Rancangan Jahat Saudara-saudara Nabi Yusuf as
Surah 12: Yusuf (7 – 20)
Saudara-saudara Nabi Yusuf as merancang untuk mencampakkan Baginda ke dalam sebuah perigi
Ayat 7
لَّقَدْ كَانَ فِى يُوسُفَ وَإِخْوَتِهِۦٓ ءَايَـٰتٌ لِّلسَّآئِلِينَ
Demi sesungguhnya! (Kisah) Nabi Yusuf dengan saudara-saudaranya itu mengandungi beberapa pengajaran bagi orang-orang yang bertanya (tentang hal mereka untuk mengambil iktibar).
Allah Ta’ala menyatakan bahawa sesungguhnya dalam kisah Nabi Yusuf as bersama saudara-saudaranya terdapat tanda-tanda kekuasaan-Nya dan beberapa pelajaran yang penting untuk dijadikan iktibar. Sesiapa yang mentadabbur surah ini, akan mendapati begitu tersusun dan cantiknya perancangan Allah Swt, teguhnya pergantungan Nabi Yusuf as terhadap-Nya serta akan memahami bahawa setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.
Ayat 8
إِذْ قَالُوا۟ لَيُوسُفُ وَأَخُوهُ أَحَبُّ إِلَىٰٓ أَبِينَا مِنَّا وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّ أَبَانَا لَفِى ضَلَـٰلٍ مُّبِينٍ
(Kisah itu bermula) ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): “Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.”
Dalam satu pertemuan, adik beradik Nabi Yusuf as meluahkan rasa tidak puas hati terhadap layanan Nabi Yaakub as terhadap mereka. Mereka merasakan ayah mereka lebih mengutamakan dan menyayangi Nabi Yusuf as dan adik kandung Baginda. Mereka berpendapat apa perlunya ayah mereka melebihkan kasih sayang kepada kedua-duanya yang masih kanak-kanak dan lemah sedangkan mereka adalah daripada kelompok yang ramai dan kuat.
Saudara-saudara Nabi Yusuf as juga mengatakan bahawa ayah mereka berada dalam kesalahan yang nyata kerana mengutamakan kasih sayangnya kepada Nabi Yusuf as dan adiknya daripada mereka.
Ayat 9
ٱقْتُلُوا۟ يُوسُفَ أَوِ ٱطْرَحُوهُ أَرْضًا يَخْلُ لَكُمْ وَجْهُ أَبِيكُمْ وَتَكُونُوا۟ مِنۢ بَعْدِهِۦ قَوْمًا صَـٰلِحِينَ
(Ramai di antara mereka berkata):” Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna”.
Kemudian Allah Ta’ala menyebutkan bahawa saudara-saudara Nabi Yusuf as bersepakat untuk membunuh Baginda agar ketidakpuasan hati mereka berakhir, atau membuang Baginda di suatu tempat yang terpencil jauh daripada keramaian sehingga Baginda tidak dapat kembali kepada ayah mereka.
Mereka sanggup merancang sedemikian semata-mata untuk mendapatkan kasih sayang dan perhatian daripada Nabi Yaakub as. Pada pendapat mereka, apabila Nabi Yusuf as telah tiada, ayah mereka akan memberi kasih sayang dan perhatian sepenuhnya kepada mereka. Mereka akan bertaubat daripada kesalahan yang mereka lakukan dan menjadi orang-orang yang baik.
Ayat 10
قَالَ قَآئِلٌ مِّنْهُمْ لَا تَقْتُلُوا۟ يُوسُفَ وَأَلْقُوهُ فِى غَيَـٰبَتِ ٱلْجُبِّ يَلْتَقِطْهُ بَعْضُ ٱلسَّيَّارَةِ إِن كُنتُمْ فَـٰعِلِينَ
Salah seorang di antara mereka berkata: “Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam perigi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu”.
Salah seorang daripada anak-anak Nabi Yaakub as mencadangkan agar Nabi Yusuf as tidak dibunuh tetapi dicampak ke dalam perigi. Ini supaya ditemui oleh para musafir yang melalui kawasan tersebut dan membawanya bersama-sama mereka.
Setelah mendapat kata sepakat untuk mencampakkan Nabi Yusuf as ke dalam perigi, mereka terus menemui Nabi Yaakub as.
Ayat 11
قَالُوا۟ يَـٰٓأَبَانَا مَا لَكَ لَا تَأْمَ۫نَّا عَلَىٰ يُوسُفَ وَإِنَّا لَهُۥ لَنَـٰصِحُونَ
Mereka pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata: Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?
