Pelajaran dari Kisah Nabi Yusuf as
Surah 12: Yusuf (102 – 104)
Ayat 102
ذَٰلِكَ مِنْ أَنۢبَآءِ ٱلْغَيْبِ نُوحِيهِ إِلَيْكَ ۖ وَمَا كُنتَ لَدَيْهِمْ إِذْ أَجْمَعُوٓا۟ أَمْرَهُمْ وَهُمْ يَمْكُرُونَ
(Kisah nabi Yusuf) yang demikian ialah dari berita-berita yang ghaib yang kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan (hendak membuang Yusuf ke dalam perigi) dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat (terhadapnya untuk membinasakannya).
Allah Swt menyatakan bahawa Dia menceritakan kepada Nabi Muhammad saw kisah Nabi Yusuf as dengan saudara-saudaranya, bagaimana Dia meninggikan kedudukan Nabi Yusuf as mengatasi kedudukan saudara-saudaranya dan memberikannya kesudahan yang baik, kemenangan, kerajaan dan kekuasaan kepadanya meskipun saudara-saudaranya menginginkan Baginda celaka dan binasa.
Allah Ta’ala juga menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw tidak akan mengetahui kisah-kisah tersebut jika Dia tidak mewahyukannya kepada Baginda. Ini kerana Baginda tidak berada di sisi mereka ketika itu. Kisah ini diceritakan agar menjadi pengajaran kepada Baginda dan orang-orang yang menentang Baginda.
Ayat 103
وَمَآ أَكْثَرُ ٱلنَّاسِ وَلَوْ حَرَصْتَ بِمُؤْمِنِينَ
Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin (supaya mereka beriman).
Kemudian Allah Swt memberitahu Nabi Muhammad saw bahawa Dia menceritakan kisah-kisah lepas yang mengandungi pelajaran agar diambil iktibar oleh manusia. Dalam kisah-kisah tersebut diberitakan juga jalan keselamatan untuk dunia dan akhirat kepada mereka. Namun demikian kebanyakan orang-orang musyrik tetap tidak mahu beriman walaupun Baginda sangat menginginkan supaya mereka beriman.
Ayat 104
وَمَا تَسْـَٔلُهُمْ عَلَيْهِ مِنْ أَجْرٍ ۚ إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ لِّلْعَـٰلَمِينَ
Padahal engkau tidak meminta kepada mereka sebarang upah tentang ajaran Al-Quran, sedang Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran dari Allah bagi umat manusia seluruhnya.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw tidak meminta sebarang ganjaran terhadap segala seruan yang disampaikan. Baginda melakukannya hanyalah semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Swt dan menginginkan kebaikan buat umatnya.
Allah Swt mewahyukan kisah-kisah orang-orang terdahulu kepada Rasulullah saw adalah sebagai peringatan dan nasihat kepada sekalian makhluk-Nya daripada kalangan jin dan manusia agar mereka mendapat petunjuk serta terselamat di dunia dan akhirat.