Al-Quran Tidak Boleh Didustakan
Surah 12: Yusuf (111)
Ayat 111
لَقَدْ كَانَ فِى قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُو۟لِى ٱلْأَلْبَـٰبِ ۗ مَا كَانَ حَدِيثًا يُفْتَرَىٰ وَلَـٰكِن تَصْدِيقَ ٱلَّذِى بَيْنَ يَدَيْهِ وَتَفْصِيلَ كُلِّ شَىْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ
Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran. (Kisah Nabi-nabi yang terkandung dalam Al-Quran) bukanlah ia cerita-cerita yang diada-adakan, tetapi ia mengesahkan apa yang tersebut di dalam Kitab-kitab agama yang terdahulu daripadanya, dan ia sebagai keterangan yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu, serta menjadi hidayah petunjuk dan rahmat bagi kaum yang (mahu) beriman.
Allah Swt menyatakan bahawa dalam kisah umat terdahulu termasuk kisah para Rasul terdapat pelajaran bagi orang-orang yang berakal.
Kisah dalam Al-Quran bukanlah rekaan dan sebenarnya ia adalah wahyu daripada Allah Swt. Al-Quran adalah kitab yang membenarkan kitab-kitab terdahulu iaitu Taurat, Injil dan Zabur. Dia menurunkannya untuk menjelaskan segala perkara agama, seperti perintah mentauhidkan-Nya, melakukan perkara-perkara yang baik serta larangan melakukan perkara-perkara yang buruk dan sebagainya.
Al-Quran juga adalah petunjuk bagi sekalian alam. Ia memberi petunjuk kepada manusia menuju jalan yang lurus dan benar, mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya, daripada kesesatan kepada kebenaran, membimbing mereka kepada kebenaran serta kebaikan dunia dan akhirat.
Orang-orang yang taat kepada perintah Allah Swt dan Rasul-Nya akan terselamat daripada kesesatan dan seterusnya mendapat rahmat serta balasan pahala di dunia dan akhirat. Firman-Nya:
“Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.”
Al-Baqarah 2:2