Mimpi Nabi Yusuf as
Surah 12: Yusuf (4 – 6)
Nabi Yusuf as bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan yang sujud kepadanya
Ayat 4
إِذْ قَالَ يُوسُفُ لِأَبِيهِ يَـٰٓأَبَتِ إِنِّى رَأَيْتُ أَحَدَ عَشَرَ كَوْكَبًا وَٱلشَّمْسَ وَٱلْقَمَرَ رَأَيْتُهُمْ لِى سَـٰجِدِينَ
(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat sebelas bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”.
Allah Swt memulai kisah Nabi Yusuf as dengan Baginda menceritakan mimpinya kepada ayahnya Nabi Yaakub as bin Ishak as bin Ibrahim as. Nabi Yusuf as berkata kepada ayahnya, bahawa Baginda bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan yang sujud kepadanya.
Ibnu ‘Abbas ra mengatakan mimpi para Nabi adalah wahyu.
Para mufassir memberi tafsiran bahawa sebelas bintang itu melambangkan saudara-saudara Baginda yang sebelas orang. Manakala matahari dan bulan melambangkan ayah dan ibunya. Mimpi tersebut menjadi kenyataan semasa mereka menemui Nabi Yusuf as beberapa puluh tahun kemudian sebagaimana firman Allah Ta‘ala:
“Dan dia menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana. Dan mereka (semuanya) merebahkan diri seraya sujud kepada (Yusuf). Dan berkata (Yusuf), “Wahai ayahku inilah takwil mimpiku yang dahulu itu, sesungguhnya Rabbku telah menjadikannya suatu kenyataan. Dan sesungguhnya Rabbku telah berbuat baik kepadaku, ketika Dia membebaskan aku dari rumah penjara dan ketika membawa kamu dari dusun padang pasir, setelah syaitan merosakkan (hubungan) antara aku dan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Rabbku Maha Lembut terhadap apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
Yusuf 12:100
Ayat 5
قَالَ يَـٰبُنَىَّ لَا تَقْصُصْ رُءْيَاكَ عَلَىٰٓ إِخْوَتِكَ فَيَكِيدُوا۟ لَكَ كَيْدًا ۖ إِنَّ ٱلشَّيْطَـٰنَ لِلْإِنسَـٰنِ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
Bapanya berkata:” Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia.
Allah Ta’ala menceritakan tentang apa yang dikatakan oleh Nabi Yaakub as kepada Nabi Yusuf as tentang mimpinya. Nabi Yaakub as menyuruh Nabi Yusuf as merahsiakan mimpinya kerana sekiranya saudara-saudaranya mengetahui takwil mimpi tersebut nescaya mereka akan membuat tipu daya untuk mencelakakannya.
Nabi Yaakub as juga mengingatkan Nabi Yusuf as tentang permusuhan syaitan kepada manusia adalah suatu perkara yang amat jelas lagi pula berlaku sejak lama dahulu.
Ayat 6
وَكَذَٰلِكَ يَجْتَبِيكَ رَبُّكَ وَيُعَلِّمُكَ مِن تَأْوِيلِ ٱلْأَحَادِيثِ وَيُتِمُّ نِعْمَتَهُۥ عَلَيْكَ وَعَلَىٰٓ ءَالِ يَعْقُوبَ كَمَآ أَتَمَّهَا عَلَىٰٓ أَبَوَيْكَ مِن قَبْلُ إِبْرَٰهِيمَ وَإِسْحَـٰقَ ۚ إِنَّ رَبَّكَ عَلِيمٌ حَكِيمٌ
Dan demikianlah caranya Tuhanmu memilihmu, dan akan mengajarmu takbir mimpi, serta akan menyempurnakan nikmatNya kepadamu dan kepada keluarga Yaakub: sebagaimana Ia telah menyempurnakannya kepada datuk nenekmu dahulu: Ibrahim dan Ishak. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
Dalam ayat ini dinyatakan kata-kata Nabi Yaakub as kepada Nabi Yusuf as yang mengandungi beberapa berita gembira, antaranya Allah Ta’ala:
- Memuliakan Nabi Yusuf as dengan mimpinya.
- Memilih dan berbuat baik kepada Nabi Yusuf as dengan menjadikan mimpinya itu satu kenyataan iaitu saudara-saudaranya akhirnya memberikan penghormatan kepadanya.
- Mengajar Nabi Yusuf as mentakwil mimpi.
- Mengajarnya kitab dan tauhid yang merupakan isyarat kenabian.
- Menyempurnakan nikmat-Nya menjadi Nabi sebagaimana Dia telah menyempurnakan nikmat-Nya kepada Nabi Ibrahim as dan Nabi Ishak as sebagai Nabi.
Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Mengetahui siapa yang layak dipilih-Nya daripada hamba-hamba-Nya, juga Maha Bijaksana dalam mengatur urusan makhluk-makhluk-Nya.