Nabi Yusuf as Dipenjarakan
Surah 12: Yusuf (35 – 42)
Nabi Yusuf as berdakwah kepada 2 orang pemuda di dalam penjara
Ayat 35
ثُمَّ بَدَا لَهُم مِّنۢ بَعْدِ مَا رَأَوُا۟ ٱلْـَٔايَـٰتِ لَيَسْجُنُنَّهُۥ حَتَّىٰ حِينٍ
Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa.
Setelah tersebarnya berita tentang Nabi Yusuf as di pihak yang benar, Al-‘Aziz dan isterinya serta saksi daripada keluarga mereka berpendapat lebih baik Baginda dipenjarakan agar perkara ini tidak lagi dibicarakan dan orang akan melupakannya.
Ayat 36
وَدَخَلَ مَعَهُ ٱلسِّجْنَ فَتَيَانِ ۖ قَالَ أَحَدُهُمَآ إِنِّىٓ أَرَىٰنِىٓ أَعْصِرُ خَمْرًا ۖ وَقَالَ ٱلْـَٔاخَرُ إِنِّىٓ أَرَىٰنِىٓ أَحْمِلُ فَوْقَ رَأْسِى خُبْزًا تَأْكُلُ ٱلطَّيْرُ مِنْهُ ۖ نَبِّئْنَا بِتَأْوِيلِهِۦٓ ۖ إِنَّا نَرَىٰكَ مِنَ ٱلْمُحْسِنِينَ
Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja. Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur “. Dan berkata pula yang seorang lagi: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung.” (kemudian keduanya berkata): “Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)”.
Ketika Nabi Yusuf as dipenjarakan, terdapat dua orang pemuda yang dimasukkan bersama dengannnya ke dalam penjara. Qatadah mengatakan bahawa dua orang pemuda itu adalah pelayan-pelayan raja. Salah seorang daripada mereka ialah pembuat minuman raja, manakala yang seorang lagi ialah pembuat roti raja.
Nabi Yusuf as ketika dalam penjara merupakan orang yang paling dipercayai dalam perkataannya dan mempunyai kelebihan dalam mentakwil mimpi.
Ketika dalam penjara, kedua-dua pemuda itu telah bermimpi. Pemuda pembuat minuman raja menyatakan bahawa dia bermimpi melihat dirinya memerah anggur untuk dijadikan arak (khamr). Manakala pemuda pembuat roti pula telah bermimpi bahawa dia sedang membawa roti di atas kepalanya dan burung-burung memakannya dari atas kepalanya. Lalu kedua-dua pemuda itu pergi menemui Nabi Yusuf as dan meminta agar dijelaskan maksud mimpi mereka.
Ayat 37
قَالَ لَا يَأْتِيكُمَا طَعَامٌ تُرْزَقَانِهِۦٓ إِلَّا نَبَّأْتُكُمَا بِتَأْوِيلِهِۦ قَبْلَ أَن يَأْتِيَكُمَا ۚ ذَٰلِكُمَا مِمَّا عَلَّمَنِى رَبِّىٓ ۚ إِنِّى تَرَكْتُ مِلَّةَ قَوْمٍ لَّا يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَهُم بِٱلْـَٔاخِرَةِ هُمْ كَـٰفِرُونَ
Yusuf menjawab: “(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu ialah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan agama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat.
Allah Swt menceritakan, Nabi Yusuf as memberitahu kepada kedua-dua pemuda itu bahawa apapun mimpi mereka, Baginda dapat mengetahui tafsirannya dan dapat memberitahu takwilnya sebelum hal itu terjadi.
Mujahid dan As-Suddi mengatakan maksud ayat, “tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu.” ialah Nabi Yusuf as telah mengetahui terlebih dahulu apa jenis makanan pada hari itu yang akan diberikan kepada mereka.
Kemudian Nabi Yusuf as mengatakan bahawa kenyataan ini diterimanya daripada Allah Ta’ala. Ini kerana Baginda telah menjauhi agama orang-orang kafir yang tidak percaya kepada Allah Swt dan keesaan-Nya serta tidak mempercayai adanya Hari Akhirat. Mereka itu tidak mengharapkan balasan pahala dan tidak juga mempercayai adanya seksaan di akhirat.
Ayat 38
وَٱتَّبَعْتُ مِلَّةَ ءَابَآءِىٓ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْحَـٰقَ وَيَعْقُوبَ ۚ مَا كَانَ لَنَآ أَن نُّشْرِكَ بِٱللَّهِ مِن شَىْءٍ ۚ ذَٰلِكَ مِن فَضْلِ ٱللَّهِ عَلَيْنَا وَعَلَى ٱلنَّاسِ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ
“Dan aku menurut agama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid – mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
Setelah Nabi Yusuf as menerangkan kepada dua penghuni penjara bahawa Baginda dapat memberitahu takwilnya sebelum hal itu terjadi kerana Baginda mengikut ajaran yang mentauhidkan Allah Swt dan menjauhkan kekufuran serta kesyirikan, diterangkannya pula bahawa Baginda mengikuti agama para Rasul.
Allah Ta’ala menetapkan bahawa tugas para Nabi ialah mengajak manusia menyembah hanya kepada Allah Yang Maha Esa. Oleh itu adalah tidak patut bagi para Nabi menyekutukan-Nya dengan sesuatu. Memurnikan agama tauhid lagi lurus itu adalah sebahagian daripada kurniaan yang diberikan oleh Allah Swt kepada para Nabi dan kepada seluruh umat manusia tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur terhadap kurniaan dan nikmat daripada-Nya. Firman-Nya:
“Tidakkah engkau melihat (dan berasa ajaib) terhadap orang-orang kafir yang telah menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran, dan yang telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan?”
Ibrahim 14:28
Ayat 39
يَـٰصَـٰحِبَىِ ٱلسِّجْنِ ءَأَرْبَابٌ مُّتَفَرِّقُونَ خَيْرٌ أَمِ ٱللَّهُ ٱلْوَٰحِدُ ٱلْقَهَّارُ
“Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?
Setelah Nabi Yusuf as menjelaskan tentang agama tauhid yang dianutinya, Baginda pun menyeru kepada dua orang penghuni penjara yang ada bersama dengannya itu agar mengikuti agama tauhid yang murni iaitu agama yang berdasarkan kepercayaan dan pengakuan hanya ada satu tuhan dan bukannya banyak tuhan.
Lalu Nabi Yusuf as bertanya kepada mereka manakah yang lebih baik, tuhan-tuhan yang bermacam-macam itukah yang berhak disembah atau Allah Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa, yang menciptakan segalanya dan yang memberikan rezeki.
Ayat 40
مَا تَعْبُدُونَ مِن دُونِهِۦٓ إِلَّآ أَسْمَآءً سَمَّيْتُمُوهَآ أَنتُمْ وَءَابَآؤُكُم مَّآ أَنزَلَ ٱللَّهُ بِهَا مِن سُلْطَـٰنٍ ۚ إِنِ ٱلْحُكْمُ إِلَّا لِلَّهِ ۚ أَمَرَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ ۚ ذَٰلِكَ ٱلدِّينُ ٱلْقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَكْثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ
Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
Seterusnya Nabi Yusuf as menerangkan kepada mereka berdua bahawa apa yang disembah oleh kaum mereka itu adalah buatan mereka sendiri. Nama-nama tuhan mereka itu hanyalah diwarisi daripada nenek moyang mereka. Allah Ta’ala tidak pernah memberikan keterangan tentang nama-nama tuhan mereka itu. Sebaliknya Dia memerintahkan seluruh hamba-Nya menyembah-Nya bukan menyembah tuhan-tuhan tersebut. Dia-lah yang wajib ditaati kerana segala keputusan, peraturan, kehendak yang berlaku dan kekuasaan terhadap alam ini hanyalah milik-Nya.
Agama yang lurus ialah agama yang mengajak manusia mengesakan Allah Swt dan melakukan ibadah semata-mata kerana-Nya. Itulah agama yang hak yang diturunkan oleh Allah Swt dengan segala bukti kebenaran serta agama yang diredhai-Nya. Inilah agama yang Allah Swt perintahkan kepada manusia agar menganutinya. Namun kebanyakan manusia tidak mengetahui, oleh itu mereka melakukan syirik.
Ayat 41
يَـٰصَـٰحِبَىِ ٱلسِّجْنِ أَمَّآ أَحَدُكُمَا فَيَسْقِى رَبَّهُۥ خَمْرًا ۖ وَأَمَّا ٱلْـَٔاخَرُ فَيُصْلَبُ فَتَأْكُلُ ٱلطَّيْرُ مِن رَّأْسِهِۦ ۚ قُضِىَ ٱلْأَمْرُ ٱلَّذِى فِيهِ تَسْتَفْتِيَانِ
“Wahai sahabatku berdua yang sepenjara! (Takbir mimpi kamu itu ialah): adapun salah seorang dari kamu, maka ia akan memberi minum arak kepada tuannya. Ada pun yang seorang lagi, maka ia akan dipalang, serta burung pula akan makan dari kepalanya. Telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara yang kamu tanyakan itu”.
Setelah mendakwahi mereka berdua, maka Nabi Yusuf as pun terus mentakwilkan mimpi mereka. Baginda mengatakan bahawa salah seorang daripada mereka akan memberi minum arak kepada tuannya selepas dibebaskan dari penjara (sahabat pertama yang bermimpi memerah anggur). Manakala seorang lagi akan dihukum mati (sahabat yang bermimpi membawa roti di atas kepalanya, lalu sebahagiannya dimakan oleh burung).
Dalam mentakwilkan mimpi tersebut Nabi Yusuf as tidak menunjukkan siapa orangnya secara tertentu, supaya tidak membuatnya bersedih. Baginda menerangkan kepada mereka berdua bahawa perkara itu sudah ditakdirkan dan pasti akan terjadi.
Ayat 42
وَقَالَ لِلَّذِى ظَنَّ أَنَّهُۥ نَاجٍ مِّنْهُمَا ٱذْكُرْنِى عِندَ رَبِّكَ فَأَنسَىٰهُ ٱلشَّيْطَـٰنُ ذِكْرَ رَبِّهِۦ فَلَبِثَ فِى ٱلسِّجْنِ بِضْعَ سِنِينَ
Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: “Sebutkanlah perihalku kepada tuanmu”. (Setelah orang itu dibebaskan dari penjara) maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan (hal Yusuf) kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara beberapa tahun.
Tatkala Nabi Yusuf as mengetahui dengan yakin bahawa sahabatnya yang menyediakan minuman raja itu akan selamat, Baginda berpesan kepadanya supaya memberitahu raja tentang keadaan diri Baginda yang ditahan secara zalim, agar Baginda dapat dibebaskan segera.
Namun setelah penyedia minuman raja itu dibebaskan, dia lupa untuk memberitahu raja tentang pesanan Nabi Yusuf as. Ini termasuk tipu daya syaitan yang menjadikannya lupa. Oleh itu, Baginda tetap tinggal dalam penjara beberapa tahun lagi.