Orang yang Allah Swt Pilih di antara Hamba-hamba-Nya
Surah 3: Ali ‘Imran (33 – 34)
Ayat 33
إِنَّ ٱللَّهَ ٱصْطَفَىٰٓ ءَادَمَ وَنُوحًا وَءَالَ إِبْرَٰهِيمَ وَءَالَ عِمْرَٰنَ عَلَى ٱلْعَـٰلَمِينَ
Sesungguhnya Allah telah memilih Nabi Adam, dan Nabi Nuh, dan juga keluarga Nabi Ibrahim dan keluarga Imran, melebihi segala umat (yang ada pada zaman mereka masing-masing).
Allah Swt menyatakan bahawa Dia telah memilih Nabi Adam as dan Nabi Nuh as, keluarga Nabi Ibrahim as dan keluarga ‘Imran sebagai manusia pilihan pada zaman masing-masing. Ada di antara mereka diberikan martabat kenabian (nubuwwah) dan kerasulan (risalah).
Allah Ta’ala menciptakan Nabi Adam as dengan tangan-Nya, meniupkan roh-Nya kepadanya, memerintahkan para malaikat untuk sujud kepadanya, mengajarkannya nama-nama segala sesuatu, menempatkannya di Syurga, kemudian diturunkannya dari Syurga. Semua ini berlaku kerana hikmah-Nya.
Nabi Nuh as pula, Allah Swt menjadikannya sebagai rasul pertama yang diutuskan kepada penduduk negeri yang menyembah berhala. Mereka menyekutukan-Nya dengan sesuatu yang Allah Ta’ala tidak pernah menurunkan hujjah kepada mereka. Lalu Allah Ta’ala mengazab mereka setelah sekian lama Nabi Nuh as berada di kalangan mereka menyeru mereka ke jalan yang lurus. Allah Swt memberikannya taufik untuk bersabar memikul beban yang berat, memiliki rasa syukur yang tinggi dan nama baiknya disebut pada setiap waktu dan zaman.
Nabi Ibrahim as adalah kekasih Allah, seorang yang rela mengorbankan dirinya ke dalam api, sanggup menunaikan perintah-Nya untuk menyembelih anaknya sebagai korban. Baginda berdakwah kepada kaumnya supaya mentauhidkan Allah siang dan malam, baik secara sembunyi ataupun terang-terangan. Allah Swt menjadikannya sebagai teladan yang diikuti oleh generasi setelahnya. Keturunannya ramai yang diangkat Allah menjadi nabi dan diberikan kitab. Demikian juga Nabi Muhammad saw termasuk keturunannya dilantik sebagai penutup para nabi.
Allah Swt juga memilih keluarga ‘Imran mengatasi hamba-hamba-Nya yang lain. ‘Imran adalah ayah kepada Maryam iaitu ibu kepada Nabi Isa as. Baginda as juga termasuk keturunan Nabi Ibrahim as sebagaimana yang akan diterangkan pada tafsir surah Al-An’am.
Ayat 34
ذُرِّيَّةًۢ بَعْضُهَا مِنۢ بَعْضٍ ۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
(Mereka kembang biak sebagai) satu keturunan (zuriat) yang setengahnya berasal dari setengahnya yang lain. Dan (ingatlah), Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.
Allah Swt menyatakan bahawa para nabi dan para rasul adalah daripada satu keturunan, sebahagiannya merupakan keturunan daripada yang lain. Akidah mereka sama dan merupakan satu rangkaian yang berterusan dalam keikhlasan kepada Allah Ta’ala dan mentauhidkan-Nya serta mengerjakan amal soleh berdasarkan wahyu-Nya.
Allah Maha Mendengar perkataan-perkataan hamba-hamba-Nya, Maha Mengetahui perbuatan-perbuatan mereka dan Dia akan membalas mereka sesuai dengan apa yang mereka lakukan.
Allah Maha Mengetahui siapa yang berhak dipilih-Nya dan siapa yang tidak berhak dipilih. Ini menunjukkan bahawa mereka dipilih oleh Allah Ta’ala kerana mereka berhak menjadi pilihan-Nya sebagai kurnia dan pemberian-Nya.