Pertemuan Nabi Yusuf as dengan Saudara-saudaranya
Surah 12: Yusuf (58 – 62)
Saudara-saudara Nabi Yusuf as pergi ke Mesir membawa barang-barang yang dapat ditukar dengan bahan makanan
Ayat 58
وَجَآءَ إِخْوَةُ يُوسُفَ فَدَخَلُوا۟ عَلَيْهِ فَعَرَفَهُمْ وَهُمْ لَهُۥ مُنكِرُونَ
Dan (setelah tiba musim kemarau) datanglah saudara-saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah mereka mendapatkannya; Yusuf dengan serta merta kenal mereka, sedang mereka tidak mengenalnya.
As-Suddi, Ibnu Ishak dan mufassir lainnya menyatakan sebab kedatangan saudara-saudara Nabi Yusuf as ke Mesir. Mereka mengatakan ketika Baginda menjadi menteri di Mesir berlalulah tujuh tahun yang subur, kemudian diikuti tujuh tahun kemarau sehingga tanaman kekeringan. Ini berlaku di seluruh Mesir hingga ke negeri Kan‘an iaitu tempat tinggal Nabi Yaakub as dan anak-anaknya.
Sebelumnya Nabi Yusuf as telahpun mengambil langkah yang baik iaitu menyimpan bahan-bahan makanan dan hasil bumi untuk manfaat rakyatnya. Ketika itu ramailah orang dari pelbagai pelosok negeri datang meminta bahan makanan tersebut untuk kegunaan mereka sekeluarga.
Nabi Yusuf as hanya memberikan mereka bekalan yang secukupnya sahaja sehingga bekalan makanan itu cukup untuk digunakan sepanjang tujuh tahun. Pada waktu itu Baginda benar-benar menjadi rahmat daripada Allah swt untuk penduduk Mesir.
Antara yang datang untuk mendapatkan bekalan makanan itu adalah saudara-saudara Nabi Yusuf as melalui perintah ayah mereka, kerana ada berita yang sampai kepada mereka bahawa seorang menteri di Mesir memberikan makanan kepada orang ramai dengan harga yang murah.
Lalu sepuluh orang anak-anak Nabi Yaakub as pun pergi ke Mesir membawa barang-barang yang dapat ditukar dengan bahan makanan. Seorang lagi tidak ikut bersama-sama mereka ialah saudara kandung Nabi Yusuf as kerana dia ditahan oleh ayahnya. Dia ditahan kerana dia adalah anak kesayangan Nabi Yaakub as setelah Nabi Yusuf as.
Setelah saudara-saudara Nabi Yusuf as masuk menghadap Baginda yang pada ketika itu mempunyai jawatan yang tinggi sebagai menteri, Baginda terus mengenali mereka, sementara mereka sama sekali tidak mengenali Baginda. Ini kerana mereka berpisah dengannya ketika dia masih kecil dan muda belia, serta mereka menjualnya kepada rombongan musafir. Mereka tidak tahu ke mana Nabi Yusuf as telah dibawa dan mereka juga tidak menyangka Baginda memperoleh kedudukan seperti itu sekarang ini. Oleh itu, mereka tidak dapat mengenalinya lagi.
Ketika mereka berada di hadapan Nabi Yusuf as, mereka ada menyebutkan kepada Baginda bahawa mereka memiliki saudara seayah yang tidak dibawa bersama dengan mereka.
Ayat 59
وَلَمَّا جَهَّزَهُم بِجَهَازِهِمْ قَالَ ٱئْتُونِى بِأَخٍ لَّكُم مِّنْ أَبِيكُمْ ۚ أَلَا تَرَوْنَ أَنِّىٓ أُوفِى ٱلْكَيْلَ وَأَنَا۠ خَيْرُ ٱلْمُنزِلِينَ
Dan ketika Yusuf menyediakan untuk mereka bekalan mereka, berkatalah ia:” (Pada kali yang lain) bawalah kepadaku saudara kamu yang sebapa. Tidakkah kamu melihat, bahawa aku menyempurnakan bekalan makanan kamu, dan bahawa aku sebaik-baik penerima tetamu?
Oleh itu, semasa Nabi Yusuf as menyiapkan bekalan makanan untuk saudara-saudaranya, Baginda meminta mereka datang kembali ke Mesir dengan membawa saudara mereka yang seayah dengan mereka (Bunyamin) agar Baginda boleh memberi bekalan bahan makanan lebih banyak lagi.
Kemudian Nabi Yusuf as mengatakan bahawa tidakkah mereka melihat Baginda menyempurnakan bahkan melebihkan bekalan makanan kepada mereka. Baginda juga mengatakan bahawa Baginda adalah seorang penerima tetamu yang terbaik dengan menjamu mereka secara sempurna sebelum mereka kembali ke tempat mereka.
Ayat 60
فَإِن لَّمْ تَأْتُونِى بِهِۦ فَلَا كَيْلَ لَكُمْ عِندِى وَلَا تَقْرَبُونِ
Oleh itu, kalau kamu tidak membawanya kepadaku, maka tidak ada hak bagi kamu mendapat bekalan makanan di sisiku, dan janganlah kamu menghampiriku lagi”.
Setelah itu Nabi Yusuf as mengingatkan saudara-saudaranya bahawa sekiranya mereka tidak membawa saudaranya (Bunyamin) bersama-sama mereka apabila mereka datang nanti, maka mereka tidak akan mendapat bekalan makanan lagi daripadanya. Mereka juga tidak boleh mendekatinya atau memasuki negerinya sesudah itu.
Ayat 61
قَالُوا۟ سَنُرَٰوِدُ عَنْهُ أَبَاهُ وَإِنَّا لَفَـٰعِلُونَ
Mereka menjawab: “Kami akan memujuk bapanya melepaskan dia bersama-sama kami, dan sesungguhnya kami akan melakukannya”.
Saudara-saudara Nabi Yusuf as menyatakan bahawa mereka akan berusaha memujuk dan meyakinkan ayah mereka untuk membawa adik mereka menemui Baginda.
Ayat 62
وَقَالَ لِفِتْيَـٰنِهِ ٱجْعَلُوا۟ بِضَـٰعَتَهُمْ فِى رِحَالِهِمْ لَعَلَّهُمْ يَعْرِفُونَهَآ إِذَا ٱنقَلَبُوٓا۟ إِلَىٰٓ أَهْلِهِمْ لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ
Dan (selepas itu) berkatalah Yusuf kepada orang-orang suruhannya. “Masukkanlah barang-barang dagangan mereka pada tempat simpanan barang di kenderaan mereka, supaya mereka mengetahuinya kelak ketika mereka kembali kepada keluarga mereka, dan supaya mereka datang lagi (ke negeri ini)”.
Nabi Yusuf as mengarahkan orang-orang suruhannya mengembalikan semula barangan pertukaran saudara-saudaranya dan diletakkan ke dalam karung tanpa pengetahuan mereka. Baginda berbuat demikian agar mereka mengetahui bahawa mereka diperlakukan dengan baik dan dengan itu mereka akan kembali lagi kepadanya setelah sampai di rumah dan melihat barang pertukaran mereka dikembalikan.
Ini juga adalah sebagai satu muslihat daripada Nabi Yusuf as supaya mereka akan kembali lagi ke Mesir bersama-sama adik mereka.
Ada juga pendapat yang mengatakan bahawa Nabi Yusuf as melakukan hal ini disebabkan Baginda khuatir mereka tidak mempunyai barang-barang lain yang membolehkan mereka datang kembali kepadanya.