Surah Ali ‘Imran
Klasifikasi Surah: | Madaniyyah |
Surah: | 3 |
Juz: | 3 (1 – 91) 4 (92 – 200) |
Jumlah Ayat: | 200 |
Maksud: | Keluarga ‘Imran |
Nama Lain: | Az-Zahrawain (Dua yang cemerlang) |
Intisari Surah
Surah ini dinamakan Ali ‘Imran kerana kisah mereka disebutkan mulai ayat 33. Kisah keluarga ‘Imran ini menerangkan kisah kelahiran Maryam, puteri ‘Imran dan ibu Nabi Isa as. serta kelahiran Nabi Isa as, kenabian dan beberapa mukjizatnya, serta kesesatan kaum Nasrani yang menyifatkan Nabi Isa as sebagai Tuhan atau Anak Tuhan.
Surah ini juga menggambarkan keadaan umat Islam di Madinah setelah mereka mencapai kemenangan yang besar di medan perang Badar dan berjaya mengalahkan kaum musyrikin. Kemenangan umat Islam menyebabkan kaum Yahudi dan kaum munafik di Madinah marah kerana hasad dengki lalu merancang berbagai-bagai pakatan jahat terhadap umat Islam.
Sebab itulah Allah Ta’ala mengingatkan sebagaimana yang tersebut di dalam surah ini supaya umat Islam sentiasa sedar dan waspada terhadap golongan-golongan kafir yang memusuhi Islam. Apa yang telah dan sedang dilakukan oleh musuh-musuh Islam terutama Yahudi terhadap umat Islam makin menjelaskan hakikat ini.
Dalam surah ini juga diterangkan peristiwa Perang Uhud dan sebab-sebab yang menjadikan orang-orang Islam gagal dalam peperangan itu iaitu sebahagian di antara mereka melanggar perintah Rasulullah saw.
Untuk menanamkan semangat perjuangan jihad, ditegaskan dalam surah ini, bahawa orang-orang Islam yang telah gugur syahid dalam perjuangan membela Islam bukanlah orang yang mati dan lenyap dengan tidak disebut-sebut dan dikenang, bahkan mereka hidup secara istimewa dan diangkat ke tempat yang mulia disisi Allah dengan dilimpahi Nur dan pelbagai nikmat yang disediakan oleh Allah Ta’ala di dalam syurga.
Surah Al-Baqarah dan surah Ali ‘Imran dipanggil surah Az-Zahrawain yang apabila dibaca akan mendapat syafaat di akhirat kelak. Imam Ahmad meriwayatkan dari Abu Umamah, dia berkata: “Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:
“Bacalah Al-Quran kerana Al-Quran itu akan memberi syafaat kepada pembacanya di akhirat kelak. Dan bacalah Az-Zahrawain iaitu Al-Baqarah dan Ali Imran kerana kedua-dua surah itu akan datang pada hari kiamat, seolah-olah kedua-duanya bagai sekelompok awan atau payung yang menaungi, atau dua kelompok burung yang mengembangkan sayapnya. Kedua-duanya akan membela pembacanya pada hari kiamat.”
Segmentasi Surah
Kita Hamba: https://kitahamba.wordpress.com/2016/07/08/di-sebalik-al-imran-2/