Nabi Yusuf as Diberikan Kekuasaan di Mesir
Surah 12: Yusuf (54 – 57)
Nabi Yusuf as dilantik sebagai Menteri Perbendaharaan supaya Baginda dapat mengurus gudang-gudang penyimpanan bahan-bahan makanan dan hasil bumi
Ayat 54
وَقَالَ ٱلْمَلِكُ ٱئْتُونِى بِهِۦٓ أَسْتَخْلِصْهُ لِنَفْسِى ۖ فَلَمَّا كَلَّمَهُۥ قَالَ إِنَّكَ ٱلْيَوْمَ لَدَيْنَا مَكِينٌ أَمِينٌ
Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata: “Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: “Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami “.
Setelah raja memastikan bahawa Nabi Yusuf as bebas daripada tuduhan dengan mendengar pengakuan wanita-wanita tersebut, raja memerintahkan supaya Baginda dibawa menghadapnya.
Apabila raja itu melihat sendiri keilmuan, akhlak dan kecerdasan Nabi Yusuf as, raja itu berkata bahawa Baginda mendapat kepercayaannya dan akan diberikan kemuliaan serta kedudukan tinggi dalam pemerintahannya.
Ayat 55
قَالَ ٱجْعَلْنِى عَلَىٰ خَزَآئِنِ ٱلْأَرْضِ ۖ إِنِّى حَفِيظٌ عَلِيمٌ
Yusuf berkata: “Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”.
Nabi Yusuf as meminta raja melantiknya sebagai pengurus perbendaharaan supaya Baginda dapat mengurus gudang-gudang penyimpanan bahan-bahan makanan dan hasil bumi. Ini kerana penduduk Mesir akan menghadapi tahun-tahun sulit seperti mimpi raja yang telah ditakwilkannya. Dengan demikian Baginda dapat mengambil tindakan yang paling baik, cepat dan paling bijaksana.
Ayat 56
وَكَذَٰلِكَ مَكَّنَّا لِيُوسُفَ فِى ٱلْأَرْضِ يَتَبَوَّأُ مِنْهَا حَيْثُ يَشَآءُ ۚ نُصِيبُ بِرَحْمَتِنَا مَن نَّشَآءُ ۖ وَلَا نُضِيعُ أَجْرَ ٱلْمُحْسِنِينَ
Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa inilah nikmat yang Dia berikan kepada Nabi Yusuf as dengan mendekatkan Baginda kepada raja, mengeluarkannya dari penjara dan mengangkat darjatnya daripada seorang hamba sahaya kepada seorang yang bebas merdeka dan dilantik sebagai menteri.
Semua nikmat ini adalah kerana Nabi Yusuf as memiliki akhlak yang terpuji, sabar dalam menghadapi ujian, taat kepada Allah Ta’ala dan menjaga kehormatannya. Baginda bersabar atas kezaliman saudara-saudaranya sendiri, sabar daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar serta sabar dalam menjalani hukuman penjara kerana difitnah oleh isteri Al-‘Aziz. Oleh itu, Dia telah menggantikannya dengan pertolongan dan kenikmatan sehingga Baginda memperoleh kedudukan yang tinggi di Mesir.
Kisah ini juga membuktikan bahawa Allah Ta’ala tidak akan mensia-siakan hamba-hamba-Nya yang telah berbuat baik dengan memberikannya kemuliaan, kedudukan dan kebahagiaan di dunia, sedangkan di akhirat kelak dia akan kekal di syurga.
Ayat 57
وَلَأَجْرُ ٱلْـَٔاخِرَةِ خَيْرٌ لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ وَكَانُوا۟ يَتَّقُونَ
Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
Sesungguhnya pahala di akhirat bagi orang-orang mukmin yang bertakwa adalah kenikmatan di syurga. Ini lebih baik dan lebih banyak daripada kelebihan di dunia serta seisinya.