Mimpi Raja Mesir
Surah 12: Yusuf (43 – 49)
Raja Mesir bermimpi melihat 7 ekor lembu yang gemuk dimakan oleh 7 ekor lembu yang kurus dan 7 tangkai (biji-bijian) yang hijau dan 7 tangkai lagi yang kering
Ayat 43
وَقَالَ ٱلْمَلِكُ إِنِّىٓ أَرَىٰ سَبْعَ بَقَرَٰتٍ سِمَانٍ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ وَسَبْعَ سُنۢبُلَـٰتٍ خُضْرٍ وَأُخَرَ يَابِسَـٰتٍ ۖ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلْمَلَأُ أَفْتُونِى فِى رُءْيَـٰىَ إِن كُنتُمْ لِلرُّءْيَا تَعْبُرُونَ
Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi”.
Inilah mimpi Raja Mesir yang telah Allah Ta’ala takdirkan menjadi asbab keluarnya Nabi Yusuf as dari penjara dalam keadaan terhormat dan mulia.
Ketika Raja Mesir telah bermimpi yang sangat aneh, dia menjadi takut dan ingin mengetahui apa tafsiran mimpinya itu. Lalu dikumpulkan semua para pembesar negeri dan para menterinya. Kemudian dia menceritakan mimpinya itu kepada mereka dan bertanya tentang takwilnya.
Ayat 44
قَالُوٓا۟ أَضْغَـٰثُ أَحْلَـٰمٍ ۖ وَمَا نَحْنُ بِتَأْوِيلِ ٱلْأَحْلَـٰمِ بِعَـٰلِمِينَ
Mereka menjawab: “Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu”.
Allah Ta’ala menyatakan bahawa para pembesar dan menteri tidak dapat mentakwilkan mimpi tersebut dan mereka menyatakan kemungkinan mimpi itu hanyalah mimpi yang kosong dan tidak bermakna.
Ayat 45
وَقَالَ ٱلَّذِى نَجَا مِنْهُمَا وَٱدَّكَرَ بَعْدَ أُمَّةٍ أَنَا۠ أُنَبِّئُكُم بِتَأْوِيلِهِۦ فَأَرْسِلُونِ
Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: “Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya) “.
Pada masa itu teringatlah pemuda yang dibebaskan dari penjara dahulu kepada pesanan Nabi Yusuf as. Dia adalah pembuat minuman raja yang syaitan telah membuatnya lupa untuk menyampaikannya kepada raja seperti yang telah dinyatakan sebelum ini dalam surah Yusuf ayat 42.
Lalu dia menyatakan hasratnya kepada para pembesar untuk menemui Nabi Yusuf as di dalam penjara. Mereka membenarkan pemuda tersebut berjumpa dengan Baginda.
Ayat 46
يُوسُفُ أَيُّهَا ٱلصِّدِّيقُ أَفْتِنَا فِى سَبْعِ بَقَرَٰتٍ سِمَانٍ يَأْكُلُهُنَّ سَبْعٌ عِجَافٌ وَسَبْعِ سُنۢبُلَـٰتٍ خُضْرٍ وَأُخَرَ يَابِسَـٰتٍ لَّعَلِّىٓ أَرْجِعُ إِلَى ٱلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَعْلَمُونَ
(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): “Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya”.
Pemuda tersebut menerangkan tujuan kedatangannya dan menceritakan tentang mimpi raja Mesir. Nabi Yusuf as menerima kedatangan pemuda itu dengan baik walaupun pemuda itu telah melupakan pesanannya. Baginda mentakwil mimpi raja sebagaimana yang telah diwahyukan Allah Swt kepadanya seperti dalam ayat seterusnya.
Ayat 47
قَالَ تَزْرَعُونَ سَبْعَ سِنِينَ دَأَبًا فَمَا حَصَدتُّمْ فَذَرُوهُ فِى سُنۢبُلِهِۦٓ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّا تَأْكُلُونَ
Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.
Ayat 48
ثُمَّ يَأْتِى مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ سَبْعٌ شِدَادٌ يَأْكُلْنَ مَا قَدَّمْتُمْ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلًا مِّمَّا تُحْصِنُونَ
Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).
Nabi Yusuf as menerangkan bahawa tujuh ekor lembu betina yang gemuk dan tujuh tangkai gandum yang hijau itu melambangkan tahun-tahun yang subur. Mesir akan mengalami musim subur dan musim hujan selama tujuh tahun berterusan. Oleh itu, tanah yang subur akan menghasilkan buah-buahan atau tanam-tanaman yang banyak. Baginda menasihatkan supaya penduduk negeri itu bercucuk tanam dengan bersungguh-sungguh.
Setelah itu, Nabi Yusuf as memberi petunjuk kepada mereka untuk menghadapi tahun-tahun sulit. Baginda menyarankan agar mereka menyimpan hasil tanaman itu untuk digunakan pada tahun-tahun berikutnya. Baginda juga menasihatkan mereka menyimpan bijirin itu bersama-sama tangkainya agar bijirin itu akan tahan lebih lama. Selain itu, mereka hendaklah berjimat iaitu menggunakan sedikit sahaja untuk dimakan. Ini adalah takwil bagi lembu-lembu kurus dan tujuh tangkai biji-bijirin yang kering. Ini kerana pada tahun-tahun tersebut, mereka akan makan apa yang mereka kumpulkan pada tahun-tahun subur yang telah berakhir.
Nabi Yusuf as memberitahu bahawa pada tahun-tahun tersebut juga tidak akan ada sesuatu tumbuhan yang akan hidup iaitu apa yang mereka tanam tidak akan berhasil. Ini juga termasuk dalam takwil bagi tujuh tahun yang sulit itu.
Ayat 49
ثُمَّ يَأْتِى مِنۢ بَعْدِ ذَٰلِكَ عَامٌ فِيهِ يُغَاثُ ٱلنَّاسُ وَفِيهِ يَعْصِرُونَ
“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.
Kemudian Nabi Yusuf as memberitahu berita gembira iaitu selepas musim kemarau berakhir, akan datang musim hujan yang akan menyuburkan kembali negeri tersebut. Mereka akan mendapatkan hasil tanaman seperti dahulu.