Kebenaran Kisah Nabi Isa as
Surah 3: Ali ‘Imran (59 – 63)
Ayat 59
إِنَّ مَثَلَ عِيسَىٰ عِندَ ٱللَّهِ كَمَثَلِ ءَادَمَ ۖ خَلَقَهُۥ مِن تُرَابٍ ثُمَّ قَالَ لَهُۥ كُن فَيَكُونُ
Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya: “Jadilah engkau!” maka menjadilah dia.
Ayat ini merupakan ayat penegasan tentang kebesaran Allah Swt. Dia berkehendak untuk memperlihatkan kekuasaan-Nya. Dia menciptakan Nabi Adam as tanpa ayah dan ibu, tetapi diciptakannya daripada tanah dan ditiupkan roh ke dalam tubuhnya. Manakala Nabi Isa as pula diciptakan tanpa ayah. Firman-Nya:
“Jibril berkata: ‘Demikianlah.’ Rabbmu berfirman: ‘Hal itu adalah mudah bagi-Ku; dan agar dapat Kami menjadikannya suatu tanda bagi manusia dan sebagai rahmat daripada Kami; dan hal itu adalah suatu perkara yang sudah diputuskan.'”
Maryam 19:21
Ada beberapa pendapat di kalangan orang-orang Nasrani dari Najran pada masa itu:
- Orang-orang Nasrani meyakini bahawa Nabi Isa as adalah Allah Swt dengan alasan bahawa Baginda boleh menghidupkan orang yang telah mati, menyembuhkan orang buta dan yang berpenyakit kusta, dapat memberitahu hal-hal yang ghaib serta mukjizat yang lain. Padahal semua itu adalah perintah dan kehendak Allah Swt sebagai tanda kekuasaan-Nya kepada manusia.
- Pendapat yang lain pula mengatakan bahawa Nabi Isa as adalah anak Allah Swt dengan alasan Baginda tidak berayah, dapat berbicara ketika masih bayi sedangkan itu merupakan sesuatu yang tidak boleh dilakukan oleh orang lain.
- Sedangkan orang-orang yang berkeyakinan bahawa Nabi Isa as adalah salah satu daripada triniti (tiga tuhan) pula menggunakan alasan daripada firman Allah Ta’ala (menurut sangkaan mereka), “Kami melakukan, Kami memerintahkan, Kami menciptakan dan Kami memutuskan.” Mereka berkata sekiranya Allah itu satu tentu dia berfirman, “Aku melakukan, Aku memerintahkan, Aku menciptakan dan Aku memutuskan.” Jadi kata “Kami” itu merujuk kepada Allah, Nabi Isa as dan Maryam.
Demikianlah pendapat mereka yang sesat. Maha Tinggi dan Maha Suci Allah daripada perkataan orang-orang zalim lagi ingkar. Semua pendapat yang mereka katakan itu telah disebutkan dan dijelaskan kesesatannya dalam Al-Quran.
Ayat 60
ٱلْحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُن مِّنَ ٱلْمُمْتَرِينَ
Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi dari orang-orang yang ragu-ragu.
Allah swt menyatakan bahawa apa yang Dia ceritakan kepada Rasulullah saw tentang Nabi Isa as dan ibunya adalah benar dan bukannya seperti yang dikatakan oleh kaum Nasrani bahawa Al-Masih adalah tuhan dan bukan juga seperti anggapan kaum Yahudi bahawa Maryam telah melakukan perzinaan.
Ayat ini juga merupakan larangan Allah Ta’ala agar tidak ragu-ragu terhadap kisah Nabi Isa as dan ibunya setelah Dia menceritakan kebenarannya melalui wahyuNya.
Ayat 61
فَمَنْ حَآجَّكَ فِيهِ مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا۟ نَدْعُ أَبْنَآءَنَا وَأَبْنَآءَكُمْ وَنِسَآءَنَا وَنِسَآءَكُمْ وَأَنفُسَنَا وَأَنفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَل لَّعْنَتَ ٱللَّهِ عَلَى ٱلْكَـٰذِبِينَ
Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: “Marilah kita menyeru anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”.
Oleh itu, sekiranya masih ada yang membantah Rasulullah saw tentang Nabi Isa as setelah datangnya pengetahuan tentang kebenaran ini, maka Allah swt menyuruh agar diadakan mubahalah iaitu berdoa bersungguh-sungguh kepada Allah swt agar pihak yang berdusta dilaknat dan dijauhkan daripada rahmatNya.
Terdapat dalam hadis riwayat Imam Bukhari, Muslim, At-Tirmizi dan An-Nasa’i tentang Rasulullah saw mengajak orang-orang Nasrani Najran untuk melakukan mubahalah tetapi mereka tidak berani menerima ajakan tersebut. Mereka lebih memilih untuk berdamai dengan membayar jizyah (cukai) kepada Baginda.
Ayat 62
إِنَّ هَـٰذَا لَهُوَ ٱلْقَصَصُ ٱلْحَقُّ ۚ وَمَا مِنْ إِلَـٰهٍ إِلَّا ٱللَّهُ ۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
Sesungguhnya ini ialah kisah-kisah yang benar; dan tiadalah Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah; dan (ingatlah), sesungguhnya Allah, Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Kisah yang disampaikan kepada Rasulullah saw adalah berita yang benar dan tidak ada keraguan tentangnya iaitu Nabi Isa as adalah hamba Allah Ta’ala dan RasulNya.
Sesungguhnya tidak ada tuhan yang berhak diibadahi melainkan Allah Ta’ala dan sesungguhnya Dia Maha Perkasa dalam kerajaanNya dan tidak ada seorang pun yang boleh mencegah kehendakNya. Allah Maha Bijaksana dalam penciptaan dan pengurusan makhluk-makhlukNya.
Ayat 63
فَإِن تَوَلَّوْا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌۢ بِٱلْمُفْسِدِينَ
Kemudian kalau mereka berpaling (enggan menurut), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.
Sesiapa yang menyimpang daripada kebenaran dan memilih kebatilan, maka dia telah berbuat kerosakan dan Allah Maha Mengetahui segala perbuatannya, tiada suatu pun yang terluput daripadaNya. Dia akan membalasnya dengan seburuk-buruk balasan. Maha Suci Allah dan segala puji bagiNya. Kita berlindung kepadaNya daripada kemurkaan dan azabNya.