Ciri-ciri Al-Quran
Surah 12: Yusuf (1 – 3)
Ayat 1
الٓر ۚ تِلْكَ ءَايَـٰتُ ٱلْكِتَـٰبِ ٱلْمُبِينِ
Alif, Laam, Raa’. Ini ialah ayat-ayat Kitab Al-Quran yang menyatakan kebenaran.
Al-Kitab ialah Al-Quran yang di dalamnya terkandung lafaz dan makna yang amat jelas bagi menerangkan sesuatu keadaan. Ayat-ayatnya menerangkan batas-batas agama seperti halal dan haram serta perintah-perintah dan larangan-larangan Allah Swt. Al-Quran juga membawa berita-berita tentang perkara-perkara yang telah, sedang dan akan berlaku.
Ayat 2
إِنَّآ أَنزَلْنَـٰهُ قُرْءَٰنًا عَرَبِيًّا لَّعَلَّكُمْ تَعْقِلُونَ
Sesungguhnya Kami menurunkan kitab itu sebagai Quran yang dibaca dengan bahasa Arab, supaya kamu (menggunakan akal untuk) memahaminya.
Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya mengatakan bahawa Allah Swt telah menurunkan Al-Quran dalam Bahasa Arab kerana Bahasa Arab adalah bahasa yang paling fasih, paling jelas, paling luas dan paling tepat untuk menyampaikan makna atau maksud yang ada di dalam jiwa.
Oleh itu, diturunkanlah kitab yang paling mulia ini dengan bahasa yang paling mulia, kepada Rasul yang paling mulia, melalui perantaraan malaikat yang paling mulia. Ini terjadi di bahagian bumi yang paling mulia (Mekah) dan mulai diturunkan pada bulan yang paling mulia iaitu bulan Ramadhan. Maka sempurnalah ia dari segala segi.
Ayat 3
نَحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ أَحْسَنَ ٱلْقَصَصِ بِمَآ أَوْحَيْنَآ إِلَيْكَ هَـٰذَا ٱلْقُرْءَانَ وَإِن كُنتَ مِن قَبْلِهِۦ لَمِنَ ٱلْغَـٰفِلِينَ
Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) seindah-indah kisah dengan jalan Kami wahyukan kepadamu Al-Quran ini, padahal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu, adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya.
Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas ra, dia mengatakan bahawa mereka (para sahabat) berkata kepada Rasulullah saw, “Wahai Rasulullah, kami mohon engkau ceritakan kisah-kisah kepada kami.” Maka turunlah ayat ini.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa surah Yusuf adalah sebaik-baik kisah kerana di dalamnya terdapat banyak pelajaran dan hikmah. Dia juga menyatakan bahawa kisah ini diturunkan dengan mewahyukan Al-Quran kepada Rasulullah saw yang sebelumnya Baginda termasuk orang yang tidak mengetahui tentang kisah-kisah umat terdahulu.
Kisah-kisah para Nabi dan orang-orang soleh yang Allah Ta’ala paparkan dalam Al-Quran adalah menjadi pelajaran bagi umat Nabi Muhammad saw, kerana penuh dengan nasihat dan panduan.