Ayat 12
أَرْسِلْهُ مَعَنَا غَدًا يَرْتَعْ وَيَلْعَبْ وَإِنَّا لَهُۥ لَحَـٰفِظُونَ
Mereka meminta izin daripada Nabi Yaakub as agar membenarkan mereka membawa Nabi Yusuf as keluar bermain-main dan bersukaria dengan mereka. Mereka berjanji akan menjaganya dengan sebaik-baiknya. Sedangkan mereka berbohong kerana sifat dengki yang ada dalam hati mereka.
Ayat 13
قَالَ إِنِّى لَيَحْزُنُنِىٓ أَن تَذْهَبُوا۟ بِهِۦ وَأَخَافُ أَن يَأْكُلَهُ ٱلذِّئْبُ وَأَنتُمْ عَنْهُ غَـٰفِلُونَ
Bapa mereka menjawab: “Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya “.
Nabi Yaakub as menyatakan perasaan bimbangnya kepada anak-anaknya untuk melepaskan Nabi Yusuf as keluar bermain bersama-sama mereka. Ini kerana Baginda sangat menyayanginya dan berasa takut sekiranya berlaku sesuatu yang tidak dingini kepada Nabi Yusuf as. Baginda juga dapat melihat tanda-tanda yang baik seperti tanda kenabian pada Nabi Yusuf as.
Ayat 14
قَالُوا۟ لَئِنْ أَكَلَهُ ٱلذِّئْبُ وَنَحْنُ عُصْبَةٌ إِنَّآ إِذًا لَّخَـٰسِرُونَ
Mereka berkata: “Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai bilangannya, sesungguhnya kami sudah tentu menjadilah orang-orang yang rugi”.
Apabila mereka melihat Nabi Yaakub as keberatan untuk melepaskan Nabi Yusuf as pergi bermain-main bersama mereka, mereka pun bersumpah akan menjaga Nabi Yusuf as dengan sebaik-baiknya. Ini kerana mereka adalah daripada golongan yang kuat dan mampu melawan segala bentuk kejahatan. Sekiranya serigala dapat memakan Baginda, mereka mengatakan mereka adalah orang yang rugi, lemah dan tiada kebaikan atau manfaat.
Ayat 15
فَلَمَّا ذَهَبُوا۟ بِهِۦ وَأَجْمَعُوٓا۟ أَن يَجْعَلُوهُ فِى غَيَـٰبَتِ ٱلْجُبِّ ۚ وَأَوْحَيْنَآ إِلَيْهِ لَتُنَبِّئَنَّهُم بِأَمْرِهِمْ هَـٰذَا وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ
Setelah mereka pergi dengan membawanya bersama dan setelah mereka sekata hendak melepaskan dia ke dalam perigi, (mereka pun melakukan yang demikian), dan kami pula ilhamkan kepadanya:” Sesungguhnya engkau (wahai Yusuf, akan terselamat, dan) akan memberi tahu mereka tentang hal perbuatan mereka ini, sedang mereka tidak sedar (dan tidak mengingatinya lagi) “.
Dalam ayat yang lepas, dinyatakan bahawa saudara-saudara Nabi Yusuf as mengemukakan alasan kepada Nabi Yaakub as yang akhirnya Baginda membenarkan Nabi Yusuf as dibawa bersama dengan mereka. Mereka memasukkan Nabi Yusuf as ke dalam perigi sebagaimana yang telah dirancang sebelum ini.
Sewaktu Nabi Yusuf as berada di dalam perigi, Allah Swt menyebutkan kelembutan, rahmat dan pertolongan-Nya yang diberikan kepada Nabi Yusuf as semasa Baginda menghadapi kesusahan. Dia mewahyukan kepada Baginda pada saat-saat kesusahan tersebut untuk menenangkan hati dan menguatkan semangatnya. Baginda tidak perlu bersedih kerana Dia akan menolongnya dan meninggikan darjatnya lebih daripada saudara-saudaranya.
Allah Swt juga menyebutkan bahawa kelak Nabi Yusuf as sendiri akan menceritakan perbuatan buruk saudara-saudaranya terhadap Baginda sedangkan ketika itu mereka tidak mengenalinya.
Ayat 16
وَجَآءُوٓ أَبَاهُمْ عِشَآءً يَبْكُونَ
Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (buat-buat) menangis.
Setelah itu, saudara-saudara Nabi Yusuf as kembali kepada ayah mereka dengan berpura-pura menangis kesedihan dan menyesal. Mereka menyangka dengan cara itu Nabi Yaakub as akan mempercayai berita yang mereka sampaikan, sehingga perbuatan jahat mereka tertutup.
Ayat 17
قَالُوا۟ يَـٰٓأَبَانَآ إِنَّا ذَهَبْنَا نَسْتَبِقُ وَتَرَكْنَا يُوسُفَ عِندَ مَتَـٰعِنَا فَأَكَلَهُ ٱلذِّئْبُ ۖ وَمَآ أَنتَ بِمُؤْمِنٍ لَّنَا وَلَوْ كُنَّا صَـٰدِقِينَ
Mereka berkata: “Wahai ayah kami! Sesungguhnya kami telah pergi berlumba-lumba berburu dan kami telah tinggalkan Yusuf menjaga barang-barang kami, lalu ia dimakan oleh serigala; dan sudah tentu ayah tidak akan percaya kepada kata-kata kami ini, sekalipun kami adalah orang-orang yang benar”.
Kemudian mereka mengatakan bahawa ketika mereka bermain sambil berlumba dengan meninggalkan Nabi Yusuf as berhampiran barang-barang mereka di tempat yang aman, mereka mendapati tiba-tiba datang seekor serigala lalu memakan Baginda.
Kejadian ini sangat mengejutkan mereka dan mereka mengatakan tentu Nabi Yaakub as tidak akan mempercayai mereka dengan berita ini, sekalipun mereka berkata benar. Ini kerana cinta ayah mereka yang berlebih-lebihan kepada Nabi Yusuf as sehingga ayahnya berprasangka buruk terhadap mereka.
Mereka berkata bahawa mereka adalah orang-orang yang bercakap benar dan apa yang dikhuatirkan oleh Nabi Yaakub as sebelum ini benar-benar terjadi.
Ayat 18
وَجَآءُو عَلَىٰ قَمِيصِهِۦ بِدَمٍ كَذِبٍ ۚ قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًا ۖ فَصَبْرٌ جَمِيلٌ ۖ وَٱللَّهُ ٱلْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ
Dan (bagi mengesahkan dakwaan itu) mereka pula melumurkan baju Yusuf dengan darah palsu. Bapa mereka berkata: “Tidak! Bahkan nafsu kamu memperelokkan kepada kamu suatu perkara (yang tidak diterima akal). Kalau demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, dan Allah jualah yang dipohonkan pertolongan-Nya, mengenai apa yang kamu katakan itu.”
Agar lebih meyakinkan lagi Nabi Yaakub as terhadap cerita mereka ini, mereka menutupi penipuan mereka dengan membawa baju Nabi Yusuf as yang berlumuran dengan darah.
Dalam Tafsir Ibnu Kathir, dinyatakan bahawa mereka mencari seekor anak kambing lalu menyembelihnya dan melumurkan darahnya pada baju Nabi Yusuf as. Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Mujahid, As-Suddi dan lain-lain. Mereka lupa untuk mengoyak-ngoyakkan baju itu sehingga Nabi Yaakub as dapat mengetahui pendustaan mereka. Oleh itu, Nabi Yaakub as tidak mempercayainya dan menolak perkataan mereka dengan tetap meyakini apa yang ada di dalam hatinya bahawa kejadian itu merupakan rancangan jahat mereka.
Nabi Yaakub as lalu mengatakan bahawa mereka hanya memandang baik perbuatan mereka yang buruk itu. Maka Baginda pun memilih untuk bersabar terhadap rancangan yang telah mereka lakukan dan hanyalah kepada Allah Swt Baginda meminta pertolongan.
Kesabaran yang ditunjukkan oleh Nabi Yaakub as adalah contoh kesabaran yang baik. Ini kerana kesabaran yang baik adalah kesabaran yang tidak disertai dengan keluhan atau aduan kepada sesama manusia. Seseorang yang bersabar dengan baik akan mengadu segala kesedihan dan kesusahan yang dihadapinya kepada Allah Swt kerana Dia Maha Mendengar. Hanya kepada-Nya segala makhluk meminta pertolongan, sebagaimana firman-Nya:
“Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNya segala sesuatu.”
Al-Ikhlas 112:2
Ayat 19
وَجَآءَتْ سَيَّارَةٌ فَأَرْسَلُوا۟ وَارِدَهُمْ فَأَدْلَىٰ دَلْوَهُۥ ۖ قَالَ يَـٰبُشْرَىٰ هَـٰذَا غُلَـٰمٌ ۚ وَأَسَرُّوهُ بِضَـٰعَةً ۚ وَٱللَّهُ عَلِيمٌۢ بِمَا يَعْمَلُونَ
Dan (semasa Yusuf dalam perigi) datanglah ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan; lalu mereka menghantarkan seorang pencari air bagi mereka; (setelah sampainya ke perigi itu) dia pun menghulurkan timbanya (dan manakala ia melihat Yusuf bergantung pada timbanya) ia berseru dengan katanya: “Hai, (ini) sungguh mengembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya)”. (Setelah mengetahui hal itu, saudara-saudara Yusuf pun datang) serta mereka sembunyikan keadaan Yusuf yang sebenarnya (untuk dijual) sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.
Allah Swt menceritakan apa yang terjadi kepada diri Nabi Yusuf as di dalam perigi ketika saudara-saudaranya melemparkannya dan meninggalkannya sendirian di dalam perigi tersebut.
Menurut Abu Bakar bin ‘Iyasy, Baginda berada di dalam perigi itu selama tiga hari. Manakala Muhammad bin Ishak mengatakan, “Setelah saudara-saudaranya melemparkannya ke dalam perigi, mereka duduk-duduk di sekitar perigi itu sepanjang hari tersebut, melihat apa yang dilakukan oleh Nabi Yusuf as dan apa yang terjadi kepadanya.”
Lalu Allah Swt menggerakkan sekelompok musafir kepadanya dan mereka berhenti dekat dengan perigi. Kemudian salah seorang daripada mereka diminta mengambil air. Setelah orang itu datang ke perigi dan menurunkan timba, Nabi Yusuf as bergantung pada timba tersebut. Maka orang itu segera mengeluarkannya dan sangat gembira dengannya, sambil berkata, “Hai, (ini) sungguh mengembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya)”
Al-‘Aufi daripada Ibnu ‘Abbas ra berkata tentang ayat, “(Setelah mengetahui hal itu, saudara-saudara Yusuf pun datang) serta mereka sembunyikan keadaan Yusuf yang sebenarnya (untuk dijual) sebagai barang dagangan.” bermaksud saudara-saudara Nabi Yusuf as merahsiakan tentang siapa sebenarnya Nabi Yusuf as. Mereka tidak memberitahu bahawa Baginda adalah saudara mereka dan Nabi Yusuf as pun merahsiakan bahawa dirinya adalah saudara mereka kerana bimbang akan dibunuh oleh saudara-saudaranya dan Baginda memilih untuk dijual. Kemudian saudara-saudara Baginda menyebutkan kepada pengambil air bahawa Nabi Yusuf as itu adalah barang dagangan mereka. Lalu saudara-saudara Baginda menjualnya.
Allah Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh saudara-saudara Nabi Yusuf as dan para pembelinya. Sebenarnya, Dia mampu mengubah perkara ini atau menggagalkannya, tetapi Dia memiliki hikmah dan takdir yang telah ditentukan sebelumnya. Maka, Dia membiarkan hal itu terjadi supaya berlaku apa yang telah ditakdirkan-Nya. Hanya Dia yang berhak menentukan takdir bagi setiap makhluk-Nya sebagaimana firman-Nya:
“…………….Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak Allah. Maha Suci Allah, Rabb semesta alam.”
Al-Araf 7:54
Ayat 20
وَشَرَوْهُ بِثَمَنٍۭ بَخْسٍ دَرَٰهِمَ مَعْدُودَةٍ وَكَانُوا۟ فِيهِ مِنَ ٱلزَّٰهِدِينَ
Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.
Menurut Mujahid dan ‘Ikrimah, saudara-saudara Nabi Yusuf as menjualnya dengan harga yang sedikit. Maksudnya, mereka meminta bayaran yang sangat murah. Mereka sebenarnya tidak mengharapkan bayaran, bahkan sekiranya para musafir itu memintanya tanpa bayaran, pasti mereka akan memberikannya.
Ibnu ‘Abbas ra, Mujahid dan Adh-Dhahhak mengatakan, “yang menjualnya” adalah saudara-saudara Nabi Yusuf as. Qatadah mengatakan, “yang menjualnya” adalah musafir yang menemukannya. Namun ada yang mengatakan pendapat pertama lebih kuat daripada pendapat kedua. Allah Swt berfirman, “dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya” adalah saudara-saudara Nabi Yusuf as, bukan rombongan musafir. Ini kerana rombongan musafir itu berasa senang tatkala menemukan Nabi Yusuf as. Kalau mereka tidak tertarik (senang), pasti tidak akan membelinya.