Firman Allah Swt

Surah 3: Ali-‘Imran (78)


Ayat 78

وَإِنَّ مِنْهُمْ لَفَرِيقًا يَلْوُۥنَ أَلْسِنَتَهُم بِٱلْكِتَـٰبِ لِتَحْسَبُوهُ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَمَا هُوَ مِنَ ٱلْكِتَـٰبِ وَيَقُولُونَ هُوَ مِنْ عِندِ ٱللَّهِ وَمَا هُوَ مِنْ عِندِ ٱللَّهِ وَيَقُولُونَ عَلَى ٱللَّهِ ٱلْكَذِبَ وَهُمْ يَعْلَمُونَ

Dan sesungguhnya, di antara mereka (Ahli Kitab itu) ada (Ketua-ketua agamanya) yang memutar-mutar lidahnya semasa membaca Kitab Taurat (dengan mengubah maknanya), supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab Taurat padahal ia bukanlah dari Kitab itu. Dan mereka pula berkata: “(Bahawa) Dia adalah (datangnya) dari sisi Allah”, padahal ia bukanlah dari sisi Allah; dan mereka pula tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).

Allah Swt menyatakan bahawa ada segolongan orang-orang Yahudi mengubah maksud firman-firman-Nya daripada maksud yang sebenar. Mereka menggantikannya dengan perkataan-perkataan yang mereka ada-adakan dan menyelewengkan maksudnya serta menjadikan orang lain menyangka itulah yang sebenarnya terdapat dalam kitab Allah Ta’ala dan dinisbahkan kepada-Nya. Padahal apa yang dibacakan itu sama sekali bukan berasal daripada-Nya. 

Mereka telah berdusta dan berani mengatakan sesuatu yang bukan daripada Allah Ta’ala. Hal ini kerana hati mereka telah menjadi keras dan juga kerana mengejar habuan keduniaan yang rendah nilainya serta kekuasaan yang palsu. 

Memutar-mutar lidah bermaksud mengubah lafaz ataupun maknanya daripada maksud yang asal. Mereka menghilangkan makna yang hak dan menggantikannya dengan makna yang batil padahal mereka mengetahuinya